Impian 2 beradik sakit saraf saksi sambutan Hari Wilayah tercapai
Utusan Malaysia, 2 Februari 2007
|
KUALA LUMPUR 1 Feb. – Ibarat tangisan dalam ketawa. Itulah perasaan ibu pasangan adik- beradik, Atikah Amirah Md Nizam, 13, dan Ahmad Nazmi (gambar), 8, yang menghidap penyakit saraf Spinal Muscular Atrophy Type 2 sejak kecil ketika melihat aksi riang mereka yang berpeluang merasai sendiri kemeriahan perarakan sempena sambutan Hari Wilayah Ke-33 di sini hari ini.
Berbeza dengan ribuan warga kota lain yang turut mengikuti pelancaran sambutan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, acara itu mungkin yang terakhir bagi kedua-dua beradik itu kerana keadaan mereka yang disahkan doktor semakin serius dan tiada penawar bagi penyakit itu.
Ibu mereka, Hamidah Abdul Aziz, 37, berkata, beliau terpaksa menghadapi risiko membawa kedua-dua anaknya menyaksikan sambutan itu di Dataran Merdeka semata-mata bagi memastikan mereka bergembira, dan yang penting melihat keletah dan ketawa mereka yang menjadi penawar kepada dirinya sepanjang menjaga mereka.
‘‘Lagipun ini permintaan mereka sendiri dan memang saya bimbang tetapi yang penting saya dapat tunaikan permintaan kedua-dua anak saya yang mungkin menjadi permintaan terakhir,’’ katanya sayu sambil melihat gelagat riang kedua-dua anaknya itu yang berkerusi roda dan tidak henti-henti melambai kepada setiap anggota kontinjen yang menyertai perarakan sambutan itu.
Menurutnya, bagi mengelakkan perkara buruk, semua bekalan ubat dan peralatan perubatan anak-anaknya itu turut dibawa bersama, terutama kerana baru-baru ini anak keduanya, Atikah mengalami sesak nafas dan doktor menasihati agar mengurangkan aktiviti luar.
Hamidah berkata, bagi memastikan anak-anaknya selesa mengikuti perarakan itu, suaminya, Md Nizam Md Som, 39, seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), membuat tinjauan terlebih dahulu di Dataran Merdeka bagi mencari laluan sesuai untuk menolak kerusi roda dan menempatkan mereka.
‘‘Sudah jadi kelaziman kepada suami saya untuk meninjau dahulu tempat yang hendak dibawa kedua-dua anak kami berjalan-jalan, kalau-kalau ada kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU),’’ katanya.
Hamidah berkata hari ini, suaminya yang tidak dapat menemaninya kerana perlu bertugas, telah menghantar mereka seawal 6.30 pagi untuk memastikan mereka mendapat lokasi yang sesuai.
‘‘Tetapi saya sedikit kecewa kerana anak-anak saya tidak berpeluang menyaksikan perarakan dengan lebih dekat kerana dihalang penonton,’’ katanya yang berhenti kerja bagi memastikan dua daripada tiga anaknya itu yang disahkan menghidap penyakit berkenaan berpeluang bersekolah di Sekolah Khas Seri Indah di sini.
‘‘Saya terpaksa berhenti kerja semasa usia Atikah dua tahun lagi kerana penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu untuk berjalan. Bukan sahaja terpaksa menguruskan persekolahan mereka setiap hari malah menguruskan makan dan minum,’’ katanya.
Beliau berkata, selepas doktor mengesahkan penyakit itu tiada penawarnya, sebagai ibu beliau hanya berupaya memberikan kasih sayang dan perhatian sewajarnya.
‘‘Disebabkan tiada ubat, Atikah dan Ahmad hanya sekadar menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia,’’ katanya yang mengakui menerima hakikat akan kehilangan anaknya itu pada bila-bila masa sahaja.
‘‘Doktor sendiri telah menasihatkan akak untuk menerima pelbagai kemungkinan,’’ ujarnya.
Sementara itu, ribuan warga kota membanjiri Dataran Merdeka hari ini, untuk menyaksikan perarakan yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Wilayah dengan menampilkan kira-kira 95 kontinjen termasuk pasukan pancaragam sekolah, kakitangan kerajaan dan swasta serta kontinjen perumahan awam, selain perarakan kenderaan seperti kereta mini, motor Vespa dan kenderaan DBKL.
No comments:
Post a Comment