Monday, February 26, 2007

Sindrom lambat membaca

Berita Harian, 26 Februari 2007


Disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman

BIASANYA kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas sudah tahu mengenal huruf, mengeja, membaca dan menulis. Bagaimana pula bagi mereka yang masih tidak mampu melakukan semua itu?

Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap anak mereka yang mengalami masalah berkenaan lembap dan malas tanpa berusaha mengenal pasti punca masalah itu berlaku.

Kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih tidak mampu mengeja dan menulis mungkin disebabkan oleh sejenis sindrom yang dipanggil disleksia. Sindrom lambat membaca ini bukan satu penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran.

Disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia juga dipanggil sebagai sindrom "lambat baca" di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak disleksia adalah normal dari segi fizikal, pemikiran dan cara percakapan tetapi yang membezakan mereka daripada kanak-kanak lain ialah kesukaran membentuk satu kefahaman bagi sesuatu huruf serta menyebutnya.

Rawatan bagi sindrom ini adalah dengan menyertai pelbagai jenis program pembelajaran bagi membentuk minat mereka untuk membaca dan menulis. Sokongan padu amat penting bagi kanak-kanak terbabit.

Presiden Persatuan Kanak-Kanak Disleksia Wilayah Persekutuan, Sariah Amirin, berkata sindrom disleksia agak sukar dikenal pasti kerana ia tidak seperti sindrom atau penyakit lain.

"Jika kanak-kanak mula menunjukkan kelewatan bercakap dengan fasih, lambat mengenal pasti huruf serta menyanyi, mereka mungkin berisiko mengalami disleksia.

"Apabila mereka mula memasuki alam persekolahan keadaan itu akan kelihatan lebih ketara termasuk ketidakupayaan mengenal huruf, membaca, memahami, cepat lupa serta menterbalikkan huruf.

"Kanak-kanak ini juga membaca dari kanan ke kiri, tidak dapat membezakan persamaan perkataan dan kesukaran untuk menyebut ayat yang dieja," katanya.

Disleksia juga boleh diklasifikasikan sebagai kelewatan pembelajaran dari segi umur daripada yang sepatutnya. Kebanyakan kanak-kanak yang berumur enam tahun sudah mampu untuk belajar membaca, tetapi bagi kanak-kanak disleksia, mereka tidak dapat memahami asas pembacaan walaupun sudah mencapai Tahun Satu.

"Tiada ujian tunggal yang dilakukan untuk mengenal pasti disleksia. Penilaian diagnosis yang dilakukan adalah berkaitan dengan perubatan, proses mengenal (kognitif), pengolahan pancaindera dan sejarah perubatan keluarga.

"Rawatan dari segi psikologi juga patut diberikan kepada kanak-kanak ini. Ini boleh menentukan bahawa mereka mengalami masalah sosial atau tidak. Sifat bimbang atau tekanan yang dihadapi akibat kesukaran penerimaan pembelajaran boleh merencatkan kebolehan mereka," katanya.

Komplikasi yang dihidapi oleh kanak-kanak disleksia ini mampu menjejaskan mata pelajaran lain seperti matematik. Selain itu disebabkan membaca adalah perkara asas dalam keseluruhan pembelajaran, kanak-kanak ini akan menghadapi masalah untuk meneruskannya ke peringkat paling tinggi.

Sariah berkata, rawatan pemulihan bagi kanak-kanak ini adalah melalui program pengajaran yang bersesuaian.

Katanya, pengajar perlu menggunakan teknik mendengar, melihat dan sentuhan untuk membantu meningkatkan kemahiran pembacaan mereka.

"Anda boleh membantu dengan cara membacakan buku kepada mereka bagi membantu mereka menyebut sesuatu huruf itu dengan baik.

"Bagi mereka yang tidak boleh membaca, sesi pengajaran mesti dilakukan dalam jumlah kumpulan yang kecil setiap minggu. Selain itu, sokongan keluarga adalah peluang paling besar bagi menyembuhkan disleksia” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu banyak meluangkan masa bercakap dengan mereka dan memberi semangat kepada mereka yang mengalami sindrom disleksia.

“Jangan sekali-kali bandingkan mereka dengan kanak-kanak normal lain. Ini mampu menjatuhkan maruah serta semangat mereka," katanya.



FAKTA: Disleksia

  • Disleksia adalah sejenis sindrom lambat membaca

  • Kanak-kanak berusia lima tahun boleh dikenal pasti sama ada menghidap disleksia atau tidak.

  • Kanak-kanak ini adalah normal seperti kanak-kanak lain, malah mereka juga dikatakan lebih bijak dalam berfikir.

  • Masalah utama penghidap disleksia ialah ketinggalan dalam pelajaran.

  • Cara pembelajaran yang sesuai dan menarik mampu merawat permasalahan disleksia ini.
  • Ibu bapa perlu bimbing pelajar kurang upaya

    Berita Harian, 25 Februari 2007

    Guru Besar SK Pendidikan Khas Kuantan, Naemah Ali, berkata setiap ibu bapa juga perlu mendidik anak mereka supaya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah, termasuk dengan guru dan rakan sekolah mereka.

    Katanya, penyesuaian diri dengan keadaan persekitaran perlu diberi keutamaan kerana ia dapat membantu murid kurang upaya terbabit menerima pendidikan di sekolah berkenaan.

    Beliau berkata, selain itu, guru dan penjaga juga perlu bekerjasama membimbing murid kurang upaya itu mengikuti mata pelajaran akademik dan kokurikulum supaya mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

    "Saya yakin dengan kerjasama ibu bapa, penjaga dan guru memberi bimbingan kepada semua murid kurang upaya di SK Pendidikan Khas ini, mereka akan dapat memperoleh kejayaan cemerlang seperti murid di sekolah biasa pada masa depan.

    "Sehubungan itu, saya harap ibu bapa dan guru dapat memberikan didikan sahsiah, akademik dan penampilan diri kepada murid di sekolah ini.

    "Jika guru memberikan pendidikan akademik dan kokurikulum, ibu bapa pula perlu mendidik anak menjaga kebersihan diri, termasuk pakaian, rambut, gigi dan kuku supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan bersih setiap hari.

    "Saya harap dengan adanya kerjasama dalam memberikan pendidikan kepada murid cacat pendengaran dan bisu di sekolah ini, murid terbabit juga akan memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan seperti diperoleh murid di sekolah biasa," katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Perpustakaan SK Pendidikan Khas Kuantan bagi sesi 2007, kelmarin.

    Pada majlis itu, seramai 20 murid dilantik sebagai Pengawas Sekolah dan 10 lagi dipilih Pengawas Perpustakaan dan diberikan watikah pelantikan, tali leher dan kad akreditasi masing-masing.

    Semua murid terbabit belajar di tahun empat hingga enam di sekolah berkenaan.

    Naemah berkata, selain mengajar membaca dan menulis menggunakan bahasa isyarat, pihaknya juga turut membimbing penggunaan komputer kepada murid kurang upaya itu.

    Sunday, February 25, 2007

    Kini tinggal sebelah

    Harian Metro, 25 Februari 2007

    GEORGETOWN: “Demi masa depannya, saya bersetuju anak saya menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang sebelah kanan,” kata Yusli Hussain, 46, mengenai nasib anaknya yang kini hidup dengan satu buah pinggang.

    Biarpun sedih, beliau sekeluarga terpaksa menerima hakikat anaknya, Muhamad Ismail Daniel Yusli, 3, yang menghidap penyakit kanser usus pada usia terlalu muda, terpaksa dibedah.

    Buah pinggang kanannya terpaksa dibuang akibat penyakit kanser usus yang dialami dan kini hidup dengan buah pinggang sebelah kiri, sekali gus membataskan pergerakannya, sama ada untuk berjalan atau bermain di luar rumah.

    Yusli berkata, pembedahan untuk membuang buah pinggang anaknya dibuat di Hospital Alor Star (HAS) tahun lalu atas nasihat doktor.

    Katanya, sejak lahir anaknya sihat dan periang, tetapi selepas itu dia sering demam dan kemudian perutnya menjadi kembung dan membesar, menyebabkannya terpaksa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

    Yusli yang bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, pendapatannya cuma RM700 sebulan manakala isterinya Hamidah Abdullah, 46, suri rumah.

    “Sekarang anak saya menjalani rawatan kimoterapi dengan kos RM200 setiap bulan. Pendapatan saya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan, termasuk dua anak bersekolah dan bayaran pinjaman rumah,” katanya.

    Yusli ditemui ketika kunjungan Pemuda Umno Bayan Baru di rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, semalam.

    Kunjungan diketuai Ketua Pemuda Umno Bayan Baru, Norman Zahalan bertujuan menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung Yusli. Hadir sama Ketua Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Zain Omar yang menyerahkan sumbangan itu.

    Sementara itu, Zain berkata, usaha dibuat bagi membolehkan Muhamad Ismail mendapat bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    Norman pula turut menyampaikan bantuan lampin pakai buang kepada warga tua yang uzur, Aminah Hussain, 81, di rumahnya di Halaman Mayang, Bukit Gedung.

    Saturday, February 24, 2007

    Peluang Kerja Kepada Penulis OKU

    Oleh: BadruZamani Azmi
    http://www.badruzamani.org/blog/2007/02/24/peluang-kerja-kepada-penulis-oku/

    Assalamualaikum dan Salam bahagia,

    Kepada member - memberku OKU,

    Jika anda :-

    * sudah mempunyai PC dan connection ke internet,
    * mampu menulis dalam Bahasa Melayu atau English atau ke dua - duanya,
    * ingin menambah pendapatan dari rumah anda (hanya duduk rumah aja).

    Saya ingin menawarkan peluang menambah pendapatan kepada anda kerana saya dan beberapa orang rakan anda saya memerlukan khidmat anda untuk menulis :-

    * artikel dalam berbahasa English;
    * menterjemah buku (English) ke Bahasa Melayu;
    * artikel dalam Bahasa Melayu.

    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi saya dengan mengirimkan emel kepada ke alamat info{at}badruzamani.org (Bila nak emel, gantikan tanda {at} dengan tanda @) dengan menulis subjeknya sebagai “Penulis OKU”. Sekian, terima kasih.

    Friday, February 23, 2007

    Perokok mudah kena sakit mental

    Berita Harian, 23 Februari 2007

    NEW YORK: Di kalangan mereka yang mengalami bencana buruk, perokok berisiko tinggi menghidap masalah gangguan kesihatan mental teruk berbanding yang tidak merokok, menurut kajian yang disiarkan dalam Journal of Clinical Psychiatry.

    “Gangguan kesihatan mental selepas trauma seperti gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dikaitkan dengan peningkatan amalan merokok, sama ada dengan mula merokok atau peningkatan penggunaan tembakau,” kata Dr Peter G Van der Velden, dari Institute for Psychotrauma, Belanda, dan pasukannya.

    Bagaimanapun, beberapa kajian trauma meneliti sama ada tabiat merokok adalah faktor risiko atau ‘penanda bagi PTSD atau gangguan kesihatan mental lain berikutan bencana itu.

    Bagi melihat ke dalam aspek itu, penyelidik menjalankan tinjauan selama 18 bulan dan empat tahun selepas bencana mercun di Enschede, Belanda. Termasuk dalam kajian itu ialah 662 mangsa dewasa dan 526 penduduk di sebuah bandar raya lain di negara itu yang dijadikan kumpulan perbandingan.

    Mangsa yang merokok pada penilaian pertama dua kali lebih tinggi menghidap gejala kebimbangan teruk berbanding yang tidak merokok. – Reuters

    , hampir dua kali berisiko mendapat gejala permusuhan dan hampir tiga kali lebih berkemungkinan didiagnos mengalami PTSD berkaitan bencana pada penilaian semalam empat tahun.

    Ketika merokok bukan faktor risiko masalah mental dalam keseluruhan kumpulan perbandingan, dalam kumpulan kecil individu yang pernah mengalami trauma, tabiat merokok pada penilaian pertama dikaitkan dengan empat kali risiko menghidap gejala kebimbangan teruk.

    Jika penemuan ini disahkan oleh kajian lain, mangsa bencana yang merokok boleh mengurangkan risiko mengalami gangguan kesihatan mental jika berhenti merokok, kata Van der Velden dan rakan-rakannya. —Reuters

    Sunday, February 11, 2007

    Zulhanif kini boleh ‘duduk sama tinggi’ dengan rakan

    Berita Minggu, 11 Februari 2007

    PEKAN: Kanak-kanak kenit, Zulhanif Abdul Halim, 7, pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, dekat sini kini boleh ‘duduk sama tinggi’ dengan rakan sebaya selepas menerima kerusi khas disumbangkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.

    Pelajar kenit dengan ketinggian 72 sentimeter dan berat 7.5 kilogram itu mengalami kesukaran menyesuaikan diri dan mengikuti pembelajaran kerana kerusi dan meja dalam kelas terlalu besar untuk saiznya yang kecil.

    Kerusi ciptaan sekumpulan pensyarah UMP yang diberi nama ‘Zump’ diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di sini semalam.

    Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Mohamed Said Mat Lela, berkata nama Zump adalah gabungan nama Zulhanif dan UMP.

    “Ini adalah projek khidmat masyarakat UMP mereka bentuk dan fabrikasi kerusi khas dengan pacuan motor elektrik. Ia disesuaikan dengan asas ergonomik pelajar terbabit dari segi ketinggian dan saiz badan,” katanya.

    Kerusi yang dibina dengan kos kira-kira RM12,000 itu mempunyai bahagian rehat tangan dan kaki, bahagian duduk yang boleh dilaras dan rak buku di kiri serta kanan tempat duduk.

    Selain itu, ciri tambahan kerusi itu dilengkapi pelindung keselamatan dan mudah alih.

    Projek khidmat masyarakat itu diketuai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UMP, Profesor Madya Dr Rosli Abu Bakar dan dibantu Gan Leong Ming, Wong Hong Mun, Devarajan Ramasamy, Mohd Fazli Ismail, Faizul Syahidan Rajuli dan Mohd Aminuddin Ayob.

    Zulhanif walaupun kurang bercakap tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya menerima kerusi khas itu dan tidak keberatan apabila diminta mencubanya sambil diperhatikan orang ramai.

    “Saya suka dengan kerusi ini kerana dapat duduk lebih selesa dalam kelas. Malah, saya termimpi-mimpi apabila diberitahu akan mendapat kerusi ini,” katanya.

    Bapanya, Abdul Halim Sulaiman, 30, berkata kerusi itu akan memudahkan anaknya mengikuti pelajaran dalam bilik darjah.

    “Sebelum ini, dia terpaksa mendongak untuk melihat ke arah papan hitam, tetapi dengan adanya kerusi ini kedudukannya boleh diubah suai,” katanya.

    Beliau menyifatkan sumbangan itu tidak ternilai harganya kepada Zulhanif dan beliau sekeluarga.

    “Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit memberikan sumbangan ini, terutama UMP,” katanya.

    Friday, February 02, 2007

    Impian 2 beradik sakit saraf saksi sambutan Hari Wilayah tercapai

    Utusan Malaysia, 2 Februari 2007

    HAMIDAH Abdul Aziz membawa anak-anaknya yang kurang upaya Mohd. Nizam (kiri) dan Atiqah Amirah menyaksikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2007 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

    KUALA LUMPUR 1 Feb. – Ibarat tangisan dalam ketawa. Itulah perasaan ibu pasangan adik- beradik, Atikah Amirah Md Nizam, 13, dan Ahmad Nazmi (gambar), 8, yang menghidap penyakit saraf Spinal Muscular Atrophy Type 2 sejak kecil ketika melihat aksi riang mereka yang berpeluang merasai sendiri kemeriahan perarakan sempena sambutan Hari Wilayah Ke-33 di sini hari ini.

    Berbeza dengan ribuan warga kota lain yang turut mengikuti pelancaran sambutan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, acara itu mungkin yang terakhir bagi kedua-dua beradik itu kerana keadaan mereka yang disahkan doktor semakin serius dan tiada penawar bagi penyakit itu.

    Ibu mereka, Hamidah Abdul Aziz, 37, berkata, beliau terpaksa menghadapi risiko membawa kedua-dua anaknya menyaksikan sambutan itu di Dataran Merdeka semata-mata bagi memastikan mereka bergembira, dan yang penting melihat keletah dan ketawa mereka yang menjadi penawar kepada dirinya sepanjang menjaga mereka.

    ‘‘Lagipun ini permintaan mereka sendiri dan memang saya bimbang tetapi yang penting saya dapat tunaikan permintaan kedua-dua anak saya yang mungkin menjadi permintaan terakhir,’’ katanya sayu sambil melihat gelagat riang kedua-dua anaknya itu yang berkerusi roda dan tidak henti-henti melambai kepada setiap anggota kontinjen yang menyertai perarakan sambutan itu.

    Menurutnya, bagi mengelakkan perkara buruk, semua bekalan ubat dan peralatan perubatan anak-anaknya itu turut dibawa bersama, terutama kerana baru-baru ini anak keduanya, Atikah mengalami sesak nafas dan doktor menasihati agar mengurangkan aktiviti luar.

    Hamidah berkata, bagi memastikan anak-anaknya selesa mengikuti perarakan itu, suaminya, Md Nizam Md Som, 39, seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), membuat tinjauan terlebih dahulu di Dataran Merdeka bagi mencari laluan sesuai untuk menolak kerusi roda dan menempatkan mereka.

    ‘‘Sudah jadi kelaziman kepada suami saya untuk meninjau dahulu tempat yang hendak dibawa kedua-dua anak kami berjalan-jalan, kalau-kalau ada kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU),’’ katanya.

    Hamidah berkata hari ini, suaminya yang tidak dapat menemaninya kerana perlu bertugas, telah menghantar mereka seawal 6.30 pagi untuk memastikan mereka mendapat lokasi yang sesuai.

    ‘‘Tetapi saya sedikit kecewa kerana anak-anak saya tidak berpeluang menyaksikan perarakan dengan lebih dekat kerana dihalang penonton,’’ katanya yang berhenti kerja bagi memastikan dua daripada tiga anaknya itu yang disahkan menghidap penyakit berkenaan berpeluang bersekolah di Sekolah Khas Seri Indah di sini.

    ‘‘Saya terpaksa berhenti kerja semasa usia Atikah dua tahun lagi kerana penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu untuk berjalan. Bukan sahaja terpaksa menguruskan persekolahan mereka setiap hari malah menguruskan makan dan minum,’’ katanya.

    Beliau berkata, selepas doktor mengesahkan penyakit itu tiada penawarnya, sebagai ibu beliau hanya berupaya memberikan kasih sayang dan perhatian sewajarnya.

    ‘‘Disebabkan tiada ubat, Atikah dan Ahmad hanya sekadar menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia,’’ katanya yang mengakui menerima hakikat akan kehilangan anaknya itu pada bila-bila masa sahaja.

    ‘‘Doktor sendiri telah menasihatkan akak untuk menerima pelbagai kemungkinan,’’ ujarnya.

    Sementara itu, ribuan warga kota membanjiri Dataran Merdeka hari ini, untuk menyaksikan perarakan yang julung kali diadakan sempena sambutan Hari Wilayah dengan menampilkan kira-kira 95 kontinjen termasuk pasukan pancaragam sekolah, kakitangan kerajaan dan swasta serta kontinjen perumahan awam, selain perarakan kenderaan seperti kereta mini, motor Vespa dan kenderaan DBKL.

    Thursday, February 01, 2007

    Budak cacat pendengaran diberi bantuan

    Harakahdaily, 31 Januari 2007

    Salmah Mat Husain

    Wed | Jan 31, 07 | 03:33:24 AM

    KOTA BHARU, 31 Jan (Hrkh) – Keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dapat disangkal lagi apabila pelbagai program dan bantuan disediakan kepada mereka.

    Kelmarin seorang kanak-kanak, Nur Qamarina Azimi, dua tahun menerima sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM3,480 bagi membeli alat bantuan pendengaran.

    Ayah kepada budak malang itu, Azimi Arshad, 40 melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap masalah yang dihadapi anaknya sejak dilahirkan lagi.

    “Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan kewangan kepada anak saya,” katanya selepas menerima cek bantuan OKU di pejabat Exco di Kota Darulnaim.

    Bantuan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Haji Zakaria Yaakob.

    Azimi seorang kakitangan kerjaaan berkata, beliau mulai menyedari anaknya mengalami masalah pendengaran apabila setiap kali dipanggil namanya dia tidak menunjukkan sebarang reaksi.

    Berikutan Nur Qamarina dibawa ke Hospital Universiti Sains di Kubang Kerian dan doktor mengesahkan dia mengalami masalah pendengaran. Berikutan itu doktor mencadangkan anaknya menggunakan alat bantuan pendengaran.

    “Sebelum ini saya pernah memohon bantuan serupa dari pihak tertentu tetapi gagal,” ujarnya. Turut hadir di majlis itu isterinya, Nor Azizni Abdul Rahman.