Wednesday, August 23, 2006

Bas awam PBT tak mesra OKU

Berita Harian, 23 ogos 2006

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kesal dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat pengangkutan awam yang enggan menyediakan kemudahan khusus untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.


Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata meskipun peraturan sudah ada, malangnya ia dipandang ringan oleh PBT dan syarikat pengangkutan awam.

�Sekarang kita lihat kebanyakan pemaju, perancangan bandar dan desa, membina bangunan tanpa prasarana dan kemudahan untuk OKU dan warga emas.

�Ini disebabkan kecuaian PBT ketika meluluskan projek. Mereka sepatutnya pastikan semua kemudahan itu ada sebelum meluluskannya,� katanya selepas melancarkan program Diploma Pendidikan Khas di Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor di sini, semalam.

Diploma yang ditawarkan oleh Kolej Dika itu adalah program pertama seumpamanya di negara ini, yang mengambil masa dua setengah tahun dengan menawarkan kursus berkaitan pembelajaran untuk kanak-kanak istimewa seperti Sindrom Down, Disleksia, Autisme dan spastik.

Shahrizat berkata, beliau kesal dengan PBT yang tidak menghiraukan perkara itu.

�Masalah sama berlaku di jalan raya, di tempat letak kereta dan yang paling saya dukacita pengangkutan awam,� katanya.

Contohnya RapidKL, mereka tak nak belanjakan sedikit duit untuk buat tangga hidraulik bagi kegunaan OKU yang berkerusi roda,� katanya.

�Ada pangsapuri empat hingga lima tingkat yang tidak mempunyai kemudahan lif. Kebanyakan penduduknya terdiri daripada warga emas, OKU serta wanita mengandung.

�Jika kemudahan itu tidak disediakan sebaiknya ia menjadi beban kepada masyarakat serta menyukarkan pergerakan harian mereka,� katanya.

Shahrizat berkata, negara kini menghadapi kekurangan guru untuk mendidik kanak-kanak istimewa.

Katanya, nisbah sesuai ialah 1:5, jadi negara memerlukan 360,000 guru terlatih.

�Oleh itu, kementerian akan menghantar kakitangan Pusat Dalam Komuniti (PDK) untuk kursus Diploma Pendidikan Khas supaya dapat membantu mengajar kanak-kanak istimewa dengan cara yang lebih profesional,� katanya.

Ditanya mengenai Akta Orang Kurang Upaya, Shahrizat berkata, kementerian mahu memberi hak sama rata kepada golongan itu melalui akta yang akan dibentangkan di Parlimen, Januari depan.

�Selain itu kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, bulan lalu, bagi memastikan negara kita bebas halangan,� katanya.

No comments: