Thursday, May 31, 2007

Mangsa terpaksa dipotong kaki, bayi belum sedar

Utusan Malaysia, 31 mei 2007

ALOR STAR 30 Mei – Dua mangsa yang terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan meragut lapan nyawa di Plaza Tol Hutan Kampung dekat sini, petang semalam, dilaporkan stabil dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alor Star (HAS), di sini.

Bagaimanapun, kaki kiri salah seorang mangsa berkenaan, Umi Syakila Mohd. Sobri, 23, terpaksa dipotong dari paras lutut kerana kecederaan teruk akibat kemalangan itu.

Dia merupakan anak angkat kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian itu, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, dari Kampung Lubuk Batu, Wang Tepus dekat Jitra.

Umi Syakila yang merupakan pemandu kereta Perodua Kancil ditempatkan di ICU bersama-sama anak tunggalnya berusia enam bulan, Mohd. Arif Irfan Taqyuddin, yang cedera di kepala dan masih belum sedarkan diri selepas dimasukkan ke HAS, semalam.

Sementara itu, suami Umi Syakila, Ahmad Taqyuddin Hamzah, 25, ketika ditemui di HAS hari ini kelihatan muram dan sangat tertekan akibat kejadian menimpa isteri serta anak lelakinya itu dan enggan mengulas lanjut ketika ditemui.

“Saya tidak mahu komen panjang, cuma doktor kata semua (isteri dan anak) stabil, keadaan baik,” jawabnya ringkas kepada pemberita.

Bapa mertua Umi Syakila, Hamzah Othman, 53, pula berkata, menantunya itu belum mengetahui kematian ibu angkatnya dan juga keadaan anak tunggalnya yang masih dirawat di ICU kerana tidak mahu mengganggu fikirannya.

Saturday, May 26, 2007

Enggan beli nasi, emak dipijak hingga mati

Utusan Malaysia, 26 mei 2007

RAMAH SA'AT.

TANAH MERAH 25 Mei – Seorang ibu mati selepas dipijak dan dipukul oleh anak lelakinya yang dipercayai kurang siuman di rumah mereka di Kampung Kelewek dekat sini petang ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang apabila mangsa, Ramah Sa'at, 70, (gambar), enggan menurut arahan suspek yang menyuruh mangsa membeli nasi di kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Anuar Muhammad berkata, sebelum kejadian berlaku mangsa dikatakan sedang berbual dengan anak lelaki jirannya yang berusia 17 tahun di tangga rumahnya.

"Suspek yang berusia 33 tahun secara tiba-tiba muncul dari dalam rumah dan menyuruh emaknya pergi ke kedai untuk membeli nasi.

"Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian dan dia kemudian turun ke halaman rumah. Suspek yang berang terus memukul emaknya dengan tangan di bahagian belakang leher sehingga jatuh ke tanah.

"Dia kemudian bertindak liar dengan memijak belakang dan kepala mangsa sehingga wanita itu tidak sedarkan diri. Ramah mengalami pendarahan serius pada hidung dan telinga," kata Anuar ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, tindakan suspek menyebabkan remaja terbabit ketakutan dan melarikan diri.

Suspek kemudian ditahan kira-kira 150 meter dari rumahnya oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.

"Ramah disahkan meninggal dunia sebelum ambulans tiba di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit pernah mendapatkan rawatan sakit jiwa di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

"Bagaimanapun, sejak keluar hospital dia enggan makan ubat dan mendapatkan rawatan lanjut," kata Anuar.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.

Friday, May 25, 2007

Pesara askar kurang upaya terkilan

Berita Harian, 25 mei 2007

SAYA rasa terpanggil untuk menyatakan bahawa di sebalik kegembiraan kakitangan awam, polis dan tentera menerima tangga gaji baru mulai Julai ini, saya terkilan kerana Angkatan Tentera masih mengikut peraturan 1952 untuk pegawai kerahan dalam pemberian pencen kurang upaya.


Saya adalah penerima pencen berkenaan sejak tamat perkhidmatan pada 1988 selepas berkhidmat sepenuh masa selama 11 tahun 28 hari.

Pencen berkenaan mengikut ‘The Malay Regiment and The Federation Regiment (retired pay, pension, gratuity and other grants) regulations 1952’. Apakah peraturan era komunis itu masih relevan masa kini?

Berkali-kali kedengaran kenyataan pemimpin bahawa elaun kurang upaya akan dinaikkan tapi sudah 19 tahun berlalu, elauan saya masih sama iaitu RM140. Elaun sebanyak itu untuk kegunaan sendiri pun tidak mencukupi.

Dengan demikian adalah tidak adil jika peraturan dalam era komunis itu masih diguna pakai sehingga kini.

KAPTEN (B) KERAHAN,

Taman Permata, Hulu Klang.

Monday, May 21, 2007

Robot humanoid terbaru

Utusan Malaysia, 21 mei 2007

ROBOT humanoid banyak dihasilkan di negara maju sebagai satu cara untuk membantu mereka yang memerlukan misalnya mereka yang kehilangan anggota tubuh semasa kemalangan.

Baru-baru ini tiga jenis robot humanoid telah dipamerkan semasa American Association for The Advancement of Science (AAAS) di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Ini boleh dikatakan satu langkah besar apabila tiga mesin humanoid yang boleh berjalan seperti manusia diperkenalkan.

Ketiga-tiga robot berkenaan bukan saja boleh bergerak seperti manusia tetapi juga menghayun tangan serta dilengkapi dengan bebola mata.

Robot pertama dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) yang dinamakan Toddler kerana gayanya berjalan seperti bayi baru bertatih.

Toddler dilengkapi dengan otak yang kurang daripada seekor semut tetapi masih boleh belajar perkara-perkara baru.

Robot kedua, Denise merupakan hasil rekaan penyelidik Universiti Delft, Netherland pula setinggi wanita.

Robot ketiga pula hasil rekaan Universiti Cornell pula boleh membengkokkan badan untuk mengutip barangan yang terjatuh di hadapan mereka.

Ketiga-tiga robot berkenaan hampir sama efisien dengan manusia kerana menggunakan tenaga untuk mengangkat kaki dan graviti akan menarik kaki ke lantai.

Sebelum ini tidak banyak kajian yang berjaya menghasilkan robot yang dapat berjalan seperti manusia.

Robot memerlukan tenaga yang minimum untuk berjalan di permukaan mendatar atau menuruni cerun tetapi motor yang lebih besar diperlukab bagi kuasa memanjat tangga, berlari dan melompat.

– KHAIRUNNISA

Thursday, May 17, 2007

Belum mesra OKU

Harian Metro, 10 Mei 2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

KUALA LUMPUR: Masjid Negara belum lagi dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) seperti kemudahan laluan kerusi roda dan tandas khas.


Ketua Rombongan Program Retreat Penyediaan Kemudahan OKU Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke Masjid Negara, Alias Marjoh, berkata masjid berkenaan tidak menyediakan kemudahan OKU kerana bangunannya dikategorikan binaan lama yang berusia hampir 40 tahun.

“Bangunan Masjid Negara dibina pada 1965, ketika tiada penekanan dibuat untuk membina bangunan yang mesra OKU,” katanya ketika membuat lawatan ke Masjid Negara bersama sekumpulan pegawai DBKL bagi menjalankan Audit Akses, semalam.

Alias berkata, sebagai satu daripada tarikan pelancong, sewajarnya kemudahan untuk OKU disediakan kepada semua peringkat golongan bagi memudahkan mereka menunaikan solat di Masjid Negara.

Menurutnya, pihak DBKL akan mengadakan Audit Akses bagi mengenal pasti keperluan kemudahan mesra OKU di masjid berkenaan.

Laporan Audit Akses itu, katanya, akan diserahkan kepada pihak pengurusan masjid berkenaan supaya tindakan dapat diambil bagi menyediakan sekurang-kurangnya keperluan minimum untuk OKU.

Antara kemudahan minumum yang perlu disediakan ialah penambahan ram (laluan) kerusi roda, railing tangga mesra OKU serta beberapa kawasan di masjid itu yang boleh menimbulkan bahaya kepada golongan terbabit.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syeikh Ismail Muhammad, berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha menyediakan kemudahan kepada pelancong, jemaah dan OKU.

Menurutnya, beliau mahu orang ramai, terutama golongan OKU datang beribadat di masjid tanpa sebarang alasan seperti tidak boleh menaiki tangga, susah dan tiada kemudahan sesuai.

Tuesday, May 15, 2007

Guru buta tabah didik pelajar

Utusan Malaysia, 15 Mei 2007

Oleh ADNAN MOHAMAD

KUALA TERENGGANU 14 Mei – Cacat penglihatan, tetapi ia tidak menghalang seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini untuk mencurahkan jasanya mendidik pelajar agar menjadi warga negara berguna.

Walaupun terpaksa dipimpin setiap kali ke kelas untuk mengajar, Mohamed Ismail, 53, tidak pernah berasa rendah diri, sebaliknya berbangga kerana bidang perguruan yang diceburinya dapat membantu pelajar terutama dari golongan miskin untuk mengubah taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Mohamed ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini menganggap dirinya umpama lilin yang menerangi orang lain meski pun beliau sendiri tidak pernah melihat cahaya kerana buta sejak lahir.

“Menurutnya, setakat ini beliau tidak menghadapi masalah semasa mengajar atau bergerak di dalam kelas menggunakan tongkat kerana sering dibantu oleh guru-guru lain serta para pelajar sekolah berkenaan.

“Mereka selalu memimpin saya untuk dibawa ke kelas atau ke bilik guru sebaik sahaja selesai mengajar,” ujarnya yang mengajar mata pelajaran Sejarah untuk pelajar tingkatan satu dan dua SMK Seri Nilam.

Mohamed yang menceburi bidang perguruan sejak 26 tahun lalu memberitahu, semua bahan pengajaran diperoleh dari huruf braile yang kemudiannya diterjemahkan oleh isteri, Junainah Wan Chik, 49, atau anak-anaknya sebelum dicetak dan diagihkan kepada pelajar.

Di atas kecemerlangannya, Mohamed yang mempunyai tujuh anak dianugerahkan Guru Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang Peringkat Kebangsaan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2005.

“Saya bangga kerana walaupun cacat penglihatan namun saya diberi kepercayaan untuk mengajar murid-murid normal,” ujarnya.

Seperti guru-guru lain, beliau yang berkelulusan Diploma Pendidikan dan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Melayu serta Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya (UM) bangga kerana jasa mereka diingati melalui sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Bagi Mohamed, sambutan Hari Guru disambut dengan perasaan terharu kerana segala jerih payah golongan guru dihargai dan disanjung tinggi.

Katanya, cabaran dalam bidang perguruan bukan sedikit malah menuntut kekuatan semangat yang jitu jika tidak mahu kecundang di tengah jalan.

“Para pelajar serta ibu bapa sekarang tidak sama seperti dulu, justeru para guru perlu mempunyai kemahiran komunikasi dan menyelesaikan masalah supaya tidak timbul sebarang salah faham,” ujarnya.

Monday, May 07, 2007

OKU sakit hati

Harian Metro, 7 Mei 2007

KUALA LUMPUR: “Sukarnya orang kurang upaya (OKU) mendapatkan kerja, hanya Allah yang tahu. Saya pernah kecewa, marah dan sakit hati mendengar kata-kata ‘kami tidak upah orang cacat bekerja’ setiap kali pergi temuduga.

“Setiap kali itu hati saya penuh dengan perasaan ingin memberontak kerana ternyata banyak majikan mengamalkan sikap diskriminasi, sedangkan saya dan OKU lain memiliki ijazah dan memenuhi semua syarat diperlukan.

“Saya bekerja bersungguh-sungguh bagi membuktikan OKU boleh menjadi pekerja baik,” kata penerima Anugerah Tokoh Pekerja Perempuan (OKU) 2007, Hamidah Hassan.

Walaupun lumpuh kedua-dua belah kaki selepas pembedahan pembuangan ketumbuhan pada belakang badannya ketika berumur 21 tahun, Hamidah tidak pernah kenal erti putus asa, sebaliknya kekurangan itu dijadikan cabaran untuk bersaing dengan rakan sekerja yang normal.

Dia juga pernah bekerja dengan beberapa syarikat lain sebelum bekerja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2002.

“Saya gembira, terharu dan bangga dengan anugerah ini. Yang membezakan OKU dengan orang normal hanyalah kecacatan fizikal kerana kami juga belajar hingga ke universiti,” kata Penolong Pengarah (Latihan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu.

Pengalaman pahitnya turut dialami penerima Anugerah Tokoh Pekerja Lelaki (OKU) 2007, Francis Johen Adam, graduan undang-undang Universiti Malaya yang kini bertugas sebagai Pegawai Undang-undang Kanan, Jabatan Undang-undang Negeri, Sarawak.

“Apabila dapat kerja, saya bekerja bersungguh-sungguh dan berusaha menambah pengetahuan untuk menjadi pekerja lebih baik. Kecacatan tidak menjadi penghalang bagi OKU seperti kami menjalankan tugas dan selepas ini saya harap lebih banyak majikan akan ubah persepsi mereka terhadap orang cacat.

“Saya bersyukur kerana majikan memahami kesukaran yang dialami OKU seperti saya dengan menyediakan kemudahan dan mengubahsuai laluan masuk ke pejabat.

“Yang penting ialah memberi OKU peluang dan bukannya terus meminggirkan mereka,” katanya yang pernah menerima anugerah Tokoh Orang Cacat Negeri Sarawak dan Anugerah Sukarelawan Kebajikan Sarawak.

Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Lelaki (Kumpulan Eksekutif) 2007, Dr Ahmad Parveez Ghulan Kadir pula bersyukur dengan penghargaan itu yang menandakan hasil kerja dan penyelidikannya selama ini dalam bidang transformasi genetik kelapa sawit dihargai.

Prinsip Pegawai Penyelidik Prinsipal Lembaga Minyak Sawit Malaysia itu ialah tidak mudah berpuas hati, malah Islam juga menyarankan umatnya supaya sentiasa berusaha mencapai kejayaan lebih baik dalam segala segi.

“Selain berusaha, kita berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jika gagal bermakna kita perlu lebih berusaha.

“Saya harap anugerah ini boleh menjadi perangsang kepada anak untuk menjadi insan berguna,” katanya yang pernah memenangi banyak anugerah lain antaranya Tokoh Maulidur Rasul dan The Outstanding Young Malaysian pada 2006 serta Anugerah Saintis Muda pada 2001.

Sebanyak 14 anugerah tokoh pekerja disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Hari Pekerja 2007 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Wira Dr Fong Chan Onn.

Antara penerima lain ialah Mohamad Harun (Tokoh Pekerja Lelaki (Kumpulan Bukan Eksekutif), Tan Lan Chu (Tokoh Pekerja Perempuan (Kumpulan Eksekutif), Jamiah Abd Hamid (Tokoh Pekerja Perempuan (Kumpulan Bukan Eksekutif).

Manakala Golden Hope Plantation menerima Anugerah Majikan Prihatin (Industri Besar), Maroz Tailoring Sdn Bhd (Majikan Prihatin (IKS), Grand Banks Yatchs Sdn Bhd (Majikan Berdaya Saing (Industri Besar), Ladang Mostyn, Sabah (Ladang Bahagia), Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kesatuan Pekerja Contoh (sektor awam) dan National Union of Plantation Workers (Kesatuan Sekerja Contoh (sektor swasta).

Friday, May 04, 2007

Mohd. Zahir contoh kepada pelajar lain

Utusan Malaysia, 4 Mei 2007

Oleh: SAMSUDIN OLI MOHAMED

KASIH ibu...Puteh Johari sentiasa memberi semangat kepada Mohd. Zahir Mohd. Saad.

BERKERUSI roda tidak pernah menghalang keinginan dan hasrat Mohd. Zahir Mohd. Saad, 23, untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bagi mengejar impian.

Walaupun terpaksa berkerusi roda untuk bergerak, beliau tetap mempunyai keazaman untuk berjaya seperti rakan-rakan lain dan bercita-cita menggenggam ijazah.

Mohd. Zahir adalah antara pelajar yang mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah bagi program pengajian jarak jauh (PJJ) sesi April 2007/2008.

Beliau mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (BPM).

Anak bongsu dari tiga beradik yang dilahirkan tidak mempunyai kaki dan tangan ini menyimpan hasrat menyambung pengajian.

Semuanya bagi merealisasikan cita-cita untuk maju dalam hidup walaupun terpaksa menggunakan wang sendiri sebanyak RM1,888 untuk membiayai yuran pengajian.

Menurut Mohd. Zahir, ibu dan keluarga adalah pendorong utama untuk terus meneroka ilmu pengetahuan untuk menjadi insan yang berjaya.

“Saya juga berharap dapat mengikuti pengajian di sini dengan baik dan akan berusaha bersungguh-sungguh bagi membuktikan saya boleh berjaya seperti rakan-rakan lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis pendaftaran tersebut, baru-baru ini. Beliau ditemani ibunya, Puteh Johari, 56.

Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra ini bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Taman Sinar Harapan (Jitra) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kedah.

Sementara itu, Puteh berbangga kerana anaknya mempunyai hasrat untuk melanjutkan pengajian walaupun kurang berupaya.

Katanya, Mohd. Zahir memilih UUM kerana kedudukannya berdekatan dengan kediaman mereka selain universiti itu antara yang terbaik dalam bidang pengurusan.

“Kami akan sentiasa memberi sokongan dan membantu bagi memastikan beliau berjaya,” katanya yang menjadi teman setia Zahir sejak tadika sehinggalah ke sekolah menengah.

Adalah menjadi rutin bagi Puteh menghantar dan mengambil anaknya sejak tadika hingga menamatkan pengajian di tingkatan lima di SMK Pulau Nyior.

Malah, ketabahan ibu ini turut diiktiraf sekolah tersebut yang menyampaikan anugerah Waris Jaya kepada Puteh pada tahun 2003 sempena Hari Anugerah Cemerlang sekolah itu.

Seramai 208 telah mendaftar bagi mengikuti program PJJ sesi kemasukan Semester April Sesi 2006/2007 di Kampus Sintok universiti itu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 115 pelajar mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (BPM), 66 bagi Pentadbiran Perniagaan (BBA) dan 27 Komunikasi (BComm).