HUSM berjaya bedah otak rawat Parkinson
Utusan Malaysia, 25 April 2007
Oleh HAPIZAH AZIZ
KOTA BHARU 24 April – Kejayaan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini menjalankan pembedahan stimulasi otak bagi merawat penyakit Parkinson baru-baru ini memberi peluang kepada pesakit terutama di Pantai Timur dipulihkan dengan kos yang jauh lebih rendah.
HUSM merupakan satu daripada tiga hospital di negara ini yang telah menjalankan kaedah terbaru itu sejak dilengkapi dengan kepakaran serta peralatan pembedahan dan rawatan terkini berharga RM1.7 juta.
Ketua Jabatan Neurosains HUSM, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, sekiranya pembedahan dilakukan di hospital swasta, ia dianggarkan menelan kos lebih RM200,000 berbanding sekitar RM90,000 di HUSM.
Katanya, pembedahan dilakukan bagi memasukkan elektrod dengan dua saluran di kawasan sel otak sebelah kiri dan kanan kepala.
“Elektrod sepanjang enam sentimeter itu digerakkan dengan kuasa bateri kecil yang ditanam pada bahagian dada pesakit dan akan bertindak menyeimbang dan meredakan getaran anggota pesakit,” ujarnya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini bagi memaklumkan kejayaan pembedahan yang dilakukan ke atas seorang pesakit Parkinson yang kronik, Che Idris Che Ahmad, 54, pada 21 Mac lalu.
Turut serta pakar neurologi, Dr. Abdul Rahman Izani Ghani dan perunding neurologi, Prof. Madya John Tharakan.
Katanya, dengan kejayaan itu, ia memberi kemudahan pesakit di Pantai Timur dan juga di negeri-negeri di utara Semenanjung menjalani kaedah rawatan terkini itu.
Beliau menganggarkan terdapat antara 2,000 hingga 3,000 orang di kawasan berkenaan yang mengidap penyakit itu termasuk sekitar 500 hingga 600 orang di Kelantan.
“Terdapat pesakit yang enggan mendapatkan rawatan hospital untuk mengelak ia menjadi kronik dan hanya tertumpu kepada rawatan tradisional kerana merasa malu,” ujarnya.
Beliau berkata, dengan kemajuan teknologi terkini, kejayaan rawatan berkenaan membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan yang berkualiti, mampu berdikari termasuk kembali bekerja.
Beliau memberitahu, parkinson adalah sejenis penyakit yang menyebabkan pergerakan tidak terkawal dan antara puncanya ialah keturunan, kecederaan otak yang lama, jangkitan kuman dan serangan angin ahmar.
Menurutnya, pesakit yang menjalani pembedahan perintis itu dikenal pasti mengidap Parkinson sejak 1991 dan memakan ubat untuk penyakit itu, namun sejak lima tahun kebelakangan ini, penyakitnya semakin teruk dan dicadangkan menjalani pembedahan.
‘‘Pembedahan selama tiga jam dilakukan oleh sekumpulan pakar neurosains, bius, psikologi dan radiologi dengan dua jam daripadanya, pesakit berada dalam keadaan sedar dan mengetahui perjalanan pembedahan yang dilakukan,” katanya.