Friday, March 31, 2006

RM300 setahun pelajar OKU maktab, matrikulasi (utusan malaysia, 31 mac 2006)

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kementerian Pelajaran akan memperluaskan bantuan elaun khas dan insentif kepada pelatih dan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang menuntut di maktab perguruan dan kolej matrikulasi di bawah kementerian itu.

Setakat ini, bantuan seperti itu hanya diberikan kepada pelajar-pelajar OKU di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap pelatih dan pelajar OKU akan menerima elaun khas RM300 setahun sepanjang tempoh pengajian di kolej matrikulasi dan maktab perguruan.

Katanya, golongan ini juga diberi penginapan percuma di kedua-dua institusi berkenaan.

``Langkah ini diharap dapat membantu mereka menerima pendidikan lebih sempurna dan selesa, sekali gus menggalakkan mereka terus berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran sisipan Titian akhbar Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, pemberian elaun khas dan insentif itu melibatkan enam kategori pelajar OKU iaitu kurang pendengaran, kurang penglihatan, kurang upaya kekal, kecacatan kedua-dua atau sebelah tangan, masalah pembelajaran dan kecacatan lain yang disahkan oleh pakar perubatan hospital kerajaan.

``Sehingga kini, pihak kementerian sedang mengenal pasti jumlah pelatih dan pelajar OKU yang layak menerima bantuan tersebut.

``Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan bahawa hanya mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta memiliki nombor pendaftaran OKU atau Kad Kenal Diri OKU sahaja layak menerima elaun khas dan insentif tersebut,'' jelasnya.

No comments: