Friday, March 31, 2006

RM300 setahun pelajar OKU maktab, matrikulasi (utusan malaysia, 31 mac 2006)

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kementerian Pelajaran akan memperluaskan bantuan elaun khas dan insentif kepada pelatih dan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang menuntut di maktab perguruan dan kolej matrikulasi di bawah kementerian itu.

Setakat ini, bantuan seperti itu hanya diberikan kepada pelajar-pelajar OKU di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap pelatih dan pelajar OKU akan menerima elaun khas RM300 setahun sepanjang tempoh pengajian di kolej matrikulasi dan maktab perguruan.

Katanya, golongan ini juga diberi penginapan percuma di kedua-dua institusi berkenaan.

``Langkah ini diharap dapat membantu mereka menerima pendidikan lebih sempurna dan selesa, sekali gus menggalakkan mereka terus berusaha melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran sisipan Titian akhbar Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, pemberian elaun khas dan insentif itu melibatkan enam kategori pelajar OKU iaitu kurang pendengaran, kurang penglihatan, kurang upaya kekal, kecacatan kedua-dua atau sebelah tangan, masalah pembelajaran dan kecacatan lain yang disahkan oleh pakar perubatan hospital kerajaan.

``Sehingga kini, pihak kementerian sedang mengenal pasti jumlah pelatih dan pelajar OKU yang layak menerima bantuan tersebut.

``Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan bahawa hanya mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta memiliki nombor pendaftaran OKU atau Kad Kenal Diri OKU sahaja layak menerima elaun khas dan insentif tersebut,'' jelasnya.

Thursday, March 16, 2006

Siswazah Lumpuh Terus diketepikan

Warta Perdana, 16 julai 1995

Thursday, March 02, 2006

Persolan biasa mengenai OKU penglihatan

Along Zahari

Pendidik/Penterjemah/Aktivis Oku, seni, bahasa dan sastera.



Untuk edisi sulung ini, saya akan cuba menjelaskan dua persoalan yang sering ditanyakan kepada oku penglihatan.

Mudah2an, pengetahuan yang diperolehi nanti dapat dimenafaatkan bersama. Selamat membaca.

Soalan 1:
Macam mana oku penglihatan membezakan siang dan malam?

Jawapan:
Tentang perbezaan siang dan malam tu, boleh tahan juga kalau nak dihuraikan. Bagi yang tak pernah melihat sejak lahir, saya tak dapatlah nak cerita. BagiSaya, alhamdulillah, nikmat melihat yang pernah saya kecapi selama lebih kurang 9 tahun itu dapat membantu saya bercerita sedikit sebanyak. Kalau tak pernah melihat sejak lahir, its just impossible to describe what darkness, light and colurs mean. Misalnya, kalau seorang oku pengglihatan yang tak pernah melihat warna bertanya warna biru itu macam mana? Biasanya jawapan yang akan diberikan ialah biru itu seperti warna langit. Sebenarnya, yang menjawab ttu telah menserabutkan lagi keadaan. How on earth does this poor fellow know apa itu lagint pula. Apa lagi rupa bentuknya. Kalau dia berrtanya tentang warna hijau pula, selalunya orang akan menjawab bahawa hijau adalah warna daun. Still, it does not bring any meaning to yang menyoal. Bagi dia, daun adalah sehelai benda yang berbentuk bujur yang ada seperti tulang di tengah dan bercabang2 pula yang dihubungkan oleh a piece of something yang lembut. Tapi bagisaya, saya bersyukur kerana masa saya mampu melihat dulu, saya pernah tengok warna, langit, bulan, bintang, matahari dan berbagai lagi. cuma yang saya tak mampu mengesan dengan sedikit penglihatan yang diberikan kepada saya dulu itu ialah mengenal wajah orang termasuk wajah ibu saya sendiri. Saya akan mengenali seseorang itu daripada warna baju yang dipakainya attau suaranya. Penglihatan yang saya pernah miliki dulu tidak cukup untuk membolehkan saya membaca tulisan pada buku atau akhbar juga papan hitam.

Orang pernah bertanya: "Jadi, kamu hanya nampak warna hitam sajalah sepanjang masa?" Well, bagisaya, yang saya nampak ialah bukannya hitam. Cuma gelap. Siang malam sama saja. Yang membezakan adalah suasana sekeliling. Pada zaman ini, macam2 ada yang boleh membantu kami membezakan siang dan malam itu. Jam khas sudah dicipta sama ada menggunakan Braille atau suara daripada jam tangan hinggalah ke jam dinding. Di samping itu, radio juga paling berkesan membantu kami mengetahui masa. Kalau ditakdirkan kami berada di suatu tempat yang tiada jam atau radio, maka terpaksalah kami bergantung kepada faktor2 lain. Panas dan sejuk; riuh dan sunyi; bunyi cengkerik dan hidupan malam dan yang seumpamanya. Begitulah sedikit sebanyak yang boleh saya cerita menggenai cara kami membezakan siang dan malam.

Soalan 2:
Macam mana oku penglihatan pergi ke mana2?

Jawapan:
Untuk ke mana2, kena rajin bertanya. Insya-Allah, sampailah ke destinasi yang dituju. At the same time, kami diajar beberapa cara atau teknik tertentu yang boleh digunakan semasa berjalan atau dalam perjalanan. Kalau ketika sedang berjalan, kami diajar untuk mencari atau mengenali landmark sesuatu tempat. Landmark itu biasanya yang bersifat kekal lama atau yang jarang berubah contohnya, pokok, longkang, tiang, bonggol, dinding dan seumpamanya.

Bila dalam perjalanan pula, dalam bas atau teksi misalnya, kami harus peka kepada selekoh, lampu trafik, keadaan permukaan jalan (rata atau naik-turun, licin atau kasar) serta bau contohya bau restoran, lonngkang dsb. Begitu juga dengan bunyi yang terdapat di sesuatu tempat contoh: lagu2, penghawa dingin, bunyi binatang, suara orang bercakap dsb. Tapi dalam keadaan zaman yang makin canggih ini, bas dan teksi berhawa dingin. Biasanya, tingkap2 tidak dibuka. Ini tentulah mustahil bagi kami mengesan bau atau bunyi di sesuatu tempat itu.

Ramai yang beranggapan seseorang oku penglihatan itu mengira langkahnya bila berjalan. Maka dipetuakanlah kepada rakan okunya itu untuk mengira langkah bila berjalan. Ini adalah anggapan yang salah sekali. Kalau nak kena kira langkah aje, tak boleh bercakaplah kami.

Kita jumpa lagi di lain kesempatan untuk respon kepada persoalan2 lain pula. Mulakanlah segalanya hari ini kerana semalam adalah sejarah dan esok belum pasti.

Wednesday, March 01, 2006

PLPP berikan masa depan kepada OKU, Pendidikan Untuk OKU

PUSAT Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi adalah sebuah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan perkhidmatan kepada orang kurang upaya (OKU) melalui latihan vokasional dan pemulihan perubatan.

Dibangunkan pada Mac 1999, penubuhan PLPP yang terletak di Sungai Merab, Kajang, Selangor itu adalah untuk memberi perkhidmatan komprehensif kepada OKU untuk mendapatkan kemahiran vokasional yang bersesuaian.

Ia juga bertujuan mengembalikan kemahiran yang telah hilang akibat kemalangan bagi meningkatkan kemampuan OKU bekerja dan berdikari serta mengambil langkah awal pemulihan bagi mengelakkan kecacatan menjadi bertambah teruk.

PLPP juga menyediakan sumber latihan bagi penuntut perubatan, jurupulih anggota, juruteknik prostetik dan ortortik selain menjadi pusat sumber untuk kajian dalam bidang pemulihan OKU.

Ramai di kalangan OKU yang mendapatkan latihan kemahiran di situ dapat berdikari dengan mempunyai pendapatan sendiri setelah diambil bekerja dalam sektor-sektor swasta mahupun kerajaan.

Wartawan ROSMAH DAIN dan jurugambar HAYAT SUEET meninjau penglibatan pusat itu yang menjadi pemangkin kepada kewujudan sinar baru kepada OKU agar membolehkan mereka berdikari dengan kemahiran yang telah dipupuk.

PLPP boleh dihubungi di talian 03-8926 1996 atau 03-8926 2681.

KETIBAAN kami di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi disambut mesra oleh Pengarah PLPP, Mizan Maulud, yang kemudian membawa kami meninjau di sekeliling pusat berkenaan yang dibina di atas tapak seluas 10.508 hektar (25.967 ekar).

Hati kami kagum dengan kesungguhan para pelatih yang tekun mempelajari ilmu-ilmu kemahiran di pusat itu yang menyediakan begitu banyak kemudahan mesra OKU.

Menurut Mizan, biarpun pusat itu boleh menempatkan lebih 300 orang pelatih pada satu-satu masa, jumlah pelatih yang diambil pada tahun ini hanya 153 orang. Ini bermakna terdapat 150 tempat lagi untuk golongan OKU anggota ditempatkan di situ.

Menurut Mizan, pelatih yang ditempatkan di situ kebanyakannya hasil pendaftaran OKU yang dilakukan oleh pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri-negeri dan daerah.

Pelatih OKU yang ingin memasuki PLPP perlu berumur di antara 18 hingga 40 tahun dan mesti berdaftar dengan JKM terlebih dahulu.

"OKU yang diterima di sini ialah OKU anggota atau fizikal yang boleh menguruskan diri sendiri.

"Mereka terlebih dahulu akan ditemu duga untuk mengenal pasti latihan yang bersesuaian dengan kecacatan fizikal yang dialami dan seiring dengan saranan doktor perubatan," katanya.

Mizan juga memberitahu, pusat berkenaan menyediakan jabatan pemulihan atau rehabilitasi, doktor perubatan, jururawat, pembantu perubatan, jurupulih anggota dan cara kerja untuk membantu pelatih.

Percuma

Pelatih OKU juga akan diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan dengan segala kemudahan, penginapan dan makanan diberikan secara percuma.

Kursus yang disediakan kepada pelatih mengambil masa setahun bagi kursus vokasional yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Kursus-kursus pravokasional pula mengambil masa selama dua tahun, dengan semua kemasukan dibuat pada Januari. Hari tamat latihan akan diadakan pada bulan Disember setiap tahun.

Apa yang membanggakan, sejak PLPP diwujudkan lebih 1,000 pelatih telah mendapat latihan dan kira-kira 90 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan sama ada dalam sektor swasta, kerajaan mahupun membuka bengkel dan perusahaan sendiri.

"Sebagai contoh, pada tahun lepas sahaja, seramai 15 pelatih daripada 18 pelatih daripada bengkel jahitan telah diambil bekerja oleh sebuah syarikat swasta di Negeri Sembilan. Selain itu, 15 pelatih daripada pelbagai kursus berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Terbuka Malaysia," katanya.

Mizan memberitahu, gaji permulaan yang ditawarkan kepada OKU adalah RM750, ditambah lagi dengan elaun OKU sebanyak RM200 sebulan.

Di samping itu, sebelum tamat kursus pihak PLPP biasanya akan mengadakan kempen-kempen kerjaya yang melibatkan sektor swasta untuk mendapatkan pekerjaan kepada pelatih-pelatih.

"Itulah sebabnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU perlu mendaftarkan anak-anak mereka kerana mereka akan mendapat banyak kemudahan terutama dari segi perkhidmatan, pengangkutan dan kesihatan," katanya.

Mizan menambah, berbanding masa dahulu, ibu bapa sekarang lebih bersifat terbuka dan tidak lagi menyembunyikan anak-anak mereka yang cacat.

Ibu bapa kini memberi peluang kepada anak-anak OKU untuk menyertai pelbagai program dan latihan kemahiran yang boleh digunakan bagi menyara kehidupan mereka seharian. OKU tidak perlu lagi bergantung kepada belas ihsan orang lain.

Para majikan juga mula membuka mata dengan mengambil OKU sebagai pekerja berdasarkan kepada kemahiran yang mereka miliki seperti dalam bidang teknologi maklumat (IT), pembangunan sumber dan pembangunan manusia.

"Melalui pengalaman dan pengamatan saya, kemahiran yang dimiliki oleh golongan tersebut hasil daripada latihan di pusat ini adalah setanding dengan mereka yang normal,'' katanya.

Mizan berkata, antara bengkel-bengkel kemahiran ditawarkan ialah IT-komputer, rekaan fesyen dan jahitan, elektronik, IT-penyelenggaraan komputer, elektrik, unit prostetik dan ortotik, pemulihan perubatan, prakomputer, praelektronik, prajahitan, lukisan dan pembuatan kerusi roda.

"Bengkel pembuatan kerusi roda dianjurkan menerusi program pemindahan teknologi Jepun-JKM. Bagi bengkel ini sebanyak 20 orang telah diberikan latihan dan lima orang sudah mendapatkan latihan di Jepun.

"Kita sasarkan 100 unit kerusi roda dapat dikeluarkan dalam masa sebulan dan bilangan itu akan meningkat sehingga 500 unit pada tahun depan," katanya.

Antara pengetahuan lain yang diajarkan pada bengkel itu termasuk membaik pulih kerusi roda, bengkel penggunaan semula kerusi roda dan mereka bentuk kerusi roda.

Dalam pada itu, menurut Mizan, kekurangan maklumat mengenai pusat itu menyebabkan tidak ramai pelatih wanita memasuki PLPP.

"Daripada 113 pelatih yang mendaftar di PLPP, hanya 40 pelatih adalah wanita,'' katanya.

Data kemasukan pelajar keseluruhan mengikut jantina dan kumpulan etnik pada tahun 2006 ialah lelaki Melayu sebanyak 95 orang, wanita Melayu (35), Lelaki Cina (tujuh), perempuan Cina (dua), lelaki India (lima), perempuan India (dua) dan lain-lain tujuh orang.

Mizan berkata, kerajaan amat mengambil berat mengenai pembangunan OKU. Justeru, beliau berharap golongan tersebut akan tampil untuk membuat pendaftaran agar kerajaan dapat merancang segala kemudahan untuk pembangunan mereka.

Mandat

Selain itu Mizan juga memberitahu, PLPP telah diberi mandat sebagai tempat latihan para atlet OKU termasuk OKU yang berada di luar negara.

Setakat ini, atlet-atlet OKU untuk kejohanan Paralimpik, Kejohanan Sukan Pasifik dan Kejohanan Bola Keranjang Kerusi Roda Terbuka Selangor berlatih di Kompleks Sukan OKU di situ.

"Kepada OKU dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU fizikal, rebutlah peluang ini untuk menjadikan anak-anak anda perkasa dan berdikari pada masa depan

"Mungkin sebelum ini mereka tidak mengetahui mengenai kewujudan pusat seperti ini untuk anak-anak mereka, kini peluang ini telah tersedia," katanya yang berjanji akan berusaha untuk menjadikan PLPP sebagai pusat kecemerlangan latihan dan sukan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, salah seorang pelatih, Siti Jamilah Mohamad, 23, yang berasal dari Kemaman, Terengganu berasa bersyukur kerana dapat memasuki PLPP dan menjalani latihan kemahiran prajahitan selama dua tahun.

Anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik ini yang mengalami kecacatan tangan dan jari bakal menamatkan kursus jahitan pada bulan Disember ini. Beliau merancang untuk pulang ke kampungnya dan menjadi tukang jahit.

Berasal daripada keluarga yang besar, ayahnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai manakala ibunya suri rumah. Siti Jamilah kini yakin dengan kemahirannya menjahit baju kurung, kebaya dan lain-lain, dia boleh membantu keluarga.

"Saya hanya bersekolah setakat darjah enam dan kemudian tidak melanjutkan pelajaran kerana faktor kekurangan diri.

"Sebelum ini saya tidak tahu langsung menjahit. Apabila saya masuk ke PLPP, atas nasihat seorang pegawai di Pusat Dalam Komuniti (PDK) di Kemaman, kini saya mempunyai seribu harapan untuk masa depan," katanya dalam nada girang.

Rakannya, Perimal a/p Nurusamy, 20, yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

Beliau yang mengalami kecacatan kaki hanya bersekolah setakat darjah enam. Perimal baru tiga bulan memasuki pusat berkenaan atas nasihat pegawai JKM.

"Dulu keluarga saya tidak mengetahui adanya pusat seperti ini untuk membolehkan saya berdikari.

"Kini saya akan cuba memanfaatkan sebaik mungkin kursus yang diberi selama dua tahun ini agar saya boleh menjadi tukang jahit yang berjaya nanti," katanya. Perimal merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.

Berbeza dengan Aliah Talib yang bakatnya semakin terserlah setelah dicungkil kebolehannya di pusat itu.

Aliah, insan istimewa yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangannya, berupaya menghasilkan lukisan yang menarik hanya dengan menggunakan kaki.

Aliah, 19, yang berasal dari Alor Star, Kedah kini merupakan satu-satunya pelatih wanita di bengkel lukisan. Dia bakal ditempatkan untuk belajar lukisan corak batik komersial bermula bulan depan.

"Sebelum ini saya tahu saya mempunyai bakat melukis, tetapi ia tidak dapat diketengahkan kerana saya tidak tahu bagaimana.

"Di sini bakat saya dilihat dan saya rasa begitu gembira," katanya yang telah dua tahun berada di pusat berkenaan.

Bersekolah hanya setakat tadika, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini seronok berada di pusat berkenaan kerana kini dia mempunyai ramai kenalan dan dapat bertukar-tukar fikiran.