Dua sahabat hasilkan al-Quran tulisan braille
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday...125020/Article/
Oleh Nasron Sira Rahim
Membantu insan istimewa seperti mereka supaya merasai ketenangan ketika membaca ayat suci al-Quran
PADA 1994, Zakaria Yahya dan Muhammad Lee Abdullah bercita-cita merangka satu usaha besar bagi sejarah umat Islam di negara ini – menghasilkan al-Quran braille untuk kepentingan umat Islam yang cacat penglihatan.
Usaha itu adalah kesinambungan perjuangan belum selesai beberapa rakan yang cacat penglihatan bagi memastikan 'insan istimewa' seperti mereka tidak dipinggirkan dalam merasai ketenangan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.
Dua sahabat yang masing-masing berusia 39 tahun itu sedar bahawa al-Quran adalah panduan hidup umat Islam malah Kitab Suci itu 'menawarkan' pelbagai hikmah dan pahala kepada mereka yang membacanya. Justeru, adalah satu kerugian jika peluang itu tidak dapat dinikmati insan seperti mereka.
"Dulu (sekitar 1980-an dan sebelumnya), sukar sekali untuk mereka yang cacat penglihatan membaca al-Quran kerana tidak ada al-Quran braille dihasilkan di negara ini; apa yang termampu, mereka hanya mendengar bacaan al-Quran yang dirakam.
"Jika ingin mengalunkan bacaan, mereka perlu menghafaz sesuatu surah tetapi tidak ramai yang mampu menghafaz banyak surah; saya sendiri tidak mampu," kata Zakaria yang juga Pengerusi Biro Penerbitan, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis).
Usaha tanpa jemu selama hampir 12 tahun akhirnya merealisasikan impian berkenaan apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meluluskan kod braille al-Quran dihasilkan mereka pada 1998.
Kelulusan Jakim itu disambut Zakaria dan Muhammad Lee dengan penuh kesyukuran dan kini mereka sudah mampu tersenyum kerana ramai umat Islam cacat penglihatan yang dapat membaca al-Quran.
"Sehingga kini, hampir 1,000 naskhah al-Quran braille sudah dicetak dan diedarkan tidak saja di seluruh negara tapi sehingga ke Indonesia, Singapura dan Thailand. Pertis menjadi pengedar tunggal al-Quran braille ini.
"Terbaru, Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran bersetuju bekerjasama dengan Pertis bagi mencetak al-Quran braille untuk diedarkan kepada pelajar Islam yang cacat penglihatan di seluruh negara," katanya.
Ketika mengenangkan kembali sejarah penghasilan al-Quran braille di negara ini, Zakaria berkata, negara dipercayai menerima al-Quran braille pertama dari Jordan pada 1952; membuktikan usaha itu sebenarnya sudah lama dilakukan negara Islam di Timur Tengah.
"Al-Quran itu dipercayai dikirimkan pihak tertentu yang prihatin terhadap nasib umat Islam yang buta di negara ini dan ia mengandungi 30 juzuk yang dipecahkan kepada enam jilid," katanya.
Bagaimanapun, melewati perjalanan masa, hanya satu daripada enam jilid al-Quran itu masih dijaga manakala selebihnya hilang tanpa dapat dikesan; satu jilid kitab suci itu kini dipulihara Pertis.
"Selain dari Jordan, kami turut memperoleh al-Quran braille dari Mesir pada 1964, Tunisia (1976) dan Indonesia (1970-an); al-Quran dari Jordan itu mula-mula diajar kepada penuntut Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor," katanya.
Beliau berkata, usaha menyalin al-Quran braille di negara ini bermula sekitar 1980 tetapi tidak ramai berupaya melakukannya kerana ia mengambil masa bertahun bagi menyiapkan satu salinan, tambahan pula proses itu amat merumitkan.
"Bagaimanapun, al-Quran braille pertama yang lengkap dengan hukum tajwid berjaya disalin oleh Zahari Yani pada 1985 dan beliau mengambil masa hampir tiga tahun untuk menyalin kitab itu berpandukan al-Quran braille dari Indonesia.
"Selepas siap disalin, ia dicetak menggunakan teknologi termoform pada kertas braillion dan untuk mencetak satu salinan al-Quran braille saja mengambil masa seminggu, tambahan pula kertas braillion adalah mahal iaitu kira-kira 90 sen sehelai," katanya.
Usaha mengembangkan ajaran Allah itu bagaimanapun dipermudahkan Tuhan apabila pada awal 1990-an, teknologi komputer mula dihasilkan sekali gus membolehkan Zakaria dan Muhammad Lee mencipta kod braille al-Quran menggunakan komputer.
Muhamad Lee berkata, beliau mempelajari sendiri kaedah menukarkan kod aksara papan kekunci komputer kepada kod braille menggunakan perisian Duxbury sebelum dicetak pencetak braille.
"Selama tiga bulan, saya menukarkan kod braille al-Quran dari Indonesia kepada kod braille komputer; selepas itu kami mengambil masa hampir empat tahun untuk menyemak bacaan dan hukum tajwid bersama Jakim sebelum diluluskan jabatan itu pada 1998," katanya.
Menggunakan teknologi komputer, Pertis dapat mencetak dua naskhah al-Quran braille sehari dan setiap naskhah dijual pada harga RM200.
Zakaria berkata, mereka yang tidak mempelajari kod braille al-Quran tidak dapat membaca kitab suci itu kerana ia berbeza dengan kod braille tulisan rumi. Bagi mengatasi masalah itu, Pertis menganjurkan kelas pengajian al-Quran braille pada setiap Sabtu.
"Di Masjidilharam, ada dua salinan al-Quran braille membuktikan ia juga setaraf al-Quran biasa," katanya.
Masyarakat istimewa seperti mereka sudah berjaya menyahut seruan Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: "Engkau mestilah membaca Al-Quran kerana Al-Quran itu cahaya bagimu di bumi ini dan perbendaharaan bagimu di langit." – (Riwayat Ibn Hiban)

No comments:
Post a Comment