Saturday, May 06, 2006

Ambil Kad OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat

Lebih 20 Kemudahan Kepada Yang ambil kad OKU

PERKHIDMATAN / KEMUDAHAN UNTUK ORANG KURANG UPAYA

1. Bantuan Alat Tiruan / Sokongan (Assisstive Devices)

Bantuan ini bertujuan membantu orang kurang upaya, membeli peralatan tiruan/ sokongan seperti kerusi beroda, kaliper, anggota tiruan, tongkat putih (white cane), mesin Braille dan lain-lain peralatan yang tidak termampu dibeli oleh orang kurang upaya. Dengan adanya alat ini mereka boleh bergerak bebas dan mencari nafkah hidup tanpa bergantung sepenuhnya pada orang lain. Bagi menimbang permohonan, faktor berikut diambil kira:-

(i) Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat

(ii) Keperluan pengguna alat atas pengesahan dan sokongan Pegawai Perubatan / Doktor

(iii) Ketidakmampuannya membeli

(iv) Sumbangan bagi membeli alat itu (jika perlu)

2. Geran Pelancaran

Bertujuan membantu orang kurang upaya yang ada pengetahuan dan kemahiran bagi menjalankan projek jayadiri atau perniagaan kecil yang mana mereka tidak dapat menjalankannya sebelum ini sebab ketiadaan modal dan peralatan. Geran ini membolehkan orang kurang upaya melancarkan rancangan jayadiri mereka agar dapat berdikari dengan usaha sendiri. Had maksimum geran pelancaran ialah RM 2,700.00.

Kelayakan :

(i) Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

(ii) Orang Kurang Upaya yang mempunyai pengetahuan/kemahiran bagi menjalankan perniagaan kecil sebagai mata pencarian.

(iii) Orang Kurang Upaya yang mempunyai minat dalam bidang keusahawanan.

(iv) Keutamaan hendaklah diberi kepada bekas pelatih institusi atau klien Jabatan.

3. Elaun Pekerja Cacat (EPC)

Skim ini bertujuan menggalakkan orang kurang upaya bekerja dan terus berdikari tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. Skim ini mempunyai beberapa tujuan:

(i) Sebagai penyenggaraan pendapatan (income maintenance) untuk memenuhi keperluan asas.

(ii) Sebagai elaun insentif / perangsang bagi menggalakkan seseorang yang kurang upaya berminat berkerja dan berdikari.

(iii) Untuk meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya.

Kelayakan:

Pekerja orang kurang upaya termasuk yang bekerja secara sendiri atau bekerja dengan majikan termasuk pekerja di Bengkel Terlindung JKMM dan Bengkel Terlindung yang dikendalikan oleh pertubuhan sukarela (NGO) serta pekerja di bawah Program Rumah Kelompok (termasuk Taman Sinar Harapan) adalah layak
menerima elaun ini sebanyak RM 200.00 sebulan sekiranya syarat berikut dipenuhi:-

i) Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya;

ii) Pendapatan bulanan pemohon tidak melebihi RM 750.00 sebulan tidak termasuk pendapatan keluarga;

iii) Berumur 16 tahun ke atas;

Pemohon mestilah menyertakan slip gaji / surat pengesahan pendapatan daripada majikan / surat pengesahan pendapatan daripada pemohon sendiri bagi yang bekerja sendiri.

4. Latihan Vokasional di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi

Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi latihan vokasional dan pemulihan perubatan. Kemasukan adalah terhad kepada kategori kurang upaya yang memenuhi syarat-syarat berikut:-

a) Kursus Vokasional

ii) Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya anggota;

iii) Pemohon perlu memiliki kelulusan minimum Sijil Rendah Pelajaran / Peperiksaan Menengah Rendah atau memiliki kemahiran asas;

iv) Berumur 18 hingga 40 tahun;

v) Boleh dilatih dengan kemahiran dan boleh mengurus diri; dan

vi) Tidak mempunyai rekod masalah disiplin / jenayah.

Latihan Kursus-Kursus Yang Ditawarkan

Kursus Vokasional - Pembantu Tadbir Sistem Makluamt (MLVK), Rekaan Fesyen dan Jahitan (MLVK), Elektrikal (MLVK), Elektronik, Membuat Alat Sokongan (Protestik & Orthotik), Multimedia dan Pembuatan Kerusi Roda.

b) Kursus Pra-Vokasional

(i) Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya anggota;

(ii) Pemohon tidak memerlukan kelulusan akademik;

(iii) Berumur 14 hingga 25 tahun;

(iv) Boleh mengurus diri dan boleh mendapat manfaat dari latihan;

(v) Boleh membaca, menulis dan mengira; dan

(vi) Tidak mempunyai rekod masalah displin / jenayah.

Kursus Yang Ditawarkan - Elektronik, Komputer, Lukisan dan Jahitan.

5. Jagaan dan Pemulihan di Taman Sinar Harapan (TSH)

Institusi ini memberi latihan kepada individu kurang upaya masalah pembelajaran sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Institusi ini juga memberi perlindungan dan jagaan kepada yang mengalami kecacatan akal yang teruk. Antara program dan aktiviti yang disediakan ialah:

a) Kelas akademik asas.

b) Latihan pra-vokasional (jahitan, tukang kayu dan kraftangan). urusan rumah tangga, pertanian / berkebun bunga dan dobi.

c) Latihan pemulihan seperti pemulihan hidup harian, pemulihan cara kerja, pemulihan anggota dan terapi muzik.

d) Pendidikan agama dan moral.

e) Sukan dan rekreasi.

f) Aktiviti luar (lawatan, berkelah, gotong royong dsb).

Kelayakan :

Setiap institusi Taman Sinar Harapan boleh menerima masuk semua jenis kes orang kurang upaya masalah pembelajaran yang terdiri daripada jenis terencat akal, autisme dan down's syndrome tanpa mengambil kira klasfikasi umur, jantina (kecuali TSH Jubli, TSH Tampoi dan TSH Cheras) dan tahap kecacatan dari negeri- negeri yang berdekatan mengikut zon-zon.

6. Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

Program ini diwujudkan sebagai program alternatif kepada perkhidmatan pemulihan di institusi. Satu kaedah dalam pembangunan komuniti untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri di mana memberi peluang kepada OKU menjalani pemulihan, mengecapi peluang sama rata dan berinteraksi dengan masyarakat. Program ini memerlukan penyertaan dan penglibatan aktif OKU, ibu bapa / keluarga / penjaga dan masyarakat setempat dengan memaksimumkan penggunaan sumber tempatan yang sedia ada dalam komuniti. PDK juga merupakan satu pendekatan pembangunan ke arah sokongan dan kesedaran masyarakat dalam membantu OKU untuk mengecapi taraf hidup yang lebih selesa.

7. Penempatan Kerja

Jabatan juga berusaha mendapatkan pekerjaan untuk orang kurang upaya di Bengkel Terlindung (sheltered workshop) seperti Bengkel Daya Klang, Selangor Bengkel dan Sungai Petani, Kedah. Objektif penubuhan Bengkel Terlindung ini adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada OKU yang tidak mampu bersaing di pasaran terbuka dan pada masa yang sama melatih mereka berdikari dan diintegrasikan ke dalam masyarakat.

Syarat-Syarat Kemasukan:

i. OKU anggota / akal yang telah disahkan oleh pegawai perubatan.

ii. Telah mendapat latihan dari Taman Sinar Harapan (TSH), Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi atau Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Setempat.

iii. Sihat tubuh badan dan boleh menguruskan keperluan sendiri.

iv. Berusia 18 hingga 45 tahun.

v. Terlatih dalam bidang-bidang yang dipohon.

Perkhidmatan yang disediakan olehBengkel Daya adalah:

a. Khidmat jahitan

b. Khidmat percetakan

c. Perkhidmatan Am (unit ini menjalankan kerja-kerja ringan sub-kontrak dari kilang-kilang yang berhampiran, contohnya pemasangan komponen produk-produk yang berasaskan plastik, getah, aloi dan sebagainya).

d. Khidmat kraftangan dan lain-lain

8. Perkhidmatan Kaunseling dan Nasihat

Bagi orang kurang upaya atau keluarga mereka yang menghadapi masalah dari segi emosi, keyakinan diri dan sebagainya atau memerlukan maklumat berkaitan jenis-jenis perkhidmatan yang diperlukan, bolehlah mendapatkan khidmat tersebut daripada Pegawai / Pembantu Kebajikan Masyarakat yang berkelayakan atau kaunselor di Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri-Negeri.

9. Kemudahan Pendidikan

Kementerian Pelajaran di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan program khas kepada kanak-kanak dari kategori kurang upaya penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Program pendidikan dijalankan di sekolah pendidikan khas dan melalui program integrasi dan inklusif di sekolah biasa.

Kerajaan mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar kurang upaya pendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi-institusi pengajian di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran. Bagi Pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi diberi elaun bulanan sebanyak RM300.00 sebulan (Kemudahan ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Penggajian Tinggi). Pelajar-pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan sekolah menengah diberikan elaun sebanyak RM 25.00 sebulan (Kemudahan ini di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas).

10. Kemudahan Akses Untuk Orang Kurang Upaya

Dalam hubungan ini Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menggalakkan pelbagai kemudahan diwujudkan bagi membolehkan mereka yang kurang upaya bergerak bebas. Satu daripada pencapaian ini ialah penubuhan Jawatankuasa Teknikal yang urus setianya ialah SIRIM telah merangka " Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke Bangunan Awam" yang mana telah menghasilkan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berkaitan dengan kehendak-kehendak bangunan untuk orang kurang upaya di mana bangunan baru diwajibkan mempunyai kemudahan akses kepada orang kurang upaya. Antaranya termasuklah "ram" dan "railings", laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.

11. Kemudahan Dan Galakan Pelepasan Cukai Pendapatan

Pada tahun 1981 Kerajaan memperluaskan potongan cukai berganda kepada majikan-majikan yang melatih dan mengambil pekerja kurang upaya.

Mulai tahun tahun 1991 Kerajaan memberi pelepasan cukai sebanyak RM5,000 kepada pembayar cukai yang mempunyai anak kurang upaya.

Kerajaan juga memberi pelepasan cukai sehingga RM5,000(maksimum) kepada pembayar cukai bagi membeli alat-alat khas bagi kegunaan sendiri atau kegunaan anak dan ibubapa yang kurang upaya.

Sebagai galakan berterusan bagi meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya Kerajaan telah memberi pelepasan cukai sebanyak RM6000/- sebagai tambahan kepada pelepasan diri sebanyak RM 8,000/-. Bagi pasangan yang kurang upaya pelepasan tambahan sebanyak RM3,500.00 diberikan sebagai tambahan kepada
pelepasan sebanyak RM 3,000/-.

13. Pengecualian Cukai Jalan

Jabatan Pengangkutan telah menyediakan kemudahan pengecualian cukai jalan (road tax) bagi orang kurang upaya fizikal yang menggunakan kenderaan kereta, van dan motosikal buatan tempatan mulai tahun 2004.

Syarat-syarat :

i) Kereta, van dan motosikal nasional sahaja;

ii) Berdaftar dengan JKM (kurang upaya anggota);

iii) Kenderaan didaftarkan di bawah nama pemohon;

iv) Memiliki lesen memandu yang sah.

v) Pengeculaian diberi hanya pada sesebuah kenderaan dalam
satu masa.

14. Kemudahan Pengangkutan Awam

Jabatan sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang konsesi kepada orang kurang upaya. Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya. Antaranya SISTEM PENERBANGAN MALAYSIA memberi tambang murah sehingga 50% bagi penerbangan dalam negeri, KERETAPI TANAH MELAYU (KTM) memberi tambang konsesi sehingga 50% bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat bas TRANASIONAL memberi konsesi 50% dari harga tambang dan PUTRA-LRT juga telah memberi konsesi tambang kepada golongan kurang upaya.

15. Kemudahan Perumahan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyediakan kemudahan-kemudahan kepada orang kurang upaya bagi menyewa rumah-rumah kos rendah atau rumah pangsa DBKL dengan memberi pengurangan kadar sewa kepada orang kurang upaya.

Syarikat Perumahan Nasional Negara (SPNB) memberi diskaun sebanyak 20 peratus kepada golongan kurang upaya berpendapatan rendah untuk memperolehi rumah kos rendah dan sederhana.

16. Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan

Orang kurang upaya dikecualikan daripada bayaran rawatan di Hospital Kerajaan termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.

17. Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan

Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran dokumen perjalanan (pasport antarabangsa) kepada golongan kurang upaya.

18. Kemudahan Peluang Pekerjaan

Komitmen kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya terbukti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10 / 1988 yang telah dikeluarkan di mana kouta 1% peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada golongan orang kurang upaya.

Bagi Sektor Swasta, Jawatankuasa Penggalakan Pengajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta telah ditubuhkan dalam tahun 1990 di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk menggalakkan majikan di sektor swasta memberi peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya. Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta memberi garis panduan kepada agensi Kerajaan, majikan, pertubuhan majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan pertubuhan orang kurang upaya serta orang kurang kurang upaya sendiri untuk pendaftaran dan penempatan kerja orang kurang upaya bekerja di sektor swasta. Orang kurang upaya, boleh membuat pendaftaran di mana-mana Pejabat Tenaga Rakyat Negeri , Daerah atau melalui Perkhidmatan Pendaftaran Secara Online (SPOku) di laman web www.elx.gov.my.

19. Kemudahan Alat Ganti Orang Kurang Upaya

Kerajaan memberi pengecualian duti impot dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka khas untuk kegunaan orang kurang upaya.

20. Pengecualian 50% Duti Eksais Ke atas Kenderaan OKU Anggota

Kementerian Kewangan telah memberikan pengecualian 50% Duti Eksais ke atas kenderaan cacat anggota yang berkeupayaan memandu sahaja dengan syarat :

i) Pemohon Berdaftar dengan JKM

ii) Pemohon memiliki lesen memandu yang sah

iii) Kenderaan tidak boleh dijual atau ditukarmilik sehingga tamat tempoh 10 tahun kecuali dengan kebenaran Perbendaharaan; dan

iv) Pengecualian hanya dibenarkan untuk sebuah kenderaan bagi setiap 10 tahun.

v)

21. Pencen Terbitan

Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam menyediakan pencen terbitan kepada anak/tanggungan kurang upaya bagi penjawat awam yang meninggal dunia.

Taksiran anak cacat

Seorang anak yang tidak kira apa jua umur yang cacat akal atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri.

Prosedur

1. Waris hendaklah mengemukakan permohonan dengan menyatakan jenis kecacatan anak tersebut.

2. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri berkenaan diminta membuat siasatan.

3. Waris hendaklah membawa anak tersebut kepada Pakar Perubatan Kerajaan bagi penyakit berkenaan untuk dilengkapkan Laporan Pemeriksaan Pakar Perubatan.

4. Dokumen-dokumen yang diperlukan:-

a. 1 salinan Surat Beranak anak tersebut dan salinan Kad Pengenalan bagi anak yang berumur lebih 18 tahun.

b. Sekeping gambar foto anak yang menunjukkan anggota sepenuhnya (full length photograph).

c. 1 salinan Kad Pengenalan waris atau penjaga (jika anak tersebut tidak dipelihara oleh ibu/bapa kandung atau ibu/bapa kandung telah meninggal dunia).

d. Melengkapkan Surat Akuan Pengesahan Penjaga (JPA/PT9) yang boleh diperolehi di Bahagian Pencen, JPA. Borang ini hanya perlu diisi oleh penjaga yang bukan terdiri dari ibu atau bapa kandung sahaja.

21. Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Yang Mempunyai Anak-Anak Kurang Upaya

Pegawai Perkhidmatan Awam yang mempunyai anak kurang upaya dibenarkan mengunakan waktu bekerja biasa untuk menguruskan kebajikan dan keperluan anak mereka dengan syarat masa yang digunakan itu digantikan bagi tujuan menyelesaikan tugas hakikinya supaya perkhidmatan Kerajaan tidak terjejas.

22. Kemudahan Telekom

Telekom Malaysia menyediakan insentif/kemudahan kepada golongan orang kurang upaya seperti berikut:

i) Bayaran sewa bulanan dikecualikan kepada golongan kurang upaya.

ii) Panggilan 103 (operator) tidak dikenakan sebarang caj

iii) Menyediakan panggilan menunggu atau panggilan pindahan secara percuma.

Bagi orang kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas mereka layak memohon menggunakan maklumat sendiri dan bagi mereka berumur 18 tahun dan ke bawah mereka juga boleh memohon perkhidmatan bagi pihak keluarga mengikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak TM.

Friday, May 05, 2006

Cara membantu orang buta ketika melintas jalan


http://sedinginsalju.blogspot.com/2006/05/cara-membantu-orang-buta-ketika.html


OLEH: BAHTERA MERDEKA(Tai Khai Eong)

ok, berikut adalah cara-cara membantu orang buta ketika melintas jalan.

1. Apabila membawa orang buta melintas jalan, sila beri mereka pegang bahagian siku anda. Ini adalah kerana, ianya akan memudahkan pergerakan anda dan orang buta yang anda bantu itu.
2. Tolong jangan sesekali memegang bahagian tongkat orang buta itu ketika hendak membawa mereka melintas jalan.

Seperti yang diketahui, tongkat ibarat mata bagi orang-orang buta. Jadi, apabila tongkat itu dipegang, ibarat menutup mata.

Pernah berlaku di mana seorang rakan saya telah terjatuh ke dalam longkang. Ini semua gara-gara tongkatnya dipegang ketika hendak membantunya melintas jalan. Dan yang paling menyedihkan, setelah dia jatuh, orang yang bantu tu terus menghilangkan diri.

Jadi, itulah sedikit tips cara membantu orang-orang buta melintas jalan.

Thursday, May 04, 2006

Tips bagaimana membawa orang buta pergi makan di luar

http://sedinginsalju.blogspot.com/2006/05/tips-bagaimana-membawa-orang-buta.html

OLEH: BAHTERA MERDEKA (TAI KHAI EONG)

Ok, ini ada beberapa tips.

Apabila membawa orang buta keluar makan, pastikan bila sudah sampai ke tempat yang dituju, bagilah mereka pegang kerusi itu supaya mereka yakin untuk duduk.

Selepas itu, jangan lupa untuk memberitahu mereka apakah menu-menu makanan yang terdapat di situ. Itu amat penting supaya dia dapat memilih makanan yang dia kehendaki.

Kemudian, apabila makanan dan minuman telah terhidang di atas meja, sila beritahu mereka, apakah makanan atau minuman yang terhidang di hadapan mereka tu. Jangan lupa, ambil tangan mereka supaya mereka dapat memegang cawan dan pinggan serta mangkuk yang terdapat di hadapan mereka.

Untuk orang buta, pinggan yang rata adalah tidak sesuai. Ini adalah kerana apabila mereka makan dengan menggunakan sudu, makanan itu akan mudah tertumpah ke meja sebab kami tak dapat tahu mana tepi dan mana tengahnya. Jadi, carilah pinggannya yang di tengah-tengahnya ke dalam macam mangkuk.

Ok, itulah dia sedikit tips kali ni. Jumpa lagi.

Tuesday, May 02, 2006

OKU Penglihatan: I talk & handphone

Pada artikel lepas saya telah membicarakan mengenai perisian JAWS yang dapat menterjemahkan tulisan di skrin komputer kepada suara dan betapa pentingnya perkhidmatan My Voice kepada OKU penglihatan. Banyak maklumat yang saya perolehi dari rakan-rakan OKU penglihatan yang menyatakan sebenarnya mereka boleh menggunakan perkhidmatan SMS yang digunakan oleh telefon bimbit.

Mungkin selama ini saya tersilap, rupanya OKU penglihatan menggunakan satu perisian khas yang dinamakan I Talk yang mampu menterjemahkan tulisan SMS kepada suara di telefon bimbit. Ini merupakan satu lagi perkembangan teknologi yang memberi manfaat kepada manusia terutamanya OKU penglihatan.

Walau bagaimanapun, seperti mana kita semua maklum kebanyakan OKU tidak bekerja dan jika bekerja pun dibayar dengan gaji yang rendah dan amat minimum. Kebanyakan mereka tidak mampu untuk membeli perisian I Talk ini yang mahal iaitu kira-kira RM879. Alternatif yang ada adalah menggunakan perisian cetak rompak yang lebih murah dipasaran.

Sepatutnya pihak pengeluar memberikan package khas atau diskaun kepada OKU penglihatan yang amat memerlukan perkhidmatan ini. Janganlah memikirkan keuntungan semata-mata tetapi gunakanlah teknologi untuk kebajikan dan membantu masyarakat OKU yang serba daif dan lemah ini.

Semoga paparan ini dapat membuka mata masyarakat yang sememangnya tidak buta dalam isu ini, Jika ada perkhidmatan yang boleh digunakan oleh OKU kenapa mahal sangat?

Wassallam…

Monday, May 01, 2006

TABAHLAH WAHAI RAKAN SENASIB

OLEH: ABDUL MALEK BIN HAJI OTHMAN

Tabahlah wahai rakan senasib OKU, sesungguhnya segala ujian dan cubaan yang kita terima ini adalah untuk menilai sejauh mana tahap kesabaran kita. Bukankah sabar itu separuh separuh dari iman.

Jika kita gagal sekali bukan bermakna kita akan terus gagal selama-lamanya. Bangkitlah dan bangunlah, terokai mukabumi ciptaan Allah SWT ini, insyalllah Tuhan Yang Maha Pengasing Dan Maha Penyayang akan memberikan kita rezeki. Di alam realiti mungkin kita serba kekurangan dan tidak dapat menandingi insan biasa.

Aku berpendapat dalam era teknologi ICT ini, kekuatan OKU dan manusia biasa adalah seimbang di dalam dunia cyber. Banyak peluang perniagaan baru boleh diterokai dengan sistem online misalnya bagi yang mahir komputer boleh merekabentuk laman web untuk dijual, bagi yang bijak dalam ekonomi boleh bermain saham di Bursa Malaysia secara online, malah bermacam-macam bentuk perniagaan boleh dicipta bagi OKU yang kreatif di dalam dunia cyber.

Aku masih kurang arif mengenainya, kita kena terokai e-dagang. Perkara ini masih baru. Kalau kita rajin membuat laman web atau weblog peribadi pun boleh menjana sedikit wang, kita masukan ‘google ad-sense’, bila orang klik sekali kita dapat 1 sen. Seandainya laman web itu cantik dan berfaedah pada orang ramai, ia boleh menjana pendapatan yang lumayan.

Orang Jepun misalnya ada yang membuat cerita komik dan game dan di masukkan ke dalam laman web mereka, sebelum seseorang mahu membaca atau download komik atau game tersebut mereka perlu klik iklan google pada laman web berkenaan. Seandainya komik dan game itu menarik, bayangkan bilangan pengunjung yang mencecah berjuta orang sebulan, kiralah berapa banyak keuntungan yang mereka boleh perolehi?


Pendek kata, kita kena kaji peluang perniagaan dalam sistem online ini sebab OKU seimbang dengan orang biasa di alam cyber. OKU kena bangkit dan jangan terlalu mengharapkan bantuan dan subsidi sahaja.

Bagi yang tidak berdaya sudah tentu mereka mengharapkan simpati dan pertolongan masyarakat. Oleh itu, wahai insan yang berkemampuan berikanlah sedikit bantuan kepada mereka dengan segala nikmat kekayaan yang kamu perolehi. Bukankah kita sesama muslim adalah bersaudara. Kita di ibaratkan seperti sebatang tubuh badan, apabila sakit satu anggota lain maka terasalah kesakitan itu ke seluruh badan sehingga menyebabkan kita tidak lena tidur.

Jika kita membantu orang yang di dalam kesusahan kita akan di beri ganjaran oleh Allah SWT di akhirat kelak. Boleh jadi pada hari ini kita senang tetapi siapa tahu di masa depan kita pula ditakdirkan menjadi susah. Begitu juga pada hari ini kita sihat tetapi di masa hadapan mungkin kita akan ditimpa musibah dan penyakit yang menyebabkan kita menjadi OKU. Fikirkanlah wahai sahabat-sahabatku.

Kenapa OKU sering terpinggir dalam proses pembangunan di Malaysia?

Menurut kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) purata orang kurang upaya (OKU) diseluruh dunia mewakili 10% dari penduduk dunia. Jika kita mengambilnya sebagai congakan bilangan OKU di Malaysia mencapai kira-kira 2.2 juta orang. Ini bermakna jika semua OKU bergabung dan berdaftar dibawah Persatuan Gabungan Orang Kurang Upaya (MCD) yang merupakan NGO yang berdaftar di Malaysia ia merupakan pertubuhan kedua terbesar selepas UMNO yang mengandungi 3.5 juta keahlian. Malah bilangan OKU lebih besar dari ahli PAS yang berjumlah kira-kira 600 ribu orang.

Persoalannya walaupun bilangan OKU adalah ramai di Malaysia kenapa mereka masih dipinggirkan?

Persatuan-persatuan oku telah mencadangkan kepada kerajaan supaya melantik seorang dikalangan OKU sebagai senator bagi mewakili suara OKU di parlimen. Rasionalnya hanya OKU yang benar-benar memahami masalah OKU! Kenapa OKU perlu diwakili oleh orang normal yang tidak tahu kepayahan dan apa ertinnya hidup sebagai OKU?

Jika kita melihat secara teliti, golongan artis yang bilangannya hanya dalam beberapa ribu orang sahaja, mereka diwakili oleh seorang senator iaitu Dato Jins Shamsuddin. Persatuan Pekerja CUEPAC pernah diwakili oleh senatornya Dato Zainal Rampak. Orang-orang Asli yang bilangannya cuma 800 ribu orang ada wakil rakyatnya, malah pihak kerajaan menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHOA) yang ditadbir sendiri oleh anak-anak orang Asli.

Persoalannya kenapa kerajaan masih melengah-lengahkan lagi tuntutan melantik senator OKU oleh persatuan-persatuan yang mewakili OKU?

OKU seperti mana juga warganegara Malaysia yang lain sepatutnya dijamain hak-hak dan peluang yang sama dengan warganegara normal yang lain seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

Kenapa diskriminasi pekerjaan masih berlaku? Semakin tinggi taraf pendidikan OKU semakin sukar mereka mendapatkan pekerjaan.

Jika bekas penagih dadah yang pernah menjadi sampah masyarakat pun boleh diterima bekerja, malah kerajaan menjalankan kempen mengambil pekerja untuk bekas penagih. Apakah yang dibuat oleh kerajaan? Tiada satu kempen pun untuk mengambil pekerja OKU. Retorik memang ada kuota 1% dalam perkhidmatan awam. Hakikatnya kuota itu tidak pernah cuba dipenuhi dan saya yakin tak akan dipenuhi. Jika ada 600 ribu pekerja sektor awam sepatutnya ada 6000 pekerja OKU di dalam perkhidmatan awam.

Pernah seorang rakan OKU saya yang mempunyai master berkata yang maksudnya, dalam bilangan kita yang besar sehingga mencecah 2 juta orang sepatutnya kita bukan sahaja mempunyai senator OKU malah layak mempunyai Menteri Besar OKU. Saya rasa kita juga layak ada menteri OKU dan menubuhkan satu bandaraya OKU yang memenuhi prasarana yang diperlukan OKU.

Semoga paparan ini memberi manfaat kepada kita semua. Sedarlah bilangan OKU semakin bertambah dari hari ke hari, ada yang memang dilahirkan cacat dan ada juga yang menjadi cacat akibat kemalangan.

Wallahua’lam….