Friday, November 03, 2006

Pelajar istimewa perlu saluran khas

Berita Harian, 3 november 2006


KEMENTERIAN Pelajaran melalui Jabatan Pendidikan Khas akan mengusulkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi supaya menyediakan saluran istimewa kepada pelajar berkeperluan khas melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran jabatan itu, Datin Rahimah Ghazali, berkata pihaknya akan mengemukakan usul berkenaan secepat mungkin bagi membolehkan golongan terbabit menikmati peluang luas memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik.

Ketika ini, beliau berkata, mereka terpaksa menghadapi persaingan sengit dengan pelajar lain melalui saluran permohonan sedia ada menyebabkan hanya sebilangan kecil berjaya, terutama calon yang cacat penglihatan.

“Pelajar berkeperluan khas wajar diberi sedikit kelonggaran dari segi syarat kelayakan serta persaingan merit kelulusan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke universiti dan juga politeknik.

“Ini bertujuan mempermudahkan laluan pelajar terbabit dalam usaha mereka memperoleh kelulusan akademik setinggi mungkin walaupun berkeadaan kurang upaya,” katanya kepada Berita Harian.

Seterusnya, Rahimah berkata, pihak lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan turut diharap menyediakan lebih banyak pusat transisi bagi pelajar berkenaan khas yang tamat persekolahan menengah.

Melalui pusat sedemikian, beliau berkata, mereka berpeluang menjalani latihan vokasional lanjutan dalam pelbagai bidang seperti masakan, seni kreatif dan kraf tangan.

“Kemudahan itu akan membantu mempertingkatkan kemahiran mereka, sekali gus lebih berdikari menerokai alam kerjaya, antara lain di hotel dan restoran makanan segera.

“Diharap pihak majikan bersikap terbuka menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkeperluan khas ini supaya mereka dapat membuktikan kemahiran dan keupayaan sebenar.

“Sokongan semua pihak amat penting dan diperlukan agar mereka berjaya mencapai kecemerlangan hidup pada tahap kemampuan masing-masing,” katanya.

Manakala bagi mencapai matlamat proses pembelajaran golongan pelajar itu dengan lebih berkesan, Rahimah berkata, pelbagai usaha dirancang mengikut keperluan dan jenis kecacatan mereka.

Beliau berkata, antaranya ialah penilaian terhadap pelajar dalam program pendidikan khas yang ketika ini menggunakan kurikulum kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya, tahap kurikulum berkenaan didapati terlalu tinggi, sukar dan sebahagiannya tidak sesuai dengan masalah kurang upaya dialami pelajar terbabit.

“Justeru bagi memastikan ia sesuai dengan tahap pencapaian dan kemampuan pelajar berkeperluan khas, jabatan ini perlu mengubah suai sukatan pelajaran semua subjek agar menepati keadaan setiap kategori kecacatan mereka.

“Berdasarkan sukatan pelajaran dihasilkan, sistem penilaian mengikut objektif kurikulum.Bagi pelajar bermasalah pembelajaran, satu kaedah penilaian yang diiktiraf bersesuaian kurikulum khas akan dihasilkan,” katanya.

No comments: