Tuesday, November 14, 2006

3 beradik cacat hilang tempat bergantung

Utusan Malaysia, 14 november 2006

Oleh ABDUL RAZAK DIN

TAIPING 13 Nov. – Nasib tiga adik-beradik cacat bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ setelah tempat mereka bergantung selama ini sudah tiada lagi selepas kematian ibu mereka Ahad lalu.

Allahyarham Zainab Ibrahim, 62, meninggal dunia di Hospital Taiping (HT) kerana menghidap sakit jantung dan paru-paru berair.

Tiga adik-beradik itu, Ahmad Arbain Asri, 31; Mohd Isa, 24; dan Mohd Ali, 23, cacat di bahagian kaki sejak dilahirkan dan mereka hanya mampu mengesot untuk bergerak.

Kisah penderitaan ibu tunggal itu pernah dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 21 Oktober lepas semasa Pergerakan Pemuda UMNO Perak melawat keluarga berkenaan untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri.

Allahyarham Zainab yang kematian suami sejak 10 tahun lalu terpaksa bekerja sebagai pembantu kantin bagi menyara tiga anaknya yang cacat itu serta dua lagi adik perempuan yang masih bersekolah.

‘‘Saya tak tahulah apa yang akan terjadi jika saya tidak berupaya melakukan kerja berat lagi selepas ini tetapi demi anak-anak, saya tabahkan juga untuk melakukannya,” kata Zainab selepas menerima sumbangan pakaian dan duit raya daripada Pergerakan Pemuda UMNO Perak di rumahnya di Kampung Boyan di sini semasa bulan Ramadhan lalu.

Zainab mempunyai sembilan orang anak tetapi hanya tiga anak lelakinya yang cacat manakala enam anak perempuannya yang lain adalah normal dan telah berumah tangga kecuali dua yang masih bersekolah.

Beliau menyara keluarga dengan pendapatan RM300 sebulan hasil bekerja di sebuah kantin sekolah, bantuan RM135 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sumbangan anak dan menantu.

Kini tanggungjawab itu dipikul oleh anak Allahyarham, Salasiah, 38, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berumur 13 tahun dan setahun.

Salasiah tinggal bersama suaminya Abu Hassan Hamid, 38, di Semanggol kira-kira 35 kilometer dari sini kini terpaksa berpindah semula ke rumah ibunya semata-mata kerana menjaga adik-adiknya yang cacat itu.

‘‘Oleh sebab tidak ada orang yang akan menjaga mereka, saya terpaksa balik ke sini walaupun mempunyai tanggungjawab sendiri untuk menjaga anak dan suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Salasiah berkata, beliau dibantu oleh seorang lagi adiknya, Hasnah, 30, yang masih belum berumah tangga.

‘‘Kami terpaksa bergilir-gilir untuk menjaga adik-adik selepas ibu meninggal dunia...Tak tahulah saya, kalau tidak ada kami, siapa lagi yang boleh kami harapkan untuk menjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata, selain memikirkan nasib adik-adiknya, beliau juga bimbang mengenai kedudukan rumah peninggalan ibu yang dibina di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu.

Menurutnya, pada 3 Oktober lepas keluarganya mendapat surat daripada Bahagian Pengurusan Projek KTMB di Taiping bahawa mereka akan dimaklumkan sekiranya ada projek yang akan dibangunkan di situ.

Difahamkan, penduduk setinggan di situ perlu berpindah apabila KTMB melaksanakan projek landasan berkembar tidak lama lagi.

Salasiah berkata, beliau berterima kasih kepada pihak media kerana menyiarkan kisah penderitaan keluarganya kerana ada beberapa pihak telah menghulurkan bantuan dan sumbangan.

Beliau menafikan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mengatakan adik-adiknya yang cacat menggunakan kerusi roda mencari tin kosong untuk dijual bagi membantu meringankan beban keluarganya.

‘‘Itu tidak benar, mana boleh mereka dengan menggunakan kerusi roda ke sana ke mari untuk mencari tin kosong... nak bangun pun susah,” katanya.

No comments: