Tuesday, November 21, 2006

Banyak tandas awam tak terjaga

Berita Harian, 21 november 2006


SUKAN Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Selatan (Fespic) KL ’06 akan berlangsung dari 25 November hingga 1 Disember ini dan seperti yang sedia maklum, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak Cheras Kuala Lumpur akan menjadi sebuah stadium yang akan digunakan.

Walaupun sudah terlalu hampir, masih belum kelihatan ‘banner’ pada tiang lampu atau papan tanda yang lebih banyak untuk menyemarakkan suasana kemeriahan sukan berkenaan kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilihat giat menjalankan tugas mencantikkan kawasan berkenaan.

Barangkali kekurangan penaja menyebabkan ketiadaan promosi besar-besaran yang secara tidak langsung menyebabkan orang ramai tidak tahu apa yang berlaku, apa acara yang akan dilangsungkan dan di mana gelanggangnya.

Baru-baru ini, ketika singgah makan tengah hari di gerai terkemuka Medan Selera DBKL berhampiran Velodrom Bandar Tun Razak, saya mendapati terlalu banyak lalat sehingga mengganggu pelanggan yang makan.

Sekiranya ada di antara atlit, pegawai penonton atau wartawan dari luar negara datang makan di situ, pasti mereka akan mendapat gambaran buruk mengenai tahap kebersihan di negara ini.

Itu belum lagi melihat keadaan tandas dan surau yang berhampiran. Tempat pengumpulan sampah pula berbau busuk dan bahagian belakang gerai tidak begitu kemas.

Pasti ada cara perkara itu dapat diatasi sekiranya kebersihan menjadi keutamaan. Perlu disedari bahawa tahap kebersihan yang rendah sebenarnya menjatuhkan maruah negara kita yang bertungkus lumus cuba menarik kedatangan pelancong tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia.

Sebenarnya ini hanyalah satu contoh keadaan tahap kebersihan di negara ini kerana kita sebenarnya tidak bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan. Banyak masjid yang tersergam indah dengan tandasnya yang dilengkapi jubin yang mahal tetapi keadaan kebersihannya sangat menyedihkan.

Saya rasa pekerja yang ditugaskan membersih tandas patut diberikan kursus bagaimana cara menjaga kebersihan dengan betul. Kebanyakan mereka hanya mengelap lantai tanpa membersihkan kekotoran pada sinki, cermin dan membiarkan tempat duduk tandas basah dan kotor.

Saya pernah melihat pekerja di negara lain membersihkan tandas setiap masa, malah akan merungut jika kita tidak menjaga kebersihan. Di sini kebanyakan pekerja pencuci hanya mencuci ala kadar saja kecuali di tempat eksklusif seperti hotel, restoran atau kompleks beli-belah lima bintang.

Jika keadaan sebegitu dibiarkan, Malaysia akan kekal dalam ingatan pelancong yang datang melawat tahun depan sebagai negara rendah tahap kebersihan dengan tandas yang basah, busuk dan kotor.

SRI WARGA KOTA,

Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

No comments: