Friday, November 10, 2006

Fespic rintis laluan penubuhan sekretariat tetap OKU di MSN

Berita harian, 10 november 2006


PENGANJURAN Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Selatan (Fespic) di Kuala Lumpur lewat bulan ini dilihat sebagai titik tolak kepada penubuhan sekretariat tetap buat orang kurang upaya (OKU) dinaungi Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan segala usaha membangunkan sukan bagi warga istimewa itu tidak terhenti selepas Fespic.


Penubuhan sekretariat itu antara lain adalah untuk menyelia program pembangunan dan latihan jangka panjang buat paralimpik bagi temasya sukan yang bakal diadakan selepas Fespic 2006, iaitu Olimpik Beijing 2008, Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Para Asia 2010 yang akan menggantikan tempat Fespic.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, Polisi Sukan Kebangsaan (PSK) yang baru mencetus kepada penciptaan pejabat baru itu dalam badan penggerak sukan berprestasi tinggi dalam negara ini.

“Polisi Sukan Kebangsaan menetapkan tiada diskriminasi dalam sukan. Penubuhan sekretariat tetap ini dilihat dapat memperkenalkan program konsisten buat golongan kurang upaya ini.

“Di samping itu ia diharap dapat mencetuskan kesedaran terhadap keperluan golongan upaya dan perkhidmatan yang diperlukan mereka. Misalnya, gelanggang perlu diubah suai bagi menjadikannya mesra kurang upaya. Saya lihat kebanyakan gelanggang dibina tanpa kemudahan buat golongan kurang upaya.

“Ia akan membuka peluang kepada ramai golongan remaja kurang upaya untuk menyertai aktiviti sukan. Ini akan membolehkan kami mengenal pasti golongan ini untuk mewakili negara pada kejohanan-kejohanan lain,” katanya pada sidang media sempena sesi kunjungannya ke pusat latihan paralimpik kebangsaan yang juga dikenali sebagai Skuad Wira Negara di Pusat Pemulihan dan Perindustrian Bangi semalam.

Azalina sempat meninjau persiapan atlit bola keranjang kerusi roda, bola tampar duduk, lawan pedang, ping pong dan angkat berat (power lifting).

Turut hadir sempena lawatan itu adalah Pemangku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Zainal Abu Zarin; Chef-de-Mission Skuad Wira Negara, Datuk Dr Ismail Md Salleh; Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Chef-de-mission Sukan Asia 2006, Datuk Abdullah Sani Karim.

Menurut Dr Ramlan, pejabat buat OKU itu kini masih meniti peringkat awal dengan seorang pegawai diletakkan di sana buat sementara waktu ini.

Fespic (KL 06) yang akan dilangsungkan di sekitar Lembah Klang dari 25 November hingga 1 Disember ini akan menampilkan 2,455 peserta dari 47 negara akan bersaing dalam 19 acara.

No comments: