Monday, July 10, 2006

Pengawal boleh lumpuh seluruh badan

Berita Harian, 10 julai 2006


KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan, Khairi Azhar Zabidin, 24, yang koma selepas ditembak empat lelaki dalam rompakan sebuah kedai emas di Batu 11, Cheras dekat Kajang, 3 Julai lalu, mungkin lumpuh seluruh badan.

Khairi yang sebelum ini koma lima hari akibat ditembak di dada dari jarak dekat menerima rawatan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini mula menunjukkan perkembangan positif.

Mangsa yang berasal dari Sik, Kedah, mungkin lumpuh seumur hidup kerana peluru yang ditembak di dada turut mengenai tulang belakang dan bahu kirinya.

Abang sulungnya, Zakaria, 26, berkata walaupun Khairi sudah sedar daripada koma beliau bagaimanapun menghadapi masalah untuk berkomunikasi kerana ada saluran bantuan pernafasan yang dipasang di lehernya.

“Peralatan pernafasan yang dipasang di leher Khairi menyukarkannya bercakap. Dia juga susah untuk menulis kerana kedua-dua belah tangannya masih lemah,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Beliau berkata, doktor yang merawat Khairi memaklumkan adiknya mungkin lumpuh seluruh badan kesan daripada tembakan itu kerana peluru berkenaan tepat mengenai tulang belakangnya.

“Saya dimaklumkan, Khairi perlu melalui satu pembedahan untuk membetulkan tulang belakangnya tidak lama lagi. Kami semua mendoakan supaya pembedahan itu akan berjaya,” katanya.

Zakaria yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat sama berkata, Khairi menitiskan air mata kerana hampa berikutan cubaan untuk berkomunikasi dengannya gagal.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, empat lelaki bersenjatakan dua pistol dan sepucuk revolver, menyerbu kedai emas Poh Kong dan menembak dua pengawal keselamatan serta seorang pekerja, sebelum melarikan lapan dulang emas, manakala rakan Khairi, Mohd Shukry Saaidin, 21, mati di tempat kejadian.

No comments: