Friday, July 14, 2006

Lelaki lumpuh guna ‘otak’ gerak komputer


Berita Harian, 14 julai 2006



LONDON: Seorang lelaki lumpuh yang menggunakan pengesan otak baru berjaya menggerakkan petunjuk bergerak komputer, membuka emel dan mengawal peralatan robotik dengan cuma berfikir untuk melakukannya, kata sekumpulan saintis kelmarin.

Mereka percaya pengesan ‘BrainGate’, yang membabitkan penanaman elektrod di dalam otak, dapat memberikan harapan baru kepada individu yang lumpuh disebabkan kecederaan atau penyakit.

“Ini adalah langkah pertama dalam ujian berterusan klinikal mengenai peralatan yang memberi harapan untuk membantu golongan lumpuh,” kata Dr Leigh Hochberg dari Hospital Besar Massachusetts dalam satu temubual.

Lelaki berusia 25 tahun itu yang lumpuh keempat-empat anggota tubuhnya tiga tahun lalu menamatkan tugas seperti menggerakkan petunjuk pada skrin komputer dan mengawal lengan robotik.

Dia adalah yang pertama dari empat pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang, lemah otot, angin ahmar atau penyakit saraf menguji sistem ‘otak – untuk – pergerakan’ yang dibangunkan oleh syarikat Cyberkinetics Neurotechnology Systems Inc di Massachusetts.

“Ini adalah permulaan teknologi saraf besar yang menyaksikan kemampuan membawa isyarat keluar dari otak mencatatkan kejayaan besar.

“Kami mempunyai kemampuan untuk meletakkan isyarat ke dalam otak tetapi mengeluarkan isyarat darinya memang satu cabaran besar. Saya rasa ini menunjukkan kejayaan,” kata Profesor John Donoghue dari Universiti Brown University di Rhode Island dan juga Ketua Pegawai Saintifik Siberkinetik. – Reuters



Saintis meletakkan cip silikon kecil dengan 100 elektrod ke dalam kawasan otak yang bertanggungjawab mengarahkan pergerakan. Aktiviti sel direkodkan dan dihantar kepada komputer yang menterjemahkan arahan dan membolehkan pesakit menggerakkan dan mengawal peralatan luaran.

“Bahagian otak ini iaitu motor cortex yang selalunya menghantar isyarat kepada tulang belakang dan anggota tubuh untuk mengawal pergerakan, masih boleh digunakan peserta untuk mengawal peralatan luaran walaupun selepas bertahun-tahun tidak mampu dilakukan sejak mengalami kecederaan tulang belakang,” kata Hochberg, penulis bersama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature.

Walaupun ini bukan kali pertama aktiviti otak digunakan untuk mengawal petunjuk bergerak komputer, Stephen Scott dari Universiti Queens di Ontario, Kanada, berkata ia adalah satu kemajuan teknologi. —Reuters

No comments: