Monday, May 01, 2006

TABAHLAH WAHAI RAKAN SENASIB

OLEH: ABDUL MALEK BIN HAJI OTHMAN

Tabahlah wahai rakan senasib OKU, sesungguhnya segala ujian dan cubaan yang kita terima ini adalah untuk menilai sejauh mana tahap kesabaran kita. Bukankah sabar itu separuh separuh dari iman.

Jika kita gagal sekali bukan bermakna kita akan terus gagal selama-lamanya. Bangkitlah dan bangunlah, terokai mukabumi ciptaan Allah SWT ini, insyalllah Tuhan Yang Maha Pengasing Dan Maha Penyayang akan memberikan kita rezeki. Di alam realiti mungkin kita serba kekurangan dan tidak dapat menandingi insan biasa.

Aku berpendapat dalam era teknologi ICT ini, kekuatan OKU dan manusia biasa adalah seimbang di dalam dunia cyber. Banyak peluang perniagaan baru boleh diterokai dengan sistem online misalnya bagi yang mahir komputer boleh merekabentuk laman web untuk dijual, bagi yang bijak dalam ekonomi boleh bermain saham di Bursa Malaysia secara online, malah bermacam-macam bentuk perniagaan boleh dicipta bagi OKU yang kreatif di dalam dunia cyber.

Aku masih kurang arif mengenainya, kita kena terokai e-dagang. Perkara ini masih baru. Kalau kita rajin membuat laman web atau weblog peribadi pun boleh menjana sedikit wang, kita masukan ‘google ad-sense’, bila orang klik sekali kita dapat 1 sen. Seandainya laman web itu cantik dan berfaedah pada orang ramai, ia boleh menjana pendapatan yang lumayan.

Orang Jepun misalnya ada yang membuat cerita komik dan game dan di masukkan ke dalam laman web mereka, sebelum seseorang mahu membaca atau download komik atau game tersebut mereka perlu klik iklan google pada laman web berkenaan. Seandainya komik dan game itu menarik, bayangkan bilangan pengunjung yang mencecah berjuta orang sebulan, kiralah berapa banyak keuntungan yang mereka boleh perolehi?


Pendek kata, kita kena kaji peluang perniagaan dalam sistem online ini sebab OKU seimbang dengan orang biasa di alam cyber. OKU kena bangkit dan jangan terlalu mengharapkan bantuan dan subsidi sahaja.

Bagi yang tidak berdaya sudah tentu mereka mengharapkan simpati dan pertolongan masyarakat. Oleh itu, wahai insan yang berkemampuan berikanlah sedikit bantuan kepada mereka dengan segala nikmat kekayaan yang kamu perolehi. Bukankah kita sesama muslim adalah bersaudara. Kita di ibaratkan seperti sebatang tubuh badan, apabila sakit satu anggota lain maka terasalah kesakitan itu ke seluruh badan sehingga menyebabkan kita tidak lena tidur.

Jika kita membantu orang yang di dalam kesusahan kita akan di beri ganjaran oleh Allah SWT di akhirat kelak. Boleh jadi pada hari ini kita senang tetapi siapa tahu di masa depan kita pula ditakdirkan menjadi susah. Begitu juga pada hari ini kita sihat tetapi di masa hadapan mungkin kita akan ditimpa musibah dan penyakit yang menyebabkan kita menjadi OKU. Fikirkanlah wahai sahabat-sahabatku.

No comments: