Wednesday, January 03, 2007

Samsung beri geran bantu OKU

Utusan Malaysia, 3 Januari 2007


WAKIL persatuan Pertubuhan Prihatan Sosial Malaysia dan United Voice menerima replika cek geran Samsung Digital Hope dari Ming Yong Ho (kiri) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PROGRAM Samsung Digital Hope anjuran Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) tahun lalu menganugerahkan geran kepada dua badan amal iaitu Pertubuhan Prihatin Sosial Malaysia (PPSM) dan United Voice masing-masing berjumlah RM255,000 dan RM34,000.

Pemberian geran itu membolehkan PPSM dan United Voice meneruskan misi dan objektif badan amal berkenaan dalam memberikan peluang pendidikan teknologi serta kehidupan yang lebih selesa kepada golongan kurang upaya (OKU).

Pemilihan itu juga melengkapkan 16 buah badan amal kesemuanya di seluruh rantau Asia dan Australia yang turut terbabit dalam projek Samsung Digital Hope ini yang menyaksikan sejumlah RM2.1 juta (USD620,000) geran diberikan.

Pengarah Urusan Samsung Malaysia, Min Yong Ho berkata, program Samsung Digital Hope yang memasuki tahun keempat tahun ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada badan amal yang meneruskan projek kepimpinan berasaskan teknologi.

“Ia sekali gus memberikan masa depan yang cerah kepada OKU dan golongan yang kurang bernasib baik di negara ini serta negara-negara di rantau Asia dan Australia yang turut mengambil bahagian,” ujarnya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Pemasaran, Jimmy Tan; Kumpulan Editor dan Penasihat Pendidikan, Star Publications (M) Bhd., Datuk Ng Poh Tip dan Dekan Fakulti Informasi dan Teknologi Komunikasi, Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr. Tan Chik Heok.

Pemilihan PPSM dan United Voice dibuat berdasarkan penjurian yang diketuai oleh Poh Tip daripada kira-kira 20 buah penyertaan yang diterima di seluruh negara sejak program Samsung Digital Hope itu mula dibuka penyertaannya pada Julai lalu.

PPSM yang menerima geran tersebut untuk kali kedua berturut-turut tahun ini akan menggunakannya untuk membiayai projek teknologi mereka iaitu SAMSUNG CARES: Pusat Teknologi E-Community untuk Remaja Menganggur.

Menurut Chelliah, projek yang berbentuk pusat sehenti teknologi komuniti itu dijalankan bertujuan mendedahkan para belia dengan kemahiran baru terutamanya berkaitan teknologi maklumat sebagai persediaan merebut peluang pekerjaan yang lebih cerah.

Disasarkan kepada kira-kira 350 belia, projek itu antara lain akan memahirkan para belia dalam beberapa aspek seperti E-Life Skills (Kemahiran Kehidupan), e-Entrepreneurial Knowledge (Pendidikan Keusahawan) dan memperbaiki e-Access kepada Informasi Pekerjaan.

Sementara itu, United Voice iaitu sebuah badan khusus untuk OKU yang mengalami masalah kebolehan pembelajaran pula akan menggunakan geran tersebut untuk menyediakan keperluan sosial, komunikasi dan kemahiran kepimpinan serta forum berkaitan golongan sasaran mereka.

Wakil United Voice, Cynthia Joann Thomas berkata, geran tersebut juga bakal digunakan bagi merealisasikan harapan warga OKU untuk mengekspresikan diri menerusi penggunaan IT.

Ia akan dijalankan menerusi pembinaan makmal asas bagi mereka mempelajari ilmu komputer seperti Microsoft Word, PowerPoint, kemahiran membangunkan laman web dan kemudahan melayari Internet.

“Selain daripada meningkatkan kemahiran IT, golongan sasaran ini juga berpeluang menambah pendapatan menerusi penghasilan kad ucapan, kad perkahwinan dan sebagainya di bawah projek ini,” katanya.

No comments: