Thursday, August 24, 2006

Villa Minda Sihat bantu pesakit mental berkeliaran

Berita Harian, 24 ogos 2006

PIHAK berkuasa akan memulakan operasi mengumpul pesakit mental yang berkeliaran di sekitar ibu negara mulai bulan ini untuk ditempatkan dan dirawat di Villa Minda Sihat.


Pengerusi Yayasan Kesihatan Minda, Tan Sri Dr Abu Hassan Omar, berkata rumah itu terletak berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

“Ini adalah projek bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Kesihatan Minda. Ia boleh menempatkan 20 pesakit dan adalah projek perintis,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan seminar Kesedaran Schizophrenia anjuran yayasan itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, pesakit mental yang merayau di ibu negara bukan ancaman kepada masyarakat dan mereka akan dikumpulkan untuk diberi rawatan. Kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang merayau itu dipinggirkan keluarga, terabai dan tidak berumah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah, berkata orang ramai seharusnya sedar bahawa mereka yang menghidap masalah mental tidak mengancam nyawa orang lain.

“Ancaman biasanya berlaku pada ahli keluarga terdekat. Ini pun disebabkan mereka tidak mendapat ubat dan rawatan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kes menggemparkan seperti penyembelihan yang dibuat pesakit mental di negara ini seperti yang dipaparkan media sepatutnya boleh dielakkan jika anggota keluarga mengambil berat terhadap rawatan mereka.,

Malangnya, beliau berkata, kebanyakan anggota keluarga lebih minat berjumpa bomoh atau guru agama untuk mendapat rawatan sedangkan hospital ada menyediakan rawatan terbaik yang boleh menghindarkan pesakit daripada berada di luar kawalan.

Katanya, di Malaysia, kira-kira 145,000 orang daripada 25 juta penduduk mengidap sakit mental atau schizophrenia iaitu 580 orang pesakit untuk setiap 100,000 populasi.

Setiap tahun, HKL merekodkan 10 hingga 40 kes baru untuk setiap 100,000 penduduk dan penyakit ini biasanya menyerang mangsa yang berusia antara 20 dan 25 tahun. — Bernama

No comments: