Wednesday, March 01, 2006

PLPP berikan masa depan kepada OKU, Pendidikan Untuk OKU

PUSAT Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi adalah sebuah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberikan perkhidmatan kepada orang kurang upaya (OKU) melalui latihan vokasional dan pemulihan perubatan.

Dibangunkan pada Mac 1999, penubuhan PLPP yang terletak di Sungai Merab, Kajang, Selangor itu adalah untuk memberi perkhidmatan komprehensif kepada OKU untuk mendapatkan kemahiran vokasional yang bersesuaian.

Ia juga bertujuan mengembalikan kemahiran yang telah hilang akibat kemalangan bagi meningkatkan kemampuan OKU bekerja dan berdikari serta mengambil langkah awal pemulihan bagi mengelakkan kecacatan menjadi bertambah teruk.

PLPP juga menyediakan sumber latihan bagi penuntut perubatan, jurupulih anggota, juruteknik prostetik dan ortortik selain menjadi pusat sumber untuk kajian dalam bidang pemulihan OKU.

Ramai di kalangan OKU yang mendapatkan latihan kemahiran di situ dapat berdikari dengan mempunyai pendapatan sendiri setelah diambil bekerja dalam sektor-sektor swasta mahupun kerajaan.

Wartawan ROSMAH DAIN dan jurugambar HAYAT SUEET meninjau penglibatan pusat itu yang menjadi pemangkin kepada kewujudan sinar baru kepada OKU agar membolehkan mereka berdikari dengan kemahiran yang telah dipupuk.

PLPP boleh dihubungi di talian 03-8926 1996 atau 03-8926 2681.

KETIBAAN kami di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi disambut mesra oleh Pengarah PLPP, Mizan Maulud, yang kemudian membawa kami meninjau di sekeliling pusat berkenaan yang dibina di atas tapak seluas 10.508 hektar (25.967 ekar).

Hati kami kagum dengan kesungguhan para pelatih yang tekun mempelajari ilmu-ilmu kemahiran di pusat itu yang menyediakan begitu banyak kemudahan mesra OKU.

Menurut Mizan, biarpun pusat itu boleh menempatkan lebih 300 orang pelatih pada satu-satu masa, jumlah pelatih yang diambil pada tahun ini hanya 153 orang. Ini bermakna terdapat 150 tempat lagi untuk golongan OKU anggota ditempatkan di situ.

Menurut Mizan, pelatih yang ditempatkan di situ kebanyakannya hasil pendaftaran OKU yang dilakukan oleh pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri-negeri dan daerah.

Pelatih OKU yang ingin memasuki PLPP perlu berumur di antara 18 hingga 40 tahun dan mesti berdaftar dengan JKM terlebih dahulu.

"OKU yang diterima di sini ialah OKU anggota atau fizikal yang boleh menguruskan diri sendiri.

"Mereka terlebih dahulu akan ditemu duga untuk mengenal pasti latihan yang bersesuaian dengan kecacatan fizikal yang dialami dan seiring dengan saranan doktor perubatan," katanya.

Mizan juga memberitahu, pusat berkenaan menyediakan jabatan pemulihan atau rehabilitasi, doktor perubatan, jururawat, pembantu perubatan, jurupulih anggota dan cara kerja untuk membantu pelatih.

Percuma

Pelatih OKU juga akan diberikan elaun sebanyak RM150 sebulan dengan segala kemudahan, penginapan dan makanan diberikan secara percuma.

Kursus yang disediakan kepada pelatih mengambil masa setahun bagi kursus vokasional yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Kursus-kursus pravokasional pula mengambil masa selama dua tahun, dengan semua kemasukan dibuat pada Januari. Hari tamat latihan akan diadakan pada bulan Disember setiap tahun.

Apa yang membanggakan, sejak PLPP diwujudkan lebih 1,000 pelatih telah mendapat latihan dan kira-kira 90 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan sama ada dalam sektor swasta, kerajaan mahupun membuka bengkel dan perusahaan sendiri.

"Sebagai contoh, pada tahun lepas sahaja, seramai 15 pelatih daripada 18 pelatih daripada bengkel jahitan telah diambil bekerja oleh sebuah syarikat swasta di Negeri Sembilan. Selain itu, 15 pelatih daripada pelbagai kursus berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Terbuka Malaysia," katanya.

Mizan memberitahu, gaji permulaan yang ditawarkan kepada OKU adalah RM750, ditambah lagi dengan elaun OKU sebanyak RM200 sebulan.

Di samping itu, sebelum tamat kursus pihak PLPP biasanya akan mengadakan kempen-kempen kerjaya yang melibatkan sektor swasta untuk mendapatkan pekerjaan kepada pelatih-pelatih.

"Itulah sebabnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU perlu mendaftarkan anak-anak mereka kerana mereka akan mendapat banyak kemudahan terutama dari segi perkhidmatan, pengangkutan dan kesihatan," katanya.

Mizan menambah, berbanding masa dahulu, ibu bapa sekarang lebih bersifat terbuka dan tidak lagi menyembunyikan anak-anak mereka yang cacat.

Ibu bapa kini memberi peluang kepada anak-anak OKU untuk menyertai pelbagai program dan latihan kemahiran yang boleh digunakan bagi menyara kehidupan mereka seharian. OKU tidak perlu lagi bergantung kepada belas ihsan orang lain.

Para majikan juga mula membuka mata dengan mengambil OKU sebagai pekerja berdasarkan kepada kemahiran yang mereka miliki seperti dalam bidang teknologi maklumat (IT), pembangunan sumber dan pembangunan manusia.

"Melalui pengalaman dan pengamatan saya, kemahiran yang dimiliki oleh golongan tersebut hasil daripada latihan di pusat ini adalah setanding dengan mereka yang normal,'' katanya.

Mizan berkata, antara bengkel-bengkel kemahiran ditawarkan ialah IT-komputer, rekaan fesyen dan jahitan, elektronik, IT-penyelenggaraan komputer, elektrik, unit prostetik dan ortotik, pemulihan perubatan, prakomputer, praelektronik, prajahitan, lukisan dan pembuatan kerusi roda.

"Bengkel pembuatan kerusi roda dianjurkan menerusi program pemindahan teknologi Jepun-JKM. Bagi bengkel ini sebanyak 20 orang telah diberikan latihan dan lima orang sudah mendapatkan latihan di Jepun.

"Kita sasarkan 100 unit kerusi roda dapat dikeluarkan dalam masa sebulan dan bilangan itu akan meningkat sehingga 500 unit pada tahun depan," katanya.

Antara pengetahuan lain yang diajarkan pada bengkel itu termasuk membaik pulih kerusi roda, bengkel penggunaan semula kerusi roda dan mereka bentuk kerusi roda.

Dalam pada itu, menurut Mizan, kekurangan maklumat mengenai pusat itu menyebabkan tidak ramai pelatih wanita memasuki PLPP.

"Daripada 113 pelatih yang mendaftar di PLPP, hanya 40 pelatih adalah wanita,'' katanya.

Data kemasukan pelajar keseluruhan mengikut jantina dan kumpulan etnik pada tahun 2006 ialah lelaki Melayu sebanyak 95 orang, wanita Melayu (35), Lelaki Cina (tujuh), perempuan Cina (dua), lelaki India (lima), perempuan India (dua) dan lain-lain tujuh orang.

Mizan berkata, kerajaan amat mengambil berat mengenai pembangunan OKU. Justeru, beliau berharap golongan tersebut akan tampil untuk membuat pendaftaran agar kerajaan dapat merancang segala kemudahan untuk pembangunan mereka.

Mandat

Selain itu Mizan juga memberitahu, PLPP telah diberi mandat sebagai tempat latihan para atlet OKU termasuk OKU yang berada di luar negara.

Setakat ini, atlet-atlet OKU untuk kejohanan Paralimpik, Kejohanan Sukan Pasifik dan Kejohanan Bola Keranjang Kerusi Roda Terbuka Selangor berlatih di Kompleks Sukan OKU di situ.

"Kepada OKU dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU fizikal, rebutlah peluang ini untuk menjadikan anak-anak anda perkasa dan berdikari pada masa depan

"Mungkin sebelum ini mereka tidak mengetahui mengenai kewujudan pusat seperti ini untuk anak-anak mereka, kini peluang ini telah tersedia," katanya yang berjanji akan berusaha untuk menjadikan PLPP sebagai pusat kecemerlangan latihan dan sukan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara itu, salah seorang pelatih, Siti Jamilah Mohamad, 23, yang berasal dari Kemaman, Terengganu berasa bersyukur kerana dapat memasuki PLPP dan menjalani latihan kemahiran prajahitan selama dua tahun.

Anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik ini yang mengalami kecacatan tangan dan jari bakal menamatkan kursus jahitan pada bulan Disember ini. Beliau merancang untuk pulang ke kampungnya dan menjadi tukang jahit.

Berasal daripada keluarga yang besar, ayahnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai manakala ibunya suri rumah. Siti Jamilah kini yakin dengan kemahirannya menjahit baju kurung, kebaya dan lain-lain, dia boleh membantu keluarga.

"Saya hanya bersekolah setakat darjah enam dan kemudian tidak melanjutkan pelajaran kerana faktor kekurangan diri.

"Sebelum ini saya tidak tahu langsung menjahit. Apabila saya masuk ke PLPP, atas nasihat seorang pegawai di Pusat Dalam Komuniti (PDK) di Kemaman, kini saya mempunyai seribu harapan untuk masa depan," katanya dalam nada girang.

Rakannya, Perimal a/p Nurusamy, 20, yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

Beliau yang mengalami kecacatan kaki hanya bersekolah setakat darjah enam. Perimal baru tiga bulan memasuki pusat berkenaan atas nasihat pegawai JKM.

"Dulu keluarga saya tidak mengetahui adanya pusat seperti ini untuk membolehkan saya berdikari.

"Kini saya akan cuba memanfaatkan sebaik mungkin kursus yang diberi selama dua tahun ini agar saya boleh menjadi tukang jahit yang berjaya nanti," katanya. Perimal merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.

Berbeza dengan Aliah Talib yang bakatnya semakin terserlah setelah dicungkil kebolehannya di pusat itu.

Aliah, insan istimewa yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangannya, berupaya menghasilkan lukisan yang menarik hanya dengan menggunakan kaki.

Aliah, 19, yang berasal dari Alor Star, Kedah kini merupakan satu-satunya pelatih wanita di bengkel lukisan. Dia bakal ditempatkan untuk belajar lukisan corak batik komersial bermula bulan depan.

"Sebelum ini saya tahu saya mempunyai bakat melukis, tetapi ia tidak dapat diketengahkan kerana saya tidak tahu bagaimana.

"Di sini bakat saya dilihat dan saya rasa begitu gembira," katanya yang telah dua tahun berada di pusat berkenaan.

Bersekolah hanya setakat tadika, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini seronok berada di pusat berkenaan kerana kini dia mempunyai ramai kenalan dan dapat bertukar-tukar fikiran.

No comments: