Thursday, May 31, 2007

Mangsa terpaksa dipotong kaki, bayi belum sedar

Utusan Malaysia, 31 mei 2007

ALOR STAR 30 Mei – Dua mangsa yang terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan meragut lapan nyawa di Plaza Tol Hutan Kampung dekat sini, petang semalam, dilaporkan stabil dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alor Star (HAS), di sini.

Bagaimanapun, kaki kiri salah seorang mangsa berkenaan, Umi Syakila Mohd. Sobri, 23, terpaksa dipotong dari paras lutut kerana kecederaan teruk akibat kemalangan itu.

Dia merupakan anak angkat kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian itu, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, dari Kampung Lubuk Batu, Wang Tepus dekat Jitra.

Umi Syakila yang merupakan pemandu kereta Perodua Kancil ditempatkan di ICU bersama-sama anak tunggalnya berusia enam bulan, Mohd. Arif Irfan Taqyuddin, yang cedera di kepala dan masih belum sedarkan diri selepas dimasukkan ke HAS, semalam.

Sementara itu, suami Umi Syakila, Ahmad Taqyuddin Hamzah, 25, ketika ditemui di HAS hari ini kelihatan muram dan sangat tertekan akibat kejadian menimpa isteri serta anak lelakinya itu dan enggan mengulas lanjut ketika ditemui.

“Saya tidak mahu komen panjang, cuma doktor kata semua (isteri dan anak) stabil, keadaan baik,” jawabnya ringkas kepada pemberita.

Bapa mertua Umi Syakila, Hamzah Othman, 53, pula berkata, menantunya itu belum mengetahui kematian ibu angkatnya dan juga keadaan anak tunggalnya yang masih dirawat di ICU kerana tidak mahu mengganggu fikirannya.

Saturday, May 26, 2007

Enggan beli nasi, emak dipijak hingga mati

Utusan Malaysia, 26 mei 2007

RAMAH SA'AT.

TANAH MERAH 25 Mei – Seorang ibu mati selepas dipijak dan dipukul oleh anak lelakinya yang dipercayai kurang siuman di rumah mereka di Kampung Kelewek dekat sini petang ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 petang apabila mangsa, Ramah Sa'at, 70, (gambar), enggan menurut arahan suspek yang menyuruh mangsa membeli nasi di kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Anuar Muhammad berkata, sebelum kejadian berlaku mangsa dikatakan sedang berbual dengan anak lelaki jirannya yang berusia 17 tahun di tangga rumahnya.

"Suspek yang berusia 33 tahun secara tiba-tiba muncul dari dalam rumah dan menyuruh emaknya pergi ke kedai untuk membeli nasi.

"Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian dan dia kemudian turun ke halaman rumah. Suspek yang berang terus memukul emaknya dengan tangan di bahagian belakang leher sehingga jatuh ke tanah.

"Dia kemudian bertindak liar dengan memijak belakang dan kepala mangsa sehingga wanita itu tidak sedarkan diri. Ramah mengalami pendarahan serius pada hidung dan telinga," kata Anuar ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, tindakan suspek menyebabkan remaja terbabit ketakutan dan melarikan diri.

Suspek kemudian ditahan kira-kira 150 meter dari rumahnya oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.

"Ramah disahkan meninggal dunia sebelum ambulans tiba di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit pernah mendapatkan rawatan sakit jiwa di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

"Bagaimanapun, sejak keluar hospital dia enggan makan ubat dan mendapatkan rawatan lanjut," kata Anuar.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.

Friday, May 25, 2007

Pesara askar kurang upaya terkilan

Berita Harian, 25 mei 2007

SAYA rasa terpanggil untuk menyatakan bahawa di sebalik kegembiraan kakitangan awam, polis dan tentera menerima tangga gaji baru mulai Julai ini, saya terkilan kerana Angkatan Tentera masih mengikut peraturan 1952 untuk pegawai kerahan dalam pemberian pencen kurang upaya.


Saya adalah penerima pencen berkenaan sejak tamat perkhidmatan pada 1988 selepas berkhidmat sepenuh masa selama 11 tahun 28 hari.

Pencen berkenaan mengikut ‘The Malay Regiment and The Federation Regiment (retired pay, pension, gratuity and other grants) regulations 1952’. Apakah peraturan era komunis itu masih relevan masa kini?

Berkali-kali kedengaran kenyataan pemimpin bahawa elaun kurang upaya akan dinaikkan tapi sudah 19 tahun berlalu, elauan saya masih sama iaitu RM140. Elaun sebanyak itu untuk kegunaan sendiri pun tidak mencukupi.

Dengan demikian adalah tidak adil jika peraturan dalam era komunis itu masih diguna pakai sehingga kini.

KAPTEN (B) KERAHAN,

Taman Permata, Hulu Klang.

Monday, May 21, 2007

Robot humanoid terbaru

Utusan Malaysia, 21 mei 2007

ROBOT humanoid banyak dihasilkan di negara maju sebagai satu cara untuk membantu mereka yang memerlukan misalnya mereka yang kehilangan anggota tubuh semasa kemalangan.

Baru-baru ini tiga jenis robot humanoid telah dipamerkan semasa American Association for The Advancement of Science (AAAS) di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Ini boleh dikatakan satu langkah besar apabila tiga mesin humanoid yang boleh berjalan seperti manusia diperkenalkan.

Ketiga-tiga robot berkenaan bukan saja boleh bergerak seperti manusia tetapi juga menghayun tangan serta dilengkapi dengan bebola mata.

Robot pertama dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) yang dinamakan Toddler kerana gayanya berjalan seperti bayi baru bertatih.

Toddler dilengkapi dengan otak yang kurang daripada seekor semut tetapi masih boleh belajar perkara-perkara baru.

Robot kedua, Denise merupakan hasil rekaan penyelidik Universiti Delft, Netherland pula setinggi wanita.

Robot ketiga pula hasil rekaan Universiti Cornell pula boleh membengkokkan badan untuk mengutip barangan yang terjatuh di hadapan mereka.

Ketiga-tiga robot berkenaan hampir sama efisien dengan manusia kerana menggunakan tenaga untuk mengangkat kaki dan graviti akan menarik kaki ke lantai.

Sebelum ini tidak banyak kajian yang berjaya menghasilkan robot yang dapat berjalan seperti manusia.

Robot memerlukan tenaga yang minimum untuk berjalan di permukaan mendatar atau menuruni cerun tetapi motor yang lebih besar diperlukab bagi kuasa memanjat tangga, berlari dan melompat.

– KHAIRUNNISA

Thursday, May 17, 2007

Belum mesra OKU

Harian Metro, 10 Mei 2007

Oleh Ahmad Fitri Che Musa

KUALA LUMPUR: Masjid Negara belum lagi dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) seperti kemudahan laluan kerusi roda dan tandas khas.


Ketua Rombongan Program Retreat Penyediaan Kemudahan OKU Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke Masjid Negara, Alias Marjoh, berkata masjid berkenaan tidak menyediakan kemudahan OKU kerana bangunannya dikategorikan binaan lama yang berusia hampir 40 tahun.

“Bangunan Masjid Negara dibina pada 1965, ketika tiada penekanan dibuat untuk membina bangunan yang mesra OKU,” katanya ketika membuat lawatan ke Masjid Negara bersama sekumpulan pegawai DBKL bagi menjalankan Audit Akses, semalam.

Alias berkata, sebagai satu daripada tarikan pelancong, sewajarnya kemudahan untuk OKU disediakan kepada semua peringkat golongan bagi memudahkan mereka menunaikan solat di Masjid Negara.

Menurutnya, pihak DBKL akan mengadakan Audit Akses bagi mengenal pasti keperluan kemudahan mesra OKU di masjid berkenaan.

Laporan Audit Akses itu, katanya, akan diserahkan kepada pihak pengurusan masjid berkenaan supaya tindakan dapat diambil bagi menyediakan sekurang-kurangnya keperluan minimum untuk OKU.

Antara kemudahan minumum yang perlu disediakan ialah penambahan ram (laluan) kerusi roda, railing tangga mesra OKU serta beberapa kawasan di masjid itu yang boleh menimbulkan bahaya kepada golongan terbabit.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syeikh Ismail Muhammad, berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha menyediakan kemudahan kepada pelancong, jemaah dan OKU.

Menurutnya, beliau mahu orang ramai, terutama golongan OKU datang beribadat di masjid tanpa sebarang alasan seperti tidak boleh menaiki tangga, susah dan tiada kemudahan sesuai.