Thursday, July 20, 2006

Pelan pembinaan perlu ambil kira OKU

Berita Harian, 20 julai 2006

BEAUFORT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus memastikan setiap bangunan serta tempat rekreasi yang dibina termasuk di negeri ini turut menyediakan kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata antara kemudahan yang dikenal pasti adalah tandas, laluan kerusi roda serta kemudahan beriadah.

Katanya, sebagai langkah awal, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memeriksa pelan pembinaan terlebih dulu supaya kemudahan yang hendak di bina itu mengikut garis panduan ditetapkan kementerian.

"Langkah ini diambil bagi bagi memastikan golongan ini tidak berasa tersisih sekali gus boleh bersama-sama menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap pemaju yang gagal menyediakan kemudahan ini," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga dan Ulang Tahun Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Beaufort di Dewan Masyarakat Pa'Musa Beaufort, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Hospital Beaufort, Dr Shamsul Kamal dan Pengerusi PDK Beaufort, Mohd Osman Jubar.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, PBT boleh menyalurkan maklumat bertulis kepada kementerian sekiranya ada pemaju di kawasan itu tidak mematuhi garis panduan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah berkata, PDK perlu bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri untuk mendaftarkan semua golongan kurang upaya sekiranya masih belum berbuat demikian.

Katanya, ini penting bagi memastikan mereka memperoleh pendidikan dan latihan secukupnya serta menggalakkan golongan ini memperoleh makanan mengikut sukatan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Ibu bapa dan penjaga perlu menyedari keperluan ini dengan menghantar anak-anak istimewa ini ke pusat rawatan agar mereka boleh memperoleh latihan yang diperlukan berdasarkan skop dan modul yang diperlukan," katanya.

Hidup tak keruan selepas anak disahkan hidap kanser otak

Berita Harian, 20 julai 2006


ALOR GAJAH: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib pasangan Kamaruzaman Hasan, 40, dan Noraini Abu Kasim, 32, sejak anak kesayangan mereka, Nurumairah, 5, disahkan menghidap `medullobalastoma' atau kanser otak tahap tiga, setahun lalu.

Segala-galanya bermula pada 23 September tahun lalu apabila kanak-kanak lincah itu tiba-tiba mengadu sakit kepala sewaktu sedang bermain di halaman rumahnya di Rumah Awam Taman Pisang Mas Gadek, di sini.

Sejak itu sakit kepala yang dihidapi berterusan sehingga ada masanya membawa kepada muntah darah. Pada 6 Oktober tahun lalu, Nurumairah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan kira-kira 5 sentimeter di kepalanya.

Sejak itu, corak kehidupan anak kecil yang suka berbasikal bersama kakaknya serta anak-anak jiran mula berubah dan beliau tidak lagi lincah dan riang seperti dulu.

Nurumairah atau lebih mesra di panggil Adik kini masih menjalani rawatan terapi dan kimoterapi di Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Melaka. Anak kedua dari dua beradik itu sudah menjalani 31 kali rawatan dengan lapan sesi kimoterapi.

Kata Kamaruzaman, Adik yang dulu memiliki wajah comel, berambut panjang dan lincah bermain bersama kakaknya Noraisah, 7, sudah jauh berubah. Rambutnya sudah tiada dan badannya semakin kurus. Beliau juga lebih banyak menyendiri.

Namun Kamaruzaman pasrah terhadap ketentuan Ilahi, yang memberi ujian paling getir untuknya melihat penderitaan dan kesengsaraan anak kecilnya itu.

Pendapatan harian Kamaruzaman juga tidak seberapa, hanya sebagai atendan stesen minyak di Simpang Empat Alor Gajah, manakala isterinya tidak bekerja, menambah beban baginya untuk menampung kos rawatan.

Sedang keperluan Adik setiap bulan mencecah lebih RM700, termasuk untuk ubat-ubatan, lampin pakai buang dan kos pengangkutan, selain makan serta minum.

"Hati saya luluh. Isteri saya sering menangis sejak Adik disahkan menghidap kanser otak. Tapi kami reda dengan ketentuan Tuhan dan perlu menguatkan semangat untuk terus berusaha mengubati penyakit yang dideritainya," katanya.

Nurumairah hanya sempat masuk pra sekolah di Tadika Hutan Percha selama enam hari. Kini beliau terpaksa berehat di rumah dengan pergaulan yang terhad termasuk perlu menutup mulut ketika berada di khalayak ramai, bagi mengelakkan serangan kuman.

Bagaimanapun Adik tetap diajar membaca dan menulis oleh ibu serta kakaknya di rumah. Kini beliau sudah boleh membaca dengan baik serta menyiapkan kerja-kerja matematik.

Dunia Buku: Jerih pelumba lumpuh

Berita Harian, 20 julai 2006

BERGADUH Dan Menari karya Alif Firdaus Azis mengisahkan ketabahan dan keazaman Shahrizal, remaja yang pernah bergelar jaguh lumba lari dalam menghadapi dugaan apabila dirinya lumpuh akibat kemalangan jalan raya.

Bapa Shahrizal, Ramli, seorang ahli perniagaan dan ibunya, Rokiah, guru sentiasa sibuk dengan kerjaya dan sering mengabaikan anak mereka serta jarang bertanyakan masalah Shahrizal hingga anak itu mengalami konflik diri.

Kehadiran rakan baiknya, Zainuri dan Aminah memberi semangat dan tekad baru kepada Shahrizal yang hilang keyakinan diri dan sering berputus asa serta menyalahkan diri selepas kemalangan ketika menyelamatkan diri daripada Hasnol.

Sikap Shahrizal yang dingin tidak menghalang persahabatan mereka menjadi lebih erat, malah Zainuri bersama Aminah sering melawat Shahrizal di rumahnya apabila ada kelapangan walaupun hati mereka terguris melihat keadaan Shahrizal yang lumpuh.

Jiwa remaja mereka diduga perasaan cinta apabila Aminah mula menyukai Shahrizal yang pendiam tanpa menyedari Zainuri turut menyimpan perasaan terhadapnya tetapi merahsiakannya daripada pengetahuan gadis itu demi persahabatan.

Perkenalan Shahrizal dengan Rosman Zamzuri, pelukis jalanan pula mengubah hidupnya menjadi insan positif dan belajar menerima kenyataan selain bakatnya dalam bidang lukisan semakin menyerlah hasil tunjuk ajar pelukis itu.

Rosman banyak mengajar Shahrizal dalam membezakan antara fantasi dan realiti kehidupan melalui lukisan yang dihasilkan kerana setiap lukisan ada perasaan malah ia bergantung kepada pandangan individu untuk mentafsirkannya.

Keadaan menjadi gempar apabila galeri mini tempat Rosman dan Shahrizal melukis mengalami kebakaran hingga menyebabkan mereka pengsan tetapi sempat diselamatkan Zainuri serta Hasnol yang pernah berdendam dengan Shahrizal.

Akibatnya, Rosman dan Shahrizal dimasukkan ke hospital selain peristiwa terbabit menginsafkan ibu bapanya yang pernah mengabaikan anak dan hubungan mereka sekeluarga kembali jernih.

Bagaimanakah Shahrizal berdepan dengan konflik diri dan mampukah beliau menerima kenyataan hidup akan diketahui dengan membaca novel setebal 127 halaman terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd berharga RM13 senaskhah ini.

Graduan OKU lebih sukar dapat kerja

Berita Harian, 20 julai 2006


BERDETIK riang hati saya apabila menatap laporan akhbar yang melaporkan arahan tegas dan penuh tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyegerakan proses pengambilan pekerja terutama graduan menganggur bagi mengisi kekosongan di sektor awam.

Lantas tanpa berlengah saya menghubungi rakan lain dan memaklumkan berita gembira itu.

Tanpa diduga jawapan yang diberikan oleh rakan saya lebih kepada berbentuk pertanyaan. “ Ada ke peluang untuk orang kurang upaya (OKU)? Aku sudah lima tahun isi borang SPA haram tak pernah dipanggil”.

“Kau tengok rakan kita yang lain itu sudah hampir dapat ijazah doktor falsafah (PhD) bulan depan tapi masih lagi menganggur! Yang lain pula semuanya cemerlang dalam akademik di universiti kelas pertama tapi tidak pernah dipanggil temu duga”.

Sebenarnya inilah dilema yang dihadapi graduan OKU. Berpuluh-puluh permohonan kepada agensi awam atau swasta. Jawapan tetap mengecewakan. Beban kami mungkin lebih berat kerana graduan normal yang lain boleh juga melakukan kerja sambilan di mana-mana saja bagi meneruskan kehidupan.

Sebagai manusia kami juga tentunya mempunyai perasaan malu dan sikap ingin membantu keluarga. Paling tidak pun lepaslah untuk diri sendiri.

Saya kadang-kadang buntu apa lagi yang perlu kami buktikan, ruyung telah kami pecahkan dengan mengatasi kekurangan diri dengan berjaya di universiti. Berfikir sudah banyak. Apa sudah jadi dengan kuota yang menetapkan sekurang-kurangnya satu peratus ruang untuk golongan OKU dalam sektor pekerjaan?

Ke mana konsep masyarakat penyayang? Cukupkah dengan sekadar iklan di media cetak dan elektronik dan jawapan yang penuh meyakinkan di Parlimen tetapi penuh dengan kerenah birokrasi dan diskriminasi pada peringkat pelaksanaan.

Bukan kami tidak berusaha untuk merubah keadaan. Saya dan rakan senasib sentiasa cuba melebarkan pentas perbincangan dengan mereka yang telah diberi anugerah dan tanggungjawab bagi menjaga golongan seperti kami.

Saya mewakili rakan senasib mengharapkan agar pihak bertanggungjawab terutama SPA, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat melihat masalah ini secara serius agar nasib golongan ini terus terbela.

GRADUAN OKU,
Kuala Lumpur.

Edisi Utara: 'Adik rindu nak sekolah'

Harian metro, 20 julai 2006

Oleh Nazri Abu Bakar
am@hmetro.co.my

ALOR GAJAH: `Ibu, adik rindu nak sekolah’ ungkapan yang sering dituturkan Nurumairah Kamaruzaman, 5, yang kini menghidap barah otak dari Rumah Awam Taman Pisang Mas, Gadek, dekat sini.

Kanak-kanak yang suatu ketika dulu aktif dan lincah adalah anak bongsu daripada dua beradik pasangan Kamaruzaman Hasan,40, dan Noraini Abu Kasim, 32.

Nurumairah pernah mengikuti kelas tadika di Hutan Percha tetapi hanya sempat enam hari sebelum diserang sakit kepala berterusan sejak 23 September 2005.

Sejak itu, Nurumairah sering muntah dan tidak aktif seperti kanak-kanak lain. Berat badannya juga mula menyusut.

Kemuncak penderitaan dilaluinya apabila terpaksa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sepanjang lima sentimeter di otaknya pada 6 Oktober tahun lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kamaruzaman berkata, anaknya itu ada keinginan untuk bersekolah seperti kakak dan kanak-kanak lain tetapi apakan daya penyakit yang dihidapnya memerlukan penjagaan rapi.

Menurutnya, anaknya sering berulang alik ke HKL, klinik swasta dan Hospital Melaka (HM).

“Anak saya terpaksa menjalani lebih 31 kali rawatan dengan lapan sesi kimoterapi sehingga 2007 bagi mengurangkan penderitaan penyakit barah yang dialaminya.

“Pendapatan saya, sebagai atenden pam minyak di Simpang Empat, Alor Gajah, manakala isteri tidak bekerja nyata menyulitkan kami sekeluarga untuk menampung kos rawatan itu,” katanya.

Katanya, dia terpaksa membelanjakan RM700 sebulan termasuk ubat-ubatan, lampin pakai buang, pengangkutan, makan dan minum semata-mata untuk mengubati anaknya itu.

Menurutnya, air mata dia dan isterinya tidak pernah berhenti mengalir apabila mengenang penderitaan anaknya, yang satu ketika dulu comel, berambut panjang dan lincah kini kurus, tidak berambut dan tidak boleh bergaul bebas.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur dengan dugaan diterima, sambil berdoa supaya anaknya sembuh segera serta mampu melaksanakan aktiviti zaman kanak-kanaknya seperti biasa.

“Saya juga mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban.

“Saya juga pernah memohon bantuan daripada pihak tertentu tetapi senyap begitu saja,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Noraini Abu Kasim (155050247158)-Maybank.