Saturday, July 14, 2007

Jawatan Kosong utk OKU (Jurutol PLUS)

http://groups.yahoo.com/group/gokum/

Asalamualaikum dan salam sejahtera.

Adalah dimaklumkan bahawa PLUS bersedia dan sedang membuka peluang
kepada semua OKU yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat di
bawah untuk bekerja dengan PLUS sebagai JURUTOL. Berikut adalah
kelayakan dan syarat yang diperlukan:-

1. Berumur 18 tahun ke atas.
2. Kelayakan minimum S.P.M - Lulus Bahasa Melayu serta lulus math
atau perdagangan.
3. OKU yang boleh berjalan dan sesuai untuk menjalankan tugas
tersebut( bergantung kepada kelulusan semasa temuduga).

Gaji: RM 770.00
(tidak termasuk elaun shif dan elaun dobi).

semua permohonan boleh dikemukakan kepada:-

Puan Sharifah binti Abd. Rahim

Bahagian Sumber Manusia
Level 15, Menara 1, Faber Towers
Jalan Desa Bahagia, Taman Desa
Off Jalan Klang Lama
58100 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel:- 03-79818000 - 4602
Fax: 79842088 (u.p Puan Sharifah binti Abd. Rahim)

p/s : Sila ambil tindakan segera kerana jawatan tersebut adalah
terhad.

Tuesday, July 10, 2007

Anak hidap autisme perlu daftar

Berita Harian, 10 julai 2007

MUAR: Masalah kewangan tidak harus dijadikan alasan untuk tidak menghantar kanak-kanak yang mengalami masalah gangguan perkembangan otak seperti autisme untuk belajar di pusat khas untuk golongan berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Mark Mathew, berkata Pusat Intervensi Autisme (Nasom) yang pertama di negeri itu dibuka di Jalan Orkid, Taman Mutiara di sini.

Katanya, pembukaan pusat berkenaan bertujuan mengajar kanak-kanak berkenaan supaya mempunyai kehidupan lebih baik dan mampu berdikari.

"Kami tidak mahu kerana masalah kewangan, kanak-kanak hilang peluang belajar sedangkan mereka boleh mempunyai peluang kehidupan lebih baik jika mengetahui kaedah rawatan dan pembelajaran yang betul," katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Autisme Muar, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Senator Tay Puay Chuan dan turut dihadiri Pengerusi Nasom, Teh Bay Chun.

Mathew berkata, walaupun penyakit autisme belum dapat disembuhkan, penghidapnya menerusi kaedah rawatan yang betul dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Katanya, maklumat yang diperoleh sebelum ini mendapati terdapat lebih 30 kanak-kanak autisme di daerah itu tetapi hanya 12 pelajar tampil mendaftar di sekolah itu.

"Masalah ini timbul mungkin kerana faktor yuran yang tinggi menyebabkan ada ibu bapa yang tidak berkemampuan membatalkan hasrat untuk menghantar anak mereka ke pusat berkenaan.

"Jika kerana masalah berkenaan, Nasom mohon ibu bapa yang masih belum menghantar anak autisme ke pusat berkenaan tampil dan datang berbincang," katanya.

Monday, July 09, 2007

Derita ibu cacat kini terubat

Harian Metro, 9 julai 2007

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: Derita seorang ibu yang kaki kirinya terpaksa dipotong akibat menghidap penyakit kencing manis sejak dua tahun lalu, terubat apabila menerima kaki kiri palsu, semalam.

“Dengan adanya kaki palsu ini, saya kini boleh bergerak bebas serta tidak perlu lagi duduk di kerusi roda dan akan belajar berjalan menggunakan kaki ini.

“Selama ini, saya hanya bergerak menggunakan kerusi roda sambil dibantu anak, Siti Zaharah Ramli, 18, termasuk ke bilik air,” kata Rogayah Ismail, 47, yang tinggal di Felda Panching Timur di sini, semalam.

Dia yang berasal dari Kuala Pahang, Pekan, berkata dirinya menghidap penyakit kencing manis sejak berusia 24 tahun.


Katanya, sejak menderita penyakit itu, dia terpaksa mengambil keputusan untuk memotong kaki kirinya sejak dua tahun lalu kerana bimbang penyakit itu akan merebak.

Rogayah berkata, sejak kaki kirinya dipotong, kehidupannya bertambah sukar untuk bergerak di dalam rumah dan terpaksa dibantu anaknya termasuk ketika mandi.

Selain kudung, Rogayah yang mempunyai tujuh cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Ramli Ibrahim, 52, juga dikatakan mengalami masalah penglihatan yang kabur.

Rogayah menerima kaki kiri palsu bernilai RM2,200 hasil sumbangan Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Teratai) yang dibeli melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Namun, sejak memakai kaki kiri palsu ini, lutut saya melecet dan luka sedikit mungkin kerana masih tidak biasa bergerak dengan kaki palsu berkenaan,” katanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Panching Datuk Manan Ismail yang menyerahkan kaki kiri palsu berkenaan.

Thursday, July 05, 2007

Tuntut ganti rugi RM11j

Harian Metro, 4 julai 2007

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KUALA LUMPUR: “Kami mahu Asila Latin mendapat hak sewajarnya,” kata ibu saudara kepada bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memfailkan saman RM11 juta terhadap Kementerian Pertahanan dan tiga defendan lain.

Hayati Abdul Rahman berkata, Asila Latin Husna Abdul Basir, 17, kini hanya terbaring dan mengharapkan bantuan keluarga terdekat bagi membolehkannya menjalani kehidupan seharian selepas lumpuh separuh badan.

Sebelum ini, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Dangar, Pasir Mas, Kelantan itu mengikuti PLKN bagi Kumpulan 1 Siri 4/2007 bertempat di Kem Teluk Rubiah, Seri Manjung, Sitiawan, Perak pada 1 Januari lalu.

Ketika menjalani latihan di kem berkenaan, Asila Latin diminta melakukan aktiviti fizikal tekan tubi sebanyak 20 kali sebelum mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang pada 24 Februari lalu.

Asila Latin kemudian memfailkan saman itu melalui bapanya, Abdul Basir Abdul Rahman, selepas dia disahkan lumpuh separuh badan dan saman itu difailkan melalui Tetuan Haniff Khatri di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam.

Dalam writ saman setebal 19 muka surat itu, plaintif menuntut ganti rugi RM11 juta daripada empat defendan akibat kecederaan yang dialami plaintif pertama ketika melakukan tekan tubi atas arahan jurulatih PLKN pada Februari lalu sehingga lumpuh dari pinggang ke bawah.

Manakala bagi plaintif kedua (Abdul Basir) pula, kehilangan hak keibubapaan untuk mempunyai anak perempuan sihat, selamat dan terjaga di bawah pengawasan keempat-empat defendan selepas menyerahkan plaintif pertama menjalani latihan PLKN.

Plaintif menamakan Jurulatih Kem Teluk Rubiah, Fadzilah Jalaluddin sebagai defendan pertama; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil (defendan kedua); Kementerian Pertahanan (defendan ketiga) dan kerajaan Malaysia (defendan keempat).

Plaintif kedua mendakwa anaknya, Asila Husna melaporkan diri dan memulakan latihan di kem itu pada 1 Januari lalu dan dijadualkan tamat pada 11 Mac seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 17 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003.

Dakwanya, Asila Latih mengalami kecederaan ketika berada di bawah arahan serta penyeliaan keempat-empat defendan itu iaitu arahan melakukan senaman pagi pada 23 Februari (tekan tubi sebanyak 20 kali).

Melalui arahan itu, defendan pertama menyuruh plaintif pertama melakukan tekan tubi sebanyak 10 kali pada kali pertama dan sekali lagi mengarahkannya melakukan tekan tubi sama sebanyak 10 kali, tetapi dilakukan dalam kiraan lebih cepat.

Plaintif pertama mendengar bunyi seakan-akan tulang patah dan berasa sakit, tetapi defendan pertama sekali lagi mengeluarkan arahan supaya plaintif pertama dan pelatih lain berdiri serta-merta sebaik tekan tubi terakhir selesai dilakukan.

Plaintif mendakwa kecederaan dialami akibat kecuaian dan kegagalan keempat-empat defendan dalam mengarahkan atau melaksanakan polisi yang menghendaki pemeriksaan kesihatan lengkap dilakukan ke atas setiap pelatih yang terpilih untuk menerima arahan PLKN itu.

Plaintif pula bersedia pada setiap masa mematuhi arahan daripada defendan kedua, ketiga dan keempat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum melaporkan diri di kem terbabit, tetapi defendan berkenaan gagal menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi menentukan keadaan kesihatan plaintif pertama.

Selain itu, semua defendan cuai dalam menyediakan latihan atau senaman fizikal yang sesuai dengan sifat biologi, umur, tahap kesihatan dan kemampuan fizikal setiap pelatih PLKN termasuk plaintif pertama.

Semua defendan juga gagal dan cuai dalam mengedarkan sebarang buku panduan, risalah dan rangka latihan fizikal kepada setiap pelatih termasuk plaintif pertama pada setiap masa material serta memfasilitasi kehadiran jurulatih berkelayakan menguruskan peserta berkenaan.

Peguam plaintif, Mohamad Haniff Khatri Abdullah, berkata selepas writ saman berkenaan difailkan, pihaknya akan menyerahkannya kepada kerajaan bagi membolehkan plaintif membuat permohonan bagi pembayaran interim.

Monday, July 02, 2007

Cacat jadi pendorong

Harian Metro, 1 julai 2007

Oleh FAIZA ZAINUDIN

GEORGETOWN: Kecacatan yang dialami akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 16 tahun dianggap Zafwan Rahimi, 20, sebagai pendorong utamanya untuk cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan.

Anak muda berusia 20 tahun dari Kemaman, Terengganu itu berkata, sebelum kemalangan menimpa dirinya yang membuatkan dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah, dia malas belajar.

“Sebelum berlaku kemalangan, saya malas belajar kerana fikir saya ada kudrat untuk melakukan sebarang kerja yang disukai jika tidak berjaya dalam pelajaran.

“Apabila lumpuh dan hanya menggunakan kerusi roda, baru saya berfikir dan belajar bersungguh-sungguh kerana menyedari kemampuan saya terhad,” katanya pada sidang media pengambilan pelajar baru bagi Sidang Akademik tahun 2007/2008, di Desasiswa Aman Damai, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Prof Madya Omar Osman dan Ketua Penolong Pendaftar (Kemasukan dan Pengambilan Bahagian Pengurusan Akademik) USM, Mazula Sabudin.

Zafwan antara 4,339 pelajar baru yang melapor diri di tiga kampus USM bagi mengikuti Minggu Suaikenal bagi pengambilan Sidang Akademik 2007/2008 bermula semalam hingga 7 Julai ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,065 pelajar mengikuti pengajian di kampus induk di sini; 700 pelajar di kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan baki selebih 574 pelajar di kampus Kesihatan, Kelantan.

Pengambilan itu sangat istimewa kerana turut membabitkan enam pelajar kurang upaya, tiga pasang kembar, seorang pelajar warga emas, 37 pelajar antarabangsa dan 24 pelajar daripada golongan minoriti seperti Orang Asli dan Kadazan.

Pasangan kembar, Faridah Satimen dan adiknya, Fazilah, 20, tidak menyangka mereka ditempatkan di universiti dan kursus sama, meskipun menghantar permohonan berasingan.

Anak kelima dan keenam daripada tujuh beradik berasal dari Kluang, Johor itu, mengikuti pengajian Sarjana Muda Sastera dan Pendidikan.

“Kami tidak kisah berpisah kerana baik untuk berdikari, tetapi tidak sangka pula kami masih bersama di universiti ini dengan kursus dan asrama sama,” kata Faridah yang tua 10 minit daripada Fazilah.

Sementara itu, Omar berkata, sejajar dengan status universiti itu sebagai universiti penyelidikan, pengambilan bagi pelajar sarjana muda dikurangkan sebanyak tujuh peratus bagi memberi tambahan 10 peratus kepada pelajar kursus sarjana.

Katanya, usaha itu dapat membantu melahirkan lebih ramai cendekiawan dalam bidang teras yang ditawarkan universiti berkenaan.

“Universiti ini juga tidak melupakan golongan kurang upaya (OKU) dengan menawarkan pelbagai program untuk mereka.

“Kami juga menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti pengangkutan, asrama yang selesa dengan kemudahan tandas dan bilik khusus untuk mereka, selain kemudahan untuk golongan itu,” katanya.