Tuesday, October 03, 2006

Ng Tin bukti kecekalan pelajar istimewa

Utusan Malaysia, 3 Oktober 2006

NG Tin menjawab kertas peperiksaan PMR Bahasa Melayu 1 dengan menggunakan kaki sambil diperhatikan guru pengawas di SMK Saint Joseph, Miri, semalam.


MIRI 2 Okt. – Pelajar istimewa, Yong Ng Tin, dari Sekolah Menengah St. Joseph Miri adalah antara 38,651 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh Sarawak bermula hari ini hingga 6 Oktober.

Beliau yang cacat kedua-dua belah tangannya sejak lahir terpaksa menggunakan kaki untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Kelancaran menulis jawapan jelas menunjukkan gadis ini begitu mahir menggunakan kelebihannya menulis menggunakan kaki tanpa bantuan sesiapa.

Sebagaimana rakan-rakannya, beliau akan menduduki kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

Beliau juga diberi masa menjawab yang sama dengan rakan-rakannya lain, meskipun terpaksa menduduki peperiksaan beralaskan tikar.

Ng Tin disediakan sebuah bilik khas untuk menduduki peperiksaan dengan diawasi seorang pengawai pemeriksa.

Menurut Pengetua sekolah berkenaan, Marcus Lian, Ng Tin antara pelajar terbaik, rajin serta mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya dalam pelajaran.

‘‘Meskipun dia mengikuti kelas khas, dia tidak pernah menjadikan kekurangannya sebagai halangan untuk menyahut apa sahaja cabaran sama ada dalam kelas mahupun luar kelas.

‘‘Dia antara pelajar yang sering mendapat keputusan yang baik setiap kali peperiksaan diadakan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, sejak belajar di tingkatan satu di sekolah berkenaan, Ng Tin mampu berdikari termasuk menyiapkan semua kerja kursus dan tugasan sekolah.

‘‘Dia diterima baik warga sekolah, begitu juga dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran sekolah dengan selesa,” ujarnya.

Katanya, berbekalkan semangat kentalnya itu Ng Tin turut diterima untuk menduduki peperiksaan umum bersama-sama rakannya yang lain hari ini.

‘‘Dia juga kebanggaan kita di sekolah kerana mampu menggunakan kelebihannya yang orang biasa tidak boleh buat,” katanya.

Monday, October 02, 2006

Ibu uzur bela tiga anak lembam

Berita Harian, 2 oktober 2006


ALOR GAJAH: Usianya semakin dimamah usia dan semakin uzur. Tiga anak lelakinya pula lembam dan terencat akal sehingga mereka empat beranak mengharap ihsan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.

Keperitan hidup Che Mah Dol, 90, dari Kampung Lendu Dalam, di sini mula terdesak sejak 20 tahun lalu selepas kematian suaminya, Abu Wahid yang juga lembam ketika berusia 75 tahun.

Kini tanpa boleh bergerak bebas dan hanya mengesot untuk bergerak berikutan tulangnya belakangnya semakin membongkok, Che Mah yang sebelum ini aktif bercucuk tanam dan menoreh getah, tidak lagi boleh melakukan sebarang kerja berat.

Anak sulungnya, Daud Abu, 54, menghadapi masalah terencat akal dan suka memencilkan diri, manakala anak keduanya, Muhamad, 54, dan Johan, 40, pula lembam. Ketiga-tiganya tidak mendapat sebarang pendidikan, tetapi Muhamad lebih baik berbanding abang dan adiknya.

Walaupun buta huruf, Muhamad masih boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan perindustrian Kelemak dengan upah RM400 sebulan yang digunakan untuk menanggung kehidupan mereka sekeluarga.

Hasil ehsan jiran, sekali-sekala adiknya Johan turut diupah RM5 sehari untuk mencabut rumput dan membersihkan halaman rumah mereka.

Justeru bagi Che Mah, sambutan Aidilfitri tidak banyak memberi erti kepada mereka sekeluarga kerana apa yang mereka makan dan pakai tetap sama.

"Ini kerana kami sekeluarga bergantung sepenuhnya dengan gaji Muhamad sebanyak RM400 untuk terus hidup. Kami tidak mendapat sebarang bantuan kebajikan," katanya.

Keperitan hidup keluarga Che Mah akhirnya sampai ke pengetahuan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusof sehingga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu terpanggil untuk melawat keluarga berkenaan, baru-baru ini.

Beliau turut disertai Pengerusi Wanita Umno cawangan Lendu, Norhayati Yatim; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lendu, Yahya Endut dan tokoh korporat, Datuk Mulop Jantan.

Norhayati berkata, pihaknya sedang mengusahakan supaya keluarga Che Mah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum Aidilfitri serta mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan.

Ketika kunjungan itu, Abu Seman menyampaikan sumbangan peribadi dan berjanji akan membantu keluarga Che Mah menjelang sambutan Aidilfitri. Mulop pula berjanji membantu memperbaiki rumah keluarga Che Mah bagi meningkatkan keselesaan kehidupan keluarga berkenaan.

Sunday, October 01, 2006

Akhirnya Amir bertemu ‘Insp. Aleza’

Utusan Malaysia, 1 oktober 2006

Oleh Norhana Salashar Basharuddin

Tabik... ‘Insp. Aleza’ yang dilakonkan oleh Abby Abadi (kiri) membetulkan tabik hormat Mohd. Amir Mokhtar pada sesi penggambaran drama bersiri Gerak Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Sept. – “Saya rasa gembira dan terharu kerana dapat bertemu dengan Inspektor Aleza,” kata remaja lembam fikiran, Mohd. Amir Mohd. Mokhtar, 23, sambil tersenyum malu.

Impian Mohd. Amir untuk menemui ‘Inspektor Aleza’ yang wataknya dilakonkan oleh Abby Abadi dalam drama bersiri Gerak Khas akhirnya tercapai apabila dia dipertemukan dengan pelakon itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Selain menemui Abby, Mohd. Amir turut dibawa bertemu dengan para pelakon Gerak Khas yang kebetulan berada di situ untuk penggambaran drama Gerak Khas siri Tumpas.

Pada pertemuan itu, remaja tersebut sempat menyanyikan beberapa rangkap lagu Gerak Khas bersama Abby di hadapan pelakon-pelakon lain.

Mohd. Amir turut menerima ‘durian runtuh’ apabila penerbit drama tersebut, Datuk Yusuf Haslam memberikan duit raya sebanyak RM500 kepadanya.

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, Mohd. Amir ditemani bapanya, Mohd. Mokhtar Adam, 54, ibunya, Aminah Juraimi, 54, dan adiknya, Siti Amirah, 18.

Dia turut berpeluang bertemu dengan Yusuf yang bergegas datang sebaik saja mengetahui remaja tersebut sudah menunggunya di situ.

Mohd. Amir yang tiba di ibu negara malam tadi bersama keluarganya memberitahu, dia sangat gembira kerana tidak sangka berpeluang bertemu dengan pelakon-pelakon drama kesukaannya.

Minggu lalu, Mohd. Amir yang mengalami masalah lembam fikiran dikatakan menunggang motosikal sejauh lebih 500 kilometer dari rumahnya di Kampung Tengah, Tualang, Pokok Sena, Kedah ke sini, semata-mata mahu mencari pelakon Gerak Khas.

Dia yang menunggang motosikal Modenas Kriss milik bapanya itu dikatakan keluar rumah dengan membawa beg pakaian dan wang tunai RM800.

Bagaimanapun wang tunai miliknya sebanyak RM350 disamun penagih dadah ketika dia berada di ibu negara.

Dalam pada itu Abby ketika ditemui melahirkan rasa terharu kerana Mohd. Amir benar-benar meminati drama lakonannya sehingga sanggup menunggang motosikal seorang diri ke ibu negara semata-mata mahu mencarinya dan rakan-rakan.

‘‘Saya tidak sangka remaja seperti Amir mempunyai keberanian seperti itu untuk menunggang motosikal seorang diri ke Kuala Lumpur untuk mencari kami.

‘‘Saya sangat menghargainya dan dalam masa yang sama kasihan dengan Amir kerana menjadi mangsa samun ketika itu,’’ ujarnya yang terharu kerana mempunyai peminat setia seperti Mohd. Amir.

Terkejut

Sementara itu Yusuf berkata, dia juga sangat gembira dapat bertemu dengan Mohd. Amir setelah mengetahui kisah remaja itu melalui akhbar Mingguan Malaysia.

‘‘Seperti Abby, saya juga sangat terkejut kerana dia sanggup datang ke sini seorang diri semata-mata mahu berjumpa dengan kami semua.

‘‘Drama Gerak Khas benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap dia sehingga mempunyai keberanian sebegitu,’’ katanya.

Yusuf yang juga Pengarah Urusan Skop Production dalam pertemuan tersebut memberitahu akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga remaja itu serta krew Gerak Khas di Restoran Haslam di sini petang ini.

‘‘Majlis itu nanti akan memberi peluang kepada Amir untuk beramah mesra dan berada dengan lebih dekat bersama pelakon-pelakon Gerak Khas,’’ jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, bapa Mohd. Amir, Mohd. Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana bersungguh-sungguh mempertemukan anaknya dengan pelakon-pelakon Gerak Khas.

‘‘Saya sangat gembira kerana impian Amir untuk bertemu mereka tercapai.

‘‘Terima kasih saya ucapkan kepada Yusuf kerana sudi menanggung semua perbelanjaan kami sepanjang berada di sini termasuk menyediakan tempat penginapan dan pengangkutan.

‘‘Budi mereka akan saya ingat sampai bila-bila,’’ ujarnya.

Ibu tunggal lega dibantu NSTP

Berita Harian, 1 oktober 2006


KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal yang membesarkan empat anak, termasuk seorang anak istimewa, Asnah Omar, 54, dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna apabila menerima sumbangan RM2,500 daripada Tabung Kebajikan New Straits Times Press (NSTP) Berhad, semalam.

Asnah berkata, beliau akan menggunakan wang itu untuk membeli lampin pakai buang anaknya yang cacat anggota, Tengku Nor Mohd Eqzhal Tengku Jalil, 14, serta keperluan harian keluarga.

Sumbangan disampaikan Ketua Biro Terengganu, Zulkofli Jamaludin kepada Asnah, di rumahnya di Jalan Tekukur, di sini.

Turut tinggal bersama Asnah ialah Tengku Mohd Legraf, 17, yang belajar di Tingkatan Lima serta Tengku Nur Mohamad, 21, Tengku Ali Saufi, 23, yang masing-masing tidak bekerja.

Asnah yang bercerai dengan suaminya tahun lalu selepas ditinggalkan tanpa sebarang nafkah lebih lima tahun, kini menerima bantuan RM135 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tengku Nor Mohd Eqzhal pula menerima bantuan bulanan sejak April 2004 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk membeli ubat dan lampin.

“Bagi menyara keluarga saya membuat kuih dan diletakkan

di warung berhampiran rumah serta menjual minyak angin yang dibekalkan seorang rakan.

"Saya tidak boleh tinggalkan Mohd Eqzhal seorang diri kerana dia yang cacat selepas mengalami demam panas memerlukan bantuan dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda," katanya.

Asnah berkata, dia akan menggunakan wang itu untuk membuka gerai dan berharap dapat mencari tapak sesuai bagi mengubah kehidupan keluarganya.

Bekas askar terima kerusi roda

Berita Harian, 1 oktober 2006

GEORGETOWN:
Tujuh ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia Pulau Pinang (PBTMPP) masing-masing menerima wang tunai RM300 dan dua kerusi roda sumbangan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Wong Kam Hoong, di Wisma Perwira Markas 2 Divisyen, Bayan Baru, kelmarin.

Sumbangan itu bersempena Aidilfitri yang akan disambut umat Islam bulan depan.

Tajudin Che Sab dan Ismail Hassan masing-masing menerima wang tunai dan kerusi roda manakala lima menerima sumbangan wang tunai.

Tajudin dan Ismail kehilangan sebelah kaki akibat terkena jerangkap samar ketika menyertai Operasi Selamat Sawadi pada 1978 selama sebulan di Betong, Thailand.

Wong yang juga Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung bekas perajurit terutama yang cedera ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman komunis.

"Kita sebenarnya amat terhutang budi kepada mereka yang berani memperjuangkan kedaulatan negara sehingga Malaysia berada dalam keadaan aman dan harmoni seperti hari ini," katanya.

Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Staf Markas 2 Divisyen, Kolenal Abdul Halim Jalal.

Sementara itu, Tajudin dan Ismail ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana sumbangan yang diberikan kepada mereka dan berharap rakan lain yang senasib dengan mereka mendapat perhatian serta pembelaan yang sewajarnya.

"Saya sangat gembira dan berasa dihargai walaupun sudah lama berhenti berkhidmat dalam angkatan tentera," katanya.