Saturday, September 02, 2006

Bajet wawasan

Utusan Malaysia, 2 september 2006

Oleh: MOHD. ASUKI ABAS

ABDULLAH Ahmad Badawi menunjukkan laporan Bajet 2007 sebelum membentangkannya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membentangkan Bajet 2007 yang menyaksikan kerajaan akan melonjakkan perbelanjaan pembangunan, selain berusaha mengukuhkan modal insan ke arah persediaan menuju status negara maju 2020.

Di masa penekanan itu diberi penumpuan, Perdana Menteri turut mengajak rakyat berwaspada kepada cabaran di hadapan mereka.

‘‘Dalam meniti perjalanan 15 tahun ke hadapan ini, kita akan menghadapi pelbagai dugaan - pelbagai cabaran; kita mungkin memiliki pelbagai kelemahan - pelbagai ketidaksempurnaan.

‘‘Kita juga mungkin melakukan kesilapan,’’ tegasnya ketika membentangkan Bajet 2007 di Dewan Rakyat petang ini.

Dalam hubungan itu, Abdullah turut mengingatkan mengenai soal perpaduan antara kaum yang menjadi tunjang kepada kejayaan negara ini.

Katanya, kejayaan pelaksanaan Bajet 2007 itu turut bergantung kepada kesungguhan rakyat, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, untuk menjayakan langkah-langkah yang digariskan di dalamnya.

Oleh itu, ketika membentangkan bajet yang bertema ‘Melaksanakan Misi Nasional Ke Arah Mencapai Wawasan Negara’ itu, Abdullah menyeru: ‘‘Marilah kita bersama bertekad dan berusaha dengan lebih gigih, tekun dan jujur untuk membina sebuah negara maju menjelang 2020.’’

Bajet 2007 ini memperuntukkan dana sebanyak RM159.4 bilion, meningkat berbanding RM136.8 bilion tahun ini.

Ini adalah belanjawan pertama selepas pembentangan RMK-9, Mac lalu. Ia juga merupakan pembentangan ketiga Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada akhir 2003.

Mengenai bajet itu, Abdullah berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar kewangan berkembang bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Ia bagi memastikan negara memenuhi sasaran Misi Nasional yang diperkenalkan dalam RMK-9.

Selaras dengan matlamat RMK-9 juga, bajet itu menjadikan lima teras Misi Nasional sebagai asas perancangan agihan perbelanjaan pada tahun depan.

Bajet kali ini turut memperlihatkan banyak penghargaan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam, seperti bonus, imbuhan tetap perkhidmatan awam serta pemanjangan faedah bantuan kos sara hidup (Cola).

Kerajaan juga memansuhkan yuran peperiksaan bagi UPSR, PMR, SPM dan STPM di semua sekolah kerajaan mulai tahun depan untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 5.5 juta murid di negara ini.

Dalam usaha membangunkan modal insan,

Abdullah mengumumkan, daripada peruntukan RM33.4 bilion, RM6.7 bilion disalurkan kepada pendidikan rendah, pendidikan menengah (RM6.2 bilion), pengajian tinggi (RM10.4 bilion) dan program latihan (RM10.1 bilion).

“Melalui peruntukan tersebut, ia akan memudahkan usaha membangunkan modal insan yang selama ini menjadi prasyarat penting memacu pertumbuhan rantaian ekonomi dengan berpaksikan pengetahuan serta teknologi,” katanya.

Bajet itu turut dianggap sebagai mesra perniagaan berikutan keputusan menurunkan cukai korporat sebanyak dua peratus secara berperingkat, kepada 27 peratus tahun depan dan 26 peratus pada 2008.

Kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai sebanyak RM2 bilion melalui pengurangan tersebut.

Abdullah berkata, Bajet 2007 merupakan satu agenda tindakan untuk memacu pelaksanaan Misi Nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

“Prospek ekonomi global bagi 2007 dijangka lebih sederhana disebabkan kesan harga minyak yang kekal tinggi, tekanan inflasi, peningkatan kadar faedah dan ketegangan geopolitik (jadi) ia sudah tentu akan mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi negara.

“Oleh itu, dalam Bajet 2007, kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal berkembang di samping langkah untuk merancakkan lagi kegiatan sektor swasta,” katanya.

Menurutnya, antara teras utama Misi Nasional ialah membolehkan sektor swasta menerajui semula pembangunan ekonomi negara serta menggiatkan penjanaan sumber pertumbuhan baru.

“Perubahan berterusan ke arah ekonomi berpaksikan teknologi dan pengetahuan menuntut kepada tenaga kerja mahir yang berkeupayaan, sesuai dengan keperluan industri.

“Oleh itu langkah akan diambil bagi meningkatkan lagi akses kepada sistem pendidikan dan latihan berkualiti di semua peringkat,” katanya.

Kadar defisit bagi 2007 diunjurkan terus mengecil kepada 3.4 peratus berbanding 3.5 peratus tahun ini, memberikan kebebasan kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan.

Ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar enam peratus tahun depan daripada unjuran 5.8 peratus tahun ini.

Menurut Abdullah, daripada jumlah dana yang diperuntukkan tahun ini, sebanyak RM112.9 bilion adalah bagi peruntukan mengurus, meningkat sebanyak 11.6 peratus dan RM46.5 bilion disediakan bagi peruntukan pembangunan, bertambah ketara sebanyak 31 peratus,” katanya.

Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM134.8 bilion dan hampir 40 peratus daripadanya merupakan hasil berkaitan petroleum, terutamanya dividen daripada Petronas.

“Peningkatan ketara ini membolehkan kerajaan terus melaksanakan dasar fiskal mengembang bagi menyokong kegiatan ekonomi (tetapi pada masa yang sama) mengurangkan lagi defisit belanjawan,” kata Perdana Menteri.

Bagi peruntukan pembangunan, jumlah terbesar sebanyak RM20.8 bilion disediakan kepada sektor ekonomi termasuk pertanian, perindustrian dan infrastruktur.

Sebanyak RM14.2 bilion pula diperuntukkan kepada sektor sosial yang merangkumi pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Sektor keselamatan pula menerima RM6.8 bilion, pentadbiran sebanyak RM2.7 bilion dan simpanan luar jangka RM2 bilion.

*Perbelanjaan

Bagi memantapkan sistem pendidikan dan latihan, sejumlah RM33.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, mewakili 21 peratus keseluruhan Bajet 2007.

Sebanyak 22 buah sekolah menengah dan rendah baru akan mula beroperasi, manakala 108 buah lagi akan dibina tahun depan.

Bagi memperkasakan sekolah kebangsaan pula, Bahasa Cina dan Tamil akan diajar sebagai mata pelajaran penuh, masing-masing di 150 dan 70 sekolah kebangsaan di seluruh negara.

Kadar bantuan bagi murid keluarga miskin di sekolah rendah pula dinaikkan kepada RM50 sebulan daripada RM30 manakala biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar sekolah rendah ditingkatkan kepada RM70 berbanding RM50.

Kanak-kanak kurang upaya juga tidak ketinggalan dengan elaun mereka di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti dinaikkan kepada RM50 sebulan berbanding RM25 sebulan sekarang.

Sebagai penggalak pemilikan komputer, tempoh layak menuntut galakan cukai bagi pembelian komputer dipendekkan kepada setiap tiga tahun daripada lima tahun.

Jumlah rebat cukai bagi pembelian komputer sebanyak RM500 pula diubah kepada pelepasan cukai RM3,000.

Selaras matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, kerajaan turut memberikan pengecualian cukai pendapatan kepada semua institusi perbankan Islam dan takaful yang menjalankan aktiviti dalam mata wang asing.

Bagaimanapun, kerajaan turut menekankan keperluan syarikat korporat terutamanya syarikat senaraian awam untuk menzahirkan pencapaian tanggungjawab sosialnya kepada umum.

Ia termasuk penyediaan peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan dan bumiputera serta komposisi pekerja syarikat berdasarkan kaum.

Selaras dengan penekanan gaya hidup sihat, duti eksais spesifik bagi rokok dinaikkan sebanyak satu sen sebatang.

Bagi minuman keras yang memiliki kandungan alkohol lebih 40 peratus pula, duti eksais spesifiknya dinaikkan sebanyak RM5 seliter.

SMA penyakit genetik kepupusan otot tulang

Berita Harian, 2 September 2006

Retinopati diabetik boleh sebabkan buta

Berita Harian, 2 September 2006

Oleh Hafizah Iszahanid


WALAUPUN ada lebih sejuta penghidap diabetes di Malaysia, kesedaran kepada masalah penglihatan yang dinamakan retinopati diabetek masih kurang.

Apa yang membimbangkan, penyakit ini tiada simptom dan kebanyakan pesakit hanya menyedari mereka berhadapan dengan retinopati diabetek pada peringkat kronik.

Retinopati diabetik mampu menyebabkan kebutaan. Jika dapat dirawat sekalipun, ia tidak berupaya mengembalikan semula penglihatan pesakit pada sifat asalnya.

Pakar Perunding Ophtalmologist Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Rozita Ahmad, berkata retinopati diabetik berlaku kerana kerosakan pada lapisan retina. Diabetes akan merosakkan salur darah di retina dengan dua cara; menyumbat atau melemahkan dinding saluran darah dan menyebabkan kebocoran pada dinding saluran darah.

“Ada tiga peringkat retinopati diabetik. Pada peringkat akhir, retinopati diabetik proliferatif, kemunculan salur darah baru tidak normal terjadi pada permukaan retina yang menyebabkan pendarahan dan pembentukan membran yang akhirnya menyebabkan retina lekang. Saluran darah boleh juga berlaku pada permukaan iris. Selain pendarahan ia turut menyebabkan glaukoma yang teruk, sakit dan lama kelamaan pesakit boleh menjadi buta,” katanya.

Retinopati diabetik tiada simptom dan tidak berasa sakit kerana itu kebanyakan pesakit yang menyedari mereka berhadapan dengan diabetik retinopati pada peringkat yang sudah kronik.

Jika bernasib baik dan jika pesakit peka, pesakit akan mendapati penglihatannya terjejas dan walaupun cuba membuat cermin mata, ia tidak mampu memberi penglihatan yang jelas.

“Ketika itu penglihatan yang kabur menyebabkan mereka susah untuk membaca dan memandu. Mereka boleh mengalami kehilangan penglihatan secara keseluruhan atau sebahagian. Mungkin dia boleh melihat dengan baik di bahagian tepi berbanding di bahagian tengah ruang pandang misalnya. Jadi dia susah untuk melihat bahagian tengah muka seseorang,” katanya.

Penglihatan yang terjejas itu terjadi disebabkan pembentukan saluran darah baru yang tidak normal dan menyebabkan pendarahan dalam mata. Peringkat awalnya, pendarahan itu mungkin tidak begitu teruk tetapi ia akan menjadi semakin buruk dalam tempoh beberapa hari atau minggu saja.

Ketika itu pesakit akan melihat titik-titik hitam atau bayangan yang lebih besar terapung dan mengganggu penglihatan mereka. Lebih banyak pendarahan berlaku lebih teruk penglihatan terjejas. Bagi kes yang lebih teruk, pesakit hanya boleh melihat cahaya dalam keadaan gelap saja.

Pendarahan di dalam gelamaca mengambil masa beberapa bulan atau tahun untuk hilang, Dalam sesetengah kes, pendarahan berlaku berulang kali dan darah tidak akan hilang sepenuhnya. Senario ini akan terjadi biasanya kepada pesakit yang menjalani haemodialisis dan pendarahan biasanya berlaku ketika tidur.

Pada ketika itu pesakit mungkin merujuk doktor dan dari situlah imbasan dibuat. Kerana itu sangat penting untuk pesakit diabetes membuat pemeriksaan mata setahun sekali.

“Pesakit diabetes tidak mengira had umur. Jika mereka mendapat diabetes dalam usia muda, kebarangkalian menjadi buta disebabkan retinopati diabetik sangat tinggi,” katanya.

Setiap pesakit diabetes sama ada diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua termasuk diabetes ketika kehamilan berisiko terhadap retinopati diabetik. Semakin lama tempoh pesakit ‘menyimpan’ penyakit ini, semakin tinggi risiko berhadapan dengan retinopati diabetik. Malah ia boleh berlaku lebih awal pada lebih kronik kepada mereka yang berhadapan dengan diabetes ketika hamil.

Untuk itu, pemeriksaan mata yang disarankan untuk pesakit diabetes berusia 0-30 tahun, lima tahun sekali selepas didiagnos dan setahun sekali untuk pemeriksaan susulan, 31 tahun dan ke atas pula sebaik saja didiagnos dan rawatan susulan setahun sekali. Untuk wanita hamil yang berhadapan dengan diates pemeriksaan mata harus dibuat pada fasa awal kehamilan dan rawatan susulan setiap tiga bulan.

Selain pemeriksaan mata setahun sekali, pesakit diabetes boleh memantau kesihatan mata mereka dengan mengawal diabetes.

Pengawalan paras gula dalam badan anda akan melambatkan kemunculan retinopati diabetik. Sebagai penyakit yang dikenali sebagai ‘ibu segala penyakit’ pengawalan paras gula membantu anda bukan saja untuk kurang mendapat komplikasi mata tetapi juga komplikasi lain yang membabitkan buah pinggang dan sistem saraf. Pengawalan paras gula membabitkan disiplin yang tinggi tetapi tidak mustahil.


Tiga jenis retinopati diabetik


1) Retinopati diabetik tanpa proliferatif - Peringkat awal retinopati diabetik. Begitupun, pendarahan, pengumpulan lemak dan pembengkakan retina boleh berlaku. Penglihatan tidak terjejas dan rawatan tidak diperlukan kecuali jika ia membabitkan bahagian makula (bahagian retina yang paling sensitif dan bertanggungjawab memberikan penglihatan yang halus dan berwarna)

2) Makulapoti diabetik - Apabila makula terjejas disebabkan pembengkakan retina, pendarahan atau pengumpulan lemak, penglihatan akan terjejas. Makulapoti diabetik adalah penyebab utama kebutaan pada pesakit diabetes. Rawatan laser perlu pada tahap ini dan jika rawatan diberikan pada waktu yang tepat boleh menstabilkan penglihatan yang terjejas dan memulihkannya.

3) Retinopati diabetik proliferatif - Peringkat akhir retinopati diabetik. Ketika ini terdapat pembentukan saluran darah yang baru dan tidak normal serta tisu serat yang boleh menarik permukaan retina. Pendarahan dalam gelamaca (vitreous) kerap berlaku mengakibatkan kehilangan penglihatan. Rawatan laser perlu diberi secepat mungkin jika tidak retina mungkin lekang dan penglihatan menjadi teruk walaupun selepas pembedahan. Jika rawatan tidak diberikan langsung, kerosakan di lapisan retina akan kekal dan tidak akan dapat dipulihkan.

INFO

a) Apa yang dimaksudkan dengan penyumbatan saluran darah? Saluran darah yang tersumbat menyebabkan kekurangan bekalan oksigen ke lapisan retina. Ini menyebabkan terbentuknya saluran-saluran darah baru tetapi tidak normal (retinopati diabetik proliferati). Saluran darah yang tidak normal ini amat rapuh, mudah mengalami kebocoran dan pendarahan ke dalam gelamaca boleh berlaku. Apabila proliferati menjadi lebih teruk, tisu serat dan parut terbentuk. Tisu parut ini boleh menarik permukaan retina yang menyebabkan ia lekang.

b) Kebocoran saluran darah - Dinding saluran darah menjadi lemah disebabkan diabetes. Akibatnya dinding saluran darah mengembang dan menyebabkan kebocoran. Cecair akan berkumpul di lapisan retina menyebabkan pembengkakan retina. Pendarahan dan pengumpulan lemak juga boleh berlaku di situ dan menyebabkan ia gagal berfungsi dan menjejaskan penglihatan.

Friday, September 01, 2006

Merdeka Di Mataku keluhan Dib

Berita Harian, 1 september 2006


"Kasih... Hanya bulan dan bintang, yang menyinari hidupku, kerdipan cahaya bermain di mata. Kembalikan nur yang luput dari pandangan. Kasih di manakah dikau?" Demikian luahan keresahan, keperitan, kepayahan dan kekecewaan.

Semua gumpalan perasaan yang menghuni sudut hatinya diterjemahkan menerusi gerak geri tari di lantai dalam persembahan 90 minit, Merdeka Di Mataku yang di Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLPac), baru-baru ini.

Merdeka Di Mataku adalah interpretasi nama yang tidak asing lagi dalam dunia penyiaran itu dalam mengejar keadilan, kesamarataan, kemerdekaan dan ketenangan sejak tergolong dalam kelompok Orang Kurang Upaya (OKU).

Bukan simpati yang ingin dicari, tidak juga dia berniat untuk mencuit perasaan dengan kekurangan yang ada pada dirinya sebaliknya, Ras Adiba atau Dib mahu OKU sepertinya mendapat keadilan sama seperti mereka yang sempurna. Sejak berkerusi roda, kesan kemalangan pada 1999 dan kemudian pada 2002, dia terjatuh ketika cuba mengambil barang menyebabkan tulangnya patah serta urat saraf putus, Dib turut berdepan peristiwa menjeruk rasa.

Dalam persembahan itu, Dib juga membawa penonton menyelami dunia sebenar hidup OKU yang ada kalanya dalam diskriminasi dan dianaktirikan.

“Pernah saya menahan teksi tetapi pemandunya menolak untuk mengambil kerana saya berkerusi roda. Bagaimanapun, akhirnya dia bersetuju tetapi menghempaskan pintu selepas memasukkan kerusi roda saya ke dalam but. Ketika itu saya sedar, ramai lagi manusia lain yang kurang upaya dan bukan saya,” katanya.

Sepanjang 90 minit itu, Dib meluahkan rasa, berkongsi pengalaman pahit getir, namun hatinya tewas tatkala dia mendeklamasikan puisi berjudul, Mungkinkah. Air mata berguguran saat berkongsi pengalaman.

“Hampir 80 peratus teman menjauhkan diri apabila saya disahkan berdepan dengan paraplegik atau lumpuh separuh badan. Mereka terus menjauh dan tiada seorang pun yang datang kembali. Tidak mengapa kerana hari ini saya ditemani kawan baru yang lebih memahami,” katanya dalam sebak lalu air mata mengalir lagi.

Bicara Dib malam itu sarat dengan bunga harapan lewat lagu dan puisi pilihannya seperti Kekasih, Sesekali, Kasih, Bayangkan, Kalau Takku Bawa Namamu serta puisi Jerman, Red Roses.

“Bunga mawar merah akan sentiasa menghujani diriku, segala keajaiban akan menyelubungi diriku, keseronokan akan berubah dengan indah dan aku akan ditakdirkan dengan cinta sejati”. - Antara petikan catatan lewat puisi disampaikan dengan bantuan teman Dib.

Merdeka Di Mataku membuka minda dan penglihatan tetamu akan keupayaan seorang yang dikenali sebagai OKU dan Dib membuktikannya.

Pendidikan khas agenda utama

Berita Harian, 1 September 2006

Oleh Hardi Effendi Yaacob


KUCHING: Kementerian Pelajaran menjadikan pendidikan khas antara agenda utama pembangunan pendidikan dengan peruntukan RM440 juta sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berbanding hanya RM25 juta yang disediakan dalam RMK-8.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata peruntukan besar itu membuktikan komitmen kerajaan membangunkan bidang pendidikan khas terutama menaik taraf sekolah berkenaan.

"Ini termasuk menyediakan makmal komputer. Kita mahu mewujudkan komuniti bestari di kalangan pelajar istimewa ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Bantuan) Kuching, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar; Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Adi Badiozzaman Tuah dan Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Rabiah Johari.

Hishammuddin berkata, semua projek pembangunan yang dirancangkan akan dilaksanakan segera supaya jurang antara sekolah pendidikan khas dan sekolah biasa dapat dirapatkan.

“Kita akan pastikan setiap sekolah pendidikan khas akan mempunyai kemudahan dan kelengkapan seperti sekolah biasa," katanya.

Bagaimanapun beliau mengaku kementerian berhadapan kekurangan guru bagi menampung keperluan 20,000 pelajar istimewa di sekolah pendidikan khas.

"Bilangan guru pendidikan khas yang memerlukan kemahiran tertentu masih belum mencukupi. Justeru tahun depan, kementerian memperuntukkan kira-kira RM21 juta bagi melatih lebih ramai guru pendidikan khas dengan sasaran 7,000 guru pendidikan khas sebaik RMK-9 berakhir," katanya yang mencadangkan guru yang belum diberikan tempat, menyertai sektor pendidikan khas.

"Kita memang ada bayar elaun khas untuk guru kategori ini, tapi itu bukan soal utama. Yang penting, saya mahu tengok berapa ramai guru kita yang komited dan sanggup berkorban mengajar anak-anak istimewa ini," katanya.

Pada masa sama, beliau membidas sikap segelintir ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab dan menganggap anak istimewa masing-masing sebagai membebankan.

"Ini cukup mengecewakan saya... ini perbuatan tidak bertanggungjawab. Ibu bapa tidak sepatutnya bersikap sebegini sebab anak-anak ini zuriat mereka juga, yang memerlukan perhatian mereka.

"Mereka hantar anak istimewa ini ke sekolah khas dan hanya harap kita jaga mereka tetapi mahu tengok anak sekali sebulan pun susah. Ini tiada tanggungjawab namanya," katanya.

Beliau berkata, dalam keghairahan negara mengejar status negara maju menjelang 2020, anak istimewa ini tidak boleh diabaikan.

“Pada saya, negara kita belum lagi maju jika golongan ini terus dipinggirkan. Kita ada 15 tahun untuk mengubah keadaan ini," katanya.