Friday, August 11, 2006

Edisi Utara: OKU dapat elektrik

Harian Metro, 11 ogos 2006

Oleh Rosman Shamsudin

SUNGKAI: Penderitaan Orang Kurang Upaya (OKU), Hasanudin Abdul Malek, 39, dan keluarganya di Kampung Perlok Lama, di sini, yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu berakhir selepas mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Datuk KRA Naidu, semalam.

Selama ini, Hasanudin dan isterinya, Nurizan Buyung, 42, terpaksa membesarkan lima anak mereka, Nurul Ain, 14; Mohd Nur Hafiz, 12; Nurul Aina, 10; Nurul Aini, 9, dan Mohd Lokman Nur Hakim, 7, menggunakan pelita minyak untuk menerangi rumah mereka.

Pendapatan kira-kira RM200 sebulan hasil jualan sayur-sayuran kampung dan menoreh getah menyebabkannya tidak mampu mendapatkan bekalan berkenaan.

Walaupun hidup dalam kegelapan, namun anak sulungnya, Nurul Ain, bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perlok berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperoleh 5A dan kini belajar di Sekolah Menengah Khas (SMK) Gunung Rapat, Ipoh.

Hasanudin berkata, sebelum ini mereka sekeluarga hidup hanya berteman pelita minyak dan anaknya terpaksa mengulangkaji pelajaran di dalam suasana yang kurang selesa disebabkan kesempitan hidup.

“Pendapatan yang saya dapat setiap hari hanya cukup menampung keperluan hidup seharian saja dan untuk mendapatkan bekalan elektrik memang saya tidak mampu sehingga mendapat perhatian Adun Behrang dan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tanjung Malim,” katanya.

Pendawaian elektrik rumah dibiayai Pemuda Umno bahagian dan sumbangan Adun Behrang pula bagi menyediakan tiga batang tiang elektrik untuk menyalurkan bekalan elektrik ke rumah serta bayaran deposit kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Saya bersyukur kerana penderitaan kami mendapat perhatian daripada kedua-dua pihak dan mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Hasanudin berkata, dia kini juga terpaksa berjimat untuk perbelanjaan berulang-alik mendapatkan rawatan anaknya, Mohd Lokman Nur Hakim yang sejak lahir mengalami masalah jantung di Hospital Teluk Intan.

Budak perlu RM50,000 rawat sakit jantung

Berita Harian, 11 ogos 2006

GEORGETOWN: Seorang bayi perempuan berusia lima minggu yang menghidap penyakit jantung, memerlukan antara RM40,000 dan RM50,000 bagi membiaya pembedahan dan rawatannya di Pusat Perubatan Gleneagles di sini.


Nurul Ain Syuhada Mohd Yusri dalam keadaan kritikal, perlu menjalani pembedahan secepat mungkin.

Bapanya, Mohd Yusri Saleh, 23, seorang pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM800, manakala ibunya, Sharifah Yahya, 22, seorang suri rumah, tidak mampu membiaya kos pembedahan dan rawatan. Bayi itu anak sulung pasangan berkenaan.

Pasangan dari Air Itam, Kedah itu kini mengharapkan keprihatinan orang ramai bagi menyelamatkan nyawa anak mereka yang kritikal itu.

"Sebagai bapa, harapan saya mahu melihat anak sihat dan ceria seperti kanak-kanak lain," kata Mohd Yusri di hospital berkenaan semalam.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghantar cek atau wang pos kepada Tabung Kebajikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur, dengan menulis nama penerima di belakang cek.

ANEH...

Utusan Malaysia, 11 ogos 2006


SYAFITRI menerima perhatian rapi di sebuah hospital di Jakarta semalam. – Reuters.

Dunia dikejutkan dengan kelahiran bayi-bayi kembar Siam yang bercantum pada pelbagai bahagian badan.

Di Jakarta, Indonesia, seorang ibu melahirkan bayi berkepala dua di sebuah hospital, Isnin lalu. Bayi perempuan itu yang beratnya kira-kira 3.95 kilogram dan 45 sentimeter tinggi diberi nama Syafitri.

Kedua-dua ibu dan bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat.

Pegawai-pegawai perubatan percaya Syafitri merupakan bayi pertama lahir dengan dua kepala di negara itu.

Thursday, August 10, 2006

JKM wujudkan PDK di Felda, pedalaman

Berita Harian 10 ogos 2006

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan mewujudkan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di kawasan Felda dan pedalaman bagi membantu golongan tidak bernasib baik.


Pengarah JKM negeri, Adnan Abu Bakar, berkata program itu penting kerana masih ramai tidak mengetahui fungsi PDK serta jabatan sehingga mengabaikan kepentingan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, keadaan itu menyebabkan keluarga yang mempunyai anak sindrom down tidak berdaftar dan membiarkan anak mereka di rumah sehingga golongan OKU tidak mampu berdikari.

Beliau berkata, kebanyakan keluarga terbabit memberikan alasan malu dan mengalami masalah kewangan untuk menempatkan anak mereka di pusat jagaan yang sepatutnya sehingga anak mereka tidak mendapat pendidikan sewajarnya.

"Ibu bapa sepatutnya lebih prihatin dengan tekanan yang dihadapi golongan itu dan mementingkan pendidikan mereka supaya tidak ketinggalan walaupun tidak memiliki keupayaan seperti manusia normal.

"Jika golongan itu ditempatkan di pusat jagaan berkenaan atau didaftarkan di JKM, sekurang-kurangnya mereka mendapat layanan terbaik dan menyertai aktiviti sesuai dengan perkembangan fizikal serta mental mereka," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Adnan berkata, jabatan berusaha mengatasi masalah itu dan mendaftarkan kanak-kanak OKU terutama di kawasan pedalaman.

Friday, August 04, 2006

Nenek lumpuh perlu kerusi roda

Berita Harian, 4 ogos 2006


SEGAMAT: Seorang warga emas, Amah Boman, 88, memerlukan bantuan kerusi roda daripada orang ramai untuk memudahkannya bergerak selepas diserang penyakit lumpuh, kira-kira lapan bulan lalu.


Amah yang juga seorang ibu tunggal terpaksa dipapah setiap kali ke bilik air berikutan tidak mampu berjalan selain menghabiskan banyak masa berbaring di katil.

Cucunya, Azhar Hood, 30, berkata Amah sebelum ini masih mampu berjalan-jalan walaupun tidak berapa kuat, tetapi boleh menjahit pakaian menggunakan tangan kerana penglihatannya masih baik.

"Bagaimanapun, dia hanya mampu mengesot sejak lapan bulan lalu selepas diserang lumpuh dan mengalami radang paru-paru sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di nombor 14 Kampung Sermin Satu, Segamat baru baru ini.

Sehubungan itu, Azhar berkata, neneknya memerlukan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak selain memerlukan peruntukan membeli lampin pakai buang.

Beliau berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan tidak cukup untuk membeli lampin pakai buang atau untuk kerusi roda.

Orang ramai yang simpati dengan nasib yang menimpa Amah yang memerlukan bantuan kerusi roda dan lampin pakai buang boleh menghubungi Azhar di talian 013-7984828. atau datang ke No 14 Kampung Sermin Satu, 85000, Segamat.