Wednesday, August 02, 2006

Mohd. Hakim Hakimi terima sumbangan YBKMM


Utusan Malaysia, 2 ogos 2006

Oleh MANZAIDI MOHD AMIN

KOTA BHARU 1 Ogos – Penderitaan Mohd. Hakim Hakimi Mohd. Shukri, 12, yang menghidap penyakit neuro fibromotosis mendapat perhatian Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBK MM) yang menyampaikan sumbangan RM1,187 hari ini.

Sumbangan para penderma sempena majlis makan malam anjuran yayasan itu di sini baru-baru ini bagi mengisi dana kebajikan disampaikan oleh Pengarah YBKMM, Noraini Yusof kepada Mohd. Hakimi di rumahnya di Kampung Tanjung Chat di sini.

Menurut Noraini, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa keluarga Norma Mahmood, 48, yang juga menghidap penyakit itu dan turut diwarisi oleh seorang lagi anaknya, Mohd. Azam Hidayat, 14.

Katanya, sumbangan itu adalah untuk perbelanjaan harian dan pengangkutan mereka kerana terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan pengimejan.

‘‘Setelah membaca kisah penderitaan Mohd. Hakim Hakimi dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, yayasan bersetuju menggunakan wang tabung yang dikumpul untuk membantunya.

‘‘Kita berharap dapat meringankan sedikit beban keluarga ibu tunggal itu yang bergantung kehidupan dengan bantuan RM80 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat terutama bagi menampung keperluan harian,’’ ujarnya.

Masalah

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Mohd. Hakim Hakimi dilahirkan dengan masalah air dalam kepala dan akibat penyakit yang semakin serius itu menyebabkannya hilang penglihatan sebelah mata malah wajahnya juga cacat.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya berpeluang belajar selama enam bulan sahaja kerana terpaksa menjalani pelbagai pembedahan bagi mengurangkan masalah penyakitnya.

Norma berkata, kepedihan hidupnya semakin sukar digambarkan apabila seorang lagi anaknya, Mohd Azam dikesan mempunyai ketumbuhan dalam otak dan keadaannya juga membimbangkan.

‘‘Dalam seminggu, dua atau tiga hari Mohd. Azam tidak dapat hadir ke sekolah kerana mengalami sakit kepala yang teruk.

‘‘Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa mendapatkan ubat penahan sakit di Klinik Penambang bagi memastikan keadaannya stabil,’’ ujarnya yang ditinggalkan suami ketika mengandungkan Mohd. Hakim Hakimi.

Katanya, cuma anak sulungnya, Mohd. Khairil Muizuddin, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab II tidak menunjukkan sebarang tanda mewarisi penyakit itu.

Cacat tidak belenggu hidup Adila

Utusan Malaysia, 2 ogos 2006

ALOR STAR 1 Ogos - Biarpun terpaksa mengharungi alam kanak-kanak yang berbeza berikutan kecacatan fizikal, Nur Adila Rozali, 8, tetap ceria dan riang seolah-olah tiada masalah yang membelenggu perjalanan hidupnya.

Kanak-kanak istimewa setinggi 0.6 meter itu dilahirkan serba kekurangan dengan kedua-dua belah tangannya kudung dari paras lengan sementara bahagian kakinya juga tidak sempurna dan hanya mengharapkan kekuatan betis serta telapak kaki yang juga cacat.

Melihatnya, terbayang kepayahan yang terpaksa diharungi kanak-kanak tersebut terutama untuk bergerak ke sekolah setiap hari, namun anak kedua daripada tiga beradik itu dapat menyesuaikan diri dengan kekurangan tersebut.

Malah pelajar tahun dua, Sekolah Rendah Kebangsaan Pusat Merbok dekat sini itu sentiasa membina harapan untuk belajar bersama kanak-kanak normal lain dan tidak meletakkan kecacatannya sebagai alasan untuk melemahkan semangatnya dalam menimba ilmu.

Meskipun menggunakan kaki yang hanya mempunyai dua jari untuk menulis dan melakukan hobi kegemarannya iaitu melukis dan mewarna, Nur Adila berjaya membuktikan bahawa kekurangan yang ada bukan penghalang untuknya bersama-sama berjalan seiring dengan pelajar lain dalam pelajaran.

Menurut ibunya, Hasnah Zakaria, 37, Nur Adila mula menyuarakan keinginan untuk belajar bersama kanak-kanak normal ketika usianya lima tahun kerana sering melihat keriangan kanak-kanak seusianya di sebuah tadika bersebelahan pusat pendidikan dalam komuniti (PDK), Merbok yang disertainya.

‘‘Saya telah mula menghantar Nur Adila ke PDK sejak usianya 6 bulan lagi atas nasihat doktor dan apabila dia mula bertanya, kenapa dia tidak boleh pergi ke sekolah biasa, kami cuba berusaha untuk memenuhi impiannya itu dengan merancang menghantarnya ke tadika biasa.

‘‘Tetapi semua tadika tidak berani mengambil Nur Adila sebab kecacatannya, sehinggalah pihak PDK cuba membantu dengan berbincang dengan sekolah untuk memasukkan anak saya ke prasekolah di situ,’’ katanya ketika ditemui pada majlis Karnival Kokurikulum Anak-Anak Peringkat Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti di sini, hari ini.

Majlis anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah dan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah Kota Setar dihadiri lebih 300 kanak-kanak termasuk OKU dan disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Menurut Hasnah, pihak sekolah telah memberi kerjasama dengan mengubahsuai persekitaran sekolah termasuk membina laluan dan tandas khas untuk kemudahan Nur Adila.

‘‘Saya tidak minta anak saya diberikan layanan istimewa daripada guru atau pelajar lain, cuma mereka perlu memahami keadaannya dan saya sendiri sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menyediakan set meja dan kerusi khas yang lebih rendah untuk memudahkan Nur Adila menulis dan belajar ketika di sekolah,’’ ujarnya.

Sementara itu, pekerja PDK, Nurliza Akhir berkata, Nur Adila dihantar ke sekolah biasa kerana dia mempunyai tahap Kecerdasan Intelektual (IQ) yang tinggi berbanding kanak-kanak istimewa yang lain.

Jelasnya, Nur Adila perlu dihantar ke sekolah biasa memandangkan PDK adalah untuk pemulihan, sedangkan kanak-kanak itu perlu lebih daripada itu terutama dari segi pelajaran dan kemahiran sosial.

OKU jangan terlalu bergantung bantuan kerajaan

Harakahdaily, 2 ogos 2006

Wed | Aug 02, 06 | 07:22:47 PM
Oleh Rizal Tahir

KOTA BHARU, 2 Ogos (Hrkh) - Golongan orang kurang upaya (OKU) diingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada sumbangan daripada kerajaan atau mana-mana pihak tanpa berusaha sendiri bagi menjalani kehidupan seharian.

Anggota Exco, Dato' Haji Husam Musa berkata, biar pun banyak dana disediakan kepada OKU, namun mereka perlu berusaha selagi terdaya.

Beliau yang juga Adun Kijang berkata, banyak kerja yang boleh dilakukan golongan OKU bagi meringankan bebanan kehidupan mereka.

"Misalnya pejuang Hizbullah di Lubnan walaupun mereka bukan OKU tetapi kita boleh mengambil pengajaran kerana mereka tetap melawan musuh dengan segala kekurangan yang ada," katanya pada majlis penyampaian sumbangan Tabung OKU kepada 16 penduduk kurang upaya dari Dun Kijang di Kota Darul Naim, petang semalam.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan negeri tetap mengambil berat masalah penduduk miskin termasuk golongan OKU dengan menyediakan bantuan untuk meringankan bebanan dihadapi mereka, biar pun peruntukan kewangan tidak banyak.

Pada majlis itu setiap OKU menerima di antara RM300 hingga RM1,000. Turut hadir Pegawai Khas Exco, Abdul Razak Ghani dan Pengerusi Kelab Kijang Muda, Wan Zainal Alam.


Tuesday, August 01, 2006

Kanak-kanak Tasputra Perkim dirai

Utusan Malaysia, 1 ogos 2006

NASIB golongan kurang bernasib baik, miskin dan kurang upaya di negara ini sering diberi perhatian. Sikap prihatin sebahagian besar rakyat Malaysia secara tidak langsung memberi peluang golongan ini untuk sama-sama menikmati kehidupan dengan lebih baik.

Baru-baru ini kanak-kanak Tasputra Perkim menerima kunjungan pengurusan Hotel Renaissance dan Marriot, Kuala Lumpur untuk sama-sama meraikan majlis bagi menceriakan para penghuni rumah kebajikan itu.

Majlis bertemakan ‘Semangat Untuk Meraikan Masyarakat’ itu dihadiri kira-kira 85 orang kakitangan termasuk Pengurus dan Pengarah Sumber Manusia kedua-dua hotel berkenaan.

Program itu tidak hanya terhad kepada acara ramah mesra dengan para penghuni tetapi juga program gotong royong membersihkan persekitaran pusat tersebut.

Sebelum memulakan program membersihkan kawasan, rombongan itu telah dibawa meninjau ke persekitaran pusat tersebut oleh Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman.

Selain menikmati pelbagai hidangan yang disediakan pihak hotel, para penghuni juga dihiburkan dengan persembahan termasuk nyanyian dan tarian.

Tasputra Perkim merupakan satu-satunya pusat jagaan harian muslim khusus untuk kanak-kanak kurang upaya di negara ini.

Pusat yang terletak di Ampang Hilir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu menempatkan kira-kira 50 kanak-kanak berusia dua hingga 18 tahun yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan

Menderita penyakit air dalam kepala

Utusan Malaysia, 1 ogos 2006

Oleh HAPIZAH AZIZ

KOTA BHARU 31 Julai – Ketika rakan-rakan sebaya leka bermain, seorang kanak-kanak, Mohd. Hakim Hakimi Mohd. Shukri, 12, dari Kampung Tanjung Chat, di sini hanya mampu melihat dari jauh.

Dia yang dilahirkan dengan masalah air dalam kepala kini terpaksa akur dengan hakikat bahawa penyakit yang dihidapinya itu semakin merebak sekali gus bakal mengorbankan salah satu pancainderanya.

Menurut ibunya, Norma Mahmood, 48, anaknya itu hanya berpeluang belajar selama enam bulan sahaja kerana terpaksa menjalani pelbagai pembedahan bagi mengurangkan masalah penyakitnya itu.

“Pada peringkat awal dia menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan diserahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pembedahan di bahagian kepala, mata dan kaki,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Katanya, Mohd. Hakimi akan menjalani satu lagi pembedahan yang melibatkan bahagian kaki pada September ini.

Namun, Norma berkata dia bimbang apabila dimaklumkan bahawa anaknya itu mungkin akan hilang penglihatan setelah mata kanannya tidak berfungsi ekoran pembedahan yang dilakukan ketika dia masih bayi.

“Saya takut, dia tidak boleh buat apa-apa apabila besar nanti. Ini kerana dia juga tidak boleh bercakap dan berjalan dengan baik,” ujarnya.

Lebih malang lagi, ibu tunggal itu juga terpaksa menanggung kesedihan apabila seorang lagi anaknya, Mohd. Azam, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Zainab 2 disahkan mempunyai ketumbuhan dalam kepalanya.

“Doktor beritahu, jika Mohd. Azam mengalami sawan dan rambut gugur kemungkinan dia perlu menjalani pembedahan,” ujarnya.

Norma juga kini mempunyai masalah kesihatan kerana diserang penyakit neuro fibromotosis yang menyebabkan keseluruhan badan ditumbuhi benjol-benjol kecil.

Menurutnya, dia kini tidak boleh keluar bekerja kerana tidak boleh meninggalkan anaknya bersendirian dan hanya mengharapkan bantuan daripada jiran.

“Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM80 sebulan dan wang itu terpaksa dijimatkan untuk keperluan seharian di samping perbelanjaan persekolahan anak- anak,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubunginya di Kampung Tanjung Chat, Kota Bharu.