Monday, August 27, 2007

Gay paksa tukang urut OKU

http://groups.yahoo.com/group/gokum/message/3016

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Siti Fatimah Hassan

KUALA LUMPUR: Golongan gay atau homoseksual gersang sanggup membayar 'duit
tip' antara RM100 hingga RM200 kepada tukang urut cacat penglihatan semata-mata
untuk memuaskan nafsu seks yang sedang bergelora.

Tindakan tidak senonoh golongan terbabit mempergunakan golongan kurang upaya
(OKU), menimbulkan perasaan kurang selesa pengamal perubatan tradisional di
kalangan orang cacat penglihatan yang mendakwa perkhidmatan ditawar
disalahertikan.

Perkara itu didedahkan sendiri seorang daripada tukang urut cacat penglihatan
terbabit yang hanya dikenali sebagai Zamri, dengan mendakwa ada di antara
golongan terbabit bertindak keterlaluan apabila meminta melakukan perbuatan keji
termasuk beronani dan 'urut batin'.

Zamri berkata, kewujudan terlalu banyak pusat urut maksiat di sekitar ibu kota
menyebabkan orang ramai turut menganggap golongan senasibnya menawarkan
perkhidmatan sama apabila sanggup 'berhabis' berbanding caj urutan biasa.

"Tidak kira apa bangsa sekali pun, semua mempunyai niat yang satu iaitu
semata-mata untuk mendapatkan 'khidmat songsang' daripada kami," katanya kepada
Harian Metro, ketika ditemui di Brickfields, di sini.

Selain itu, Zamri berkata kebanyakan mereka itu tanpa segan silu meminta
perkhidmatan songsang berkenaan malah yang lebih berani 'meraba-raba' tubuh
badan tukang urut buta ketika mengurut golongan terbabit.

"Perkara seperti ini sering berlaku. Mereka hanya datang dan terus bertanyakan
mengenai perkhidmatan itu. Sepatutnya kami yang mengurut mereka, tetapi bertukar
sebaliknya apabila mereka pula yang 'mengurut' kami.

"Mungkin dia ingat orang celik biasa melakukan perkara keji lalu menganggap
golongan seperti kami melakukan perbuatan sama, tetapi mereka silap kerana kami
bukan tukang urut jenis itu," katanya yang mengusahakan pusat urut di Gombak.

Tindakan itu dikatakan menjadi jalan alternatif bagi mereka yang ingin
memuaskan nafsu apabila pusat urut maksiat sedia ada kendalian orang normal
sering diserbu pihak berkuasa selain ada pula yang mencari 'selera baru'.

Harian Metro difahamkan pusat urut dimaksudkan itu banyak beroperasi di sekitar
Pandan Jaya dan Pandan Indah, selain spa gay di ibu kota seperti di Bukit
Bintang sering kali menjadi tumpuan golongan songsang terbabit.

Malah, pendedahan Harian Metro pada 21 Februari lalu turut menyelongkar
mengenai sindiket 'rumah urut gay tempatan' yang dikendalikan individu normal
dikesan semakin berani menonjolkan diri dengan memancing pelanggan mewah
antarabangsa menerusi panggilan telefon.

Perkhidmatan eksklusif itu ditawarkan terus ke depan pintu dan tukang urut gay
idaman akan memberikan perkhidmatan berdasarkan keperluan pelanggan, manakala
lokasinya terserah kepada kedua-dua pihak kerana tukang urut dihantar sindiket
menggunakan pengangkutan peribadi.

Sebelum transaksi bagi dwiperkhidmatan gay termasuk urutan dan teman sosial
dipersetujui antara kedua-dua pihak, satu ejen khas yang dilantik sindiket
ditugaskan untuk menjadi perantara bagi menerima panggilan terbabit.

Monday, August 20, 2007

Masalah OKU dalam Perkhidmatan Kenderaan Awam

http://groups.yahoo.com/group/gokum/message/3015

enderaan awam merupakan nadi kepada pembangunan negara. Sistem dan
kemudahan kenderaan awam dapat menjamin kelancaran aktiviti sesebuah
negara. Sekiranya kita menoleh ke negara-negara maju seperi Jepun dan
Amerika Syarikat, kita akan lihat betapa majunya sistem kenderaan awam
mereka. Negara kita akan meraikan hari kemerdekaan genap 50 tahun
beberapa hari lagi. Angka 50 tahun akan menjadi kayu ukur kepada tahap
pencapaian kita. Dalam mengolak langkah sebagai sebuah negara maju pada
tahun 2020, kita hanya mempunyai 13 tahun lagi. Lihatlah betapa maju
kita dalam kemudahan kenderaan awam pada hari ini. Namun, apakah ertinya
kemajuan tersebut sekiranya terdapat golongan yang tidak dapat
menikmatinya?

Golongan yang saya maksudkan tidak lain tidak bukan ialah golongan orang
kurang upaya (OKU). Dalam kaitan antara OKU dengan kemudahan kenderaan
awam, sudah pasti kumpulan OKU berkerusi roda merupakan kumpulan yang
patut diutamakan. Mereka memerlukan satu mekanisma supaya dapat
berhubung dengan dunia luar dan masyarakat umum. Bayangkan sekiranya
mereka tidak memandu ataupun tidak mempunyai sanak saudara yang sudi
membawa mereka keluar, bolehkah mereka menaiki LRT atau komuter kita
yang serba canggih? Bas baru kita yang berhawa dingin dengan kerusi
selesa yang sedang gah berlegar di kota? Kereta teksi samada yang biasa
mahupun yang mewah? Saya percaya setiap langkah untuk mereka masuk
mencuba kemajuan kemudahan kenderaan awam tersebut menjadi satu cabaran;
cabaran yang sekiranya salah langkah mungkin akan terjatuh, tercedera
dan membahayakan nyawa mereka. Malah mungkin juga mereka tidak dapat
menggunakannya langsung disebabkan halangan daaripada penggunaan kerusi
roda mereka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada usaha daripada syarikat yang
menyediakan kemudahan kenderaan awam dalam memastikan perkhidmatan
mereka mesra OKU. Terdapat kenderaan bas yang melebelkan stiker kerusi
roda untuk menunjukkan bas mereka mesra OKU. Hakikatnya ketika artikel
ini ditulis, pelaksanaannya belum sempurna, lebel stiker itu hanya
sekadar hiasan. Projek tersebut bak kata pepatah ¡¥rumah sudah siap,
tetapi pahat masih berbunyi¡¦. Saya tidak ingin memanjangkan komen di
sini, bagi persatuan-persatuan OKU yang terlibat dalam usaha
menyempurnakannya sahaja yang faham. Bagaimanapun, usaha dan niat murni
syarikat bas tersebut boleh dipuji, hanya perlaksanaannya perlu dikaji.
Pada pendapat saya: tanyalah pengguna kerusi roda cara terbaik untuk
mereka boleh menggunakan bas tersebut sebelum melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, usaha harus dilakukan langkah demi langkah. Kalau
kita lihat antara perkhidmatan kenderaan awam di negara kita, masih
terlalu banyak usaha yang harus dilakukan. Saya amat mengkagumi Group
CEO syarikat AirAsia, iaitu Dato¡¦Tony Fernandes dalam tindakan
beliau meningkatkan perkhidmatan penerbangannya baru-baru ini. Selepas
mendapat protes daripada persatuan-persatuan OKU disebabkan perkhidmatan
AirAsia yang tidak mesra OKU sebelum ini, dalam masa yang amat singkat
beliau telah dapat menyelesaikannya dengan baik, malah meningkatkan
perkhidmatan AirAsia walaupun memakan belanja yang amat besar. Memang
syarikat yang mampu tidak ada masalah dari segi kewangan, tetapi
Dato¡¦Tony Fernandes melaksanakannya dengan berhemat di mana segala
pandangan OKU diambil berat dan dihormati. Syabas AirAsia!

Dari segi bantuan kepada OKU pula, usaha yang dilakukan ialah untuk
memastikan mereka dapat berdikari dengan sebolehnya. Bantuan-bantuan
tersebut boleh dibahagikan kepada bantuan pelajaran, bantuan pekerjaan,
bantuan saraan, dan bantuan rawatan. Namun, pelaksaan setiap bantuan
tersebut haruslah memastikan bahawa OKU yang disasar tidak mempunyai
masalah untuk ke pusat bantuan berkenaan. Contohnya, OKU diberi diskaun
istimewa untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi,
namun disebabkan masalah pengangkutan awam, OKU yang berminat tidak
dapat ke sana. Jadi pelaksanaannya gagal dan mungkin alasan yang
dilaporkan ialah tidak mendapat sambuan daripada OKU.

Jika diselidik, kenderaan awam yang amat diperlukan oleh OKU ialah
kenderaan awam yang dapat menghantar mereka ¡¥dari pintu ke
pintu¡¦, iaitu perkhidmatan teksi. Malangnya teksi di negara kita
bukanlah yang jenis mesra OKU. Walaupun terdapat segelintir pemandu
teksi yang amat bermurah hati mengambil pelanggan yang berkerusi roda,
namun berapa ramaikah antara mereka? Kadang-kadang masalah yang timbul
bukan disebabkan nilai perikemanusiaan mereka, tetapi disebabkan jenis
kereta teksi mereka yang tidak dapat mengambil penumpang yang berkerusi
roda.

Kita telah lihat betapa hebatnya projek meningkat taraf perkhidmatan
teksi di negara kita. Kereta-kereta mewah telah pun dijadikan teksi
dengan hanya tambahan tambang yang tidak begitu tinggi, kononnya untuk
kelesaan penumpang. Namun adakah jenis teksi yang boleh mengambil
penumpang berkerusi roda? Sekiranya kita bandingkan antara pelaburan
untuk membeli kereta mewah sebagai teksi eksekutif berbanding dengan
kereta yang boleh dimasuki kerusi roda (wheelchair accessible taxi),
yang mana memperlihatkan imej pengusaha yang lebih perihatin?
Keperihatinan sesebuah negara terhadap pelaksanaan kebajikan rakyatnya
juga menjadi kayu pengukur tahap tamadun dan kematangannya dalam isu
kebajikan rakyat.

Masalah pemandu teksi untuk mengambil penumpang yang berkerusi roda
dapat kita lihat di YouTube, http://www.youtube.com/watch?v=x09ohimNZV0
<http://www.youtube.com/watch?v=x09ohimNZV0> (video yang dipaparkan
hanyalah sebagai lakonan). Berikut adalah penerangan terhadap
masalah-masalah tersebut:

1. Sikap pemandu teksi yang merasakan penumpang kerusi roda amat leceh
dan melambatkan. Mungkin kebanyakan pemandu teksi mengejaar masa kerana
bagi mereka makin cepat tindakan mereka maka makin ramailah penumbang
yang dapat diangkut pada hari tersebut.

2. Sikap pemandu yang merasakan penumpang kerusi roda amat merumitkan.
OKU kerusi roda memang memerlukan orang lain untuk memasukkan kerusi
roda mereka di bonet kereta selepas mereka memasuki kereta. Namun,
pemandu teksi merasakan penumpang tersebut hanya mendatangkan masalah
kepada mereka.

3. Ruang bonet kereta yang terhad disebabkan balang gas. Kita sedia
maklum bahawa kereta teksi di sekitar Lembah Klang kebanyakannya
menggunakan kuasa NGV. Maka disebabkan balang gas NGV yang mengambil
sebahagian ruang bonet, tiada ruang untuk memasukkan kerusi roda.

Usaha menjadikan negara kita berimej sebuah negara perihatin dan
penyayang haruslah dipertingkatkan. Jangan usaha-usaha tersebut hanyalah
untuk mendapat publisiti atau kepentingan peribadi. Pihak pengusaha juga
perlulah melihat bahawa perkhidmatan kenderaan awam mereka sebagai satu
tanggungjawab sosial, bukan hanya menitikberatkan keuntungan
semata-mata. Ahli masyarakat pula perlulah memahami keperluan OKU untuk
keluar bermasyarakat. Jangan salah guna kemudahan yang disediakan khas
untuk mereka sebagai kemudahan diri sendiri, contohnya tempat letak
kereta untuk OKU, tandas, dan lain-lain.

Setiap kali apabila terlihat OKU berkerusi roda dalam kegiatan di
tempat-tempat awam, saya terlihat betapa cabaran mereka dalam menempuhi
hidup ini berbanding kita yang bebas bergerak. Apabila terlihat
prasarana pembangunan di sesuatu tempat yang bersifat mesra OKU,
terlintas di fikiran ini betapa bagusnya jika kita semua sama-sama dapat
menikmati limpahan pembangunan negara yang tercinta ini, semoga
Malaysiaku Mesra OKU.

sedutan daripada http://okukita.blogspot.com/
<http://okukita.blogspot.com/>

Wednesday, August 15, 2007

Tidak boleh ubati penyakit palsi serebral, sindrom down

Utusan Malaysia, 15 ogos 2007

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang pakar hari ini mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu termasuk sekumpulan doktor yang sengaja membuat kenyataan bahawa sel stem daripada darah tali pusat boleh mengubati penyakit berkaitan otak kanak-kanak seperti palsi serebral dan sindrom down.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia merupakan satu usaha untuk menarik lebih ramai ibu bapa menyimpan sel stem darah tali pusat dalam bank khas yang disediakan oleh pihak swasta.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan senario itu sebagai sesuatu yang amat malang kerana tiada bukti dari segi perubatan bahawa sel stem boleh mengubati dua penyakit tersebut.

“Ada beberapa pihak termasuk di kalangan para doktor yang mengutarakan bahawa sel stem boleh merawat anak-anak yang istimewa ini sedangkan tiada bukti mengenainya dalam konteks bukti asas perubatan.

“Oleh itu Persatuan Pediatrik Malaysia akan mengeluarkan panduan mengenai isu tersebut supaya ibu bapa boleh membuat pilihan dengan berasaskan fakta dan tidak terperangkap dengan pemasaran emosi yang kian berleluasa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Dr. Musa turut mengingatkan golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati apabila didekati oleh ejen pemasaran bank sel stem darah tali pusat swasta.

“Jangan mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang disediakan. Mereka sering membuat tuntutan kesihatan tanpa sokongan fakta perubatan,” ujarnya.

Tambahan pula katanya, setakat ini tiada anggaran tepat kebarangkalian seorang anak memerlukan sel-sel sendiri yang disimpan.

“Anggaran paling hampir adalah satu dalam setiap 1,000 hingga satu hingga 200,000 bagi satu kes. Anggaran ini menunjukkan kemungkinan sel-sel tersebut akan digunakan adalah amat rendah.

“Oleh itu bagi saya konsep ‘insurans biologi’ yang kerap dipromosikan oleh bank tali pusat swasta adalah tidak tepat dan tidak kukuh,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perkembangan industri bank sel stem swasta Musa berkata, beliau lebih cenderung pengumpulan darah tali pusat dilakukan oleh Pusat Tabung Darah Negara.

“Bank sel stem diuruskan sebagai suatu perniagaan yang berunsurkan keuntungan dan banyak terdapat kritikan terhadap pemasaran emosi yang dilakukan untuk menarik minat pelanggan.” katanya.

Tuesday, August 14, 2007

Khabar terbaru Karim Sulaiman

Klpos, 14 ogos 2007



ALHAMDULILLAH.. Karim Sulaiman semakin pulih dari sakit ganjil yang dihadapinya

Oleh: Saodah Ismail

KELMARIN, 12 Ogos hari lahir Karim Sulaiman, Pengarang Berita Harian yang ketika ini sedang bercuti sakit di rumahnya di Taman Seri Gombak. Usia anak jati Johor ini, 46 tahun.

Ironinya, meskipun isteri tercintanya Siti Hawa seorang pakar buat kek dan biskut, tapi tiada kek harijadi untuk Karim. Bukan tidak ingat, kata Hawa, tapi pada masa yang sama banyak tempahan kek yang terpaksa disiapkan.

"Tidak mengapalah tak ada kek atau pulut kuning. Pada usia-usia begini, semua itu sudah tidak perlu, zaman itu sudah lama berlalu. Apa yang penting kita masih bersama keluarga dan berbual-bual dengan rakan taulan," kata Karim yang menerima banyak ucap selamat dari kawan-kawan melalui sms.

Sepanjang perbualan kami di telefon, percakapan Karim semakin jelas. Sebelum ini, jika melalui telefon, saya hanya boleh mengetahui mengenai Karim melalui perbualan dengan Hawa. Tetapi kini Karim boleh berbual di dalam telefon dan bercakap seperti biasa.

Sambil melawak, satu sikapnya yang tidak pernah berubah sejak dulu, peminat setia lagu-lagu retro ini memberitahu hari jadinya juga selepas ini akan disambut bersama Ina Naim dan suaminya Suhaimi, "Kerana mereka nikah pada hari jadi saya!"


Penulis (kanan) bersama bekas Pegawai Perhubungan Awam TV3 Norisah Sulaiman menziarahi Karim di rumahnya

Berat badan bertambah

Begitulah Karim, yang selalu bersikap positif dalam hidupnya dan sentiasa ceria. Dia yang kini semakin pulih bahkan memberitahu berat badannya sudah meningkat dari 35 kilogram ke 50 kilogram. Bukan itu saja, dia kini sudah berupaya memanjat anak tangga. Semuanya berkat kesabaran dan ketabahan melalui ujian Allah.

Karim kini menjalani rawatan yang dinamakan 'ivig' sebulan sekali di HKL di mana untuk rawatan itu, dia kena duduk hospital selama satu minggu. Rawatan Ivig katanya adalah proses kemasukan darah haemoglobin ke dalam badan dan telah digunakan secara meluas di luar negara. Rawatan itu agak mahal dan dianggarkan menelan kos untuk satu sesi saja sebanyak RM10,000. Mujur dalam kes Karim,ia ditanggung oleh pihak kerajaan.

Penyakit yang dihidapi Karim, scleromyxoedema, adalah yang pertama dirujuk kepada kerajaan melalui Kementerian Kesihatan manakala dalam jurnal dunia pula dilaporkan terdapat sebanyak 150 kes seumpamanya di seluruh dunia.

"Syukur Alhamdulillah, memang bila sudah sakit kita memerlukan semangat yang kuat dan kesabaran yang bukan sedikit. Tidak ada sakit yang boleh sembuh secepat kilat, inilah yang dinamakan ujian dan saya rasa berysukur kerana ramai pihak, termasuk kawan-kawan yang membantu memberi dorongan, sokongan dan sumbangan kepada saya sekeluarga.

"Budi baik semua rakan-rakan amat saya hargai, hanya Tuhan saya yang dapat membalasnya," katanya yang menyatakan keinginan untuk menemui Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Latiff Ahmad yang banyak membantu beliau sekeluarga.

Ketika ditanya apakah yang dilakukannya sepanjang hari di rumah, Karim berkata mujur negara telah maju dalam teknologi IT kerana itulah caranya dia mengisi waktu di samping mengikuti perkembangan semada di dalam dan luar negara. Dia merupakan pengunjung klpos.com yang setia setiap pagi dan malam.

Pengunjung setia klpos.com

"Saya masuk dua kali sehari, satu sebelah pagi dan sekali lagi malam sebelum tidur, iaitu selepas jam 12. Selain itu, saya juga membaca berita-berita lain secara online serta blog rakan-rakan. Itulah kerja saya sentiasa menghadap komputer," katanya yang hanya berhenti untuk mengerjakan solat fardhu secara duduk.

Apakah rancangan TV yang menarik baginya. Menurut Karim, selain Buletin Utama sebagai wajib setiap hari, dia juga gemar menonton rancangan "Mari Mengaji" yang disiarkan di TV9 setiap petang.

"Di rumah sekarang ini, hanya tinggal kami berempat, saya Hawa dan dua orang anak kami, empat lain sudah tinggal di asrama," katanya.

Begitulah Karim menghabiskan masanya dalam sehari, manakala Hawa, isterinya, selain setia menjaga suami juga sibuk di dapur membuat kek dan biskut serta tempahan-tempahan lain untuk majlis minum petang atau majlis makan-makan orang perseorangan atau pejabat.


Isterinya Karim, Siti Hawa membantu suaminya, gambar ini diambil beberapa bulan lalu (Foto: Bernama)

Kisah isteri dan anak-anak

Masakan Hawa memang sedap, bahkan saya sendiri sukakan 'apple pie' buatannya yang lembut lagi istimewa – lebih enak dari yang dijual di kafe dan hotel. Selain itu, Hawa juga handal membuat pelbagai jenis kek kerana selama mereka di London dulu (ketika Karim menjadi wakil Berita Harian di London), Hawa sempat mengikuti kursus dalam pembikinan kek dan biskut. Sebab itu, Karim sentiasa bangga memberitahu, "Biskut-biskut Hawa tak sama dengan biskut Melayu biasa, tau!"

Dan, bagaimanakah keluarga ini meraikan hari jadi Karim semalam?

"Kerana hari Ahad selalunya hari kami sekeluarga keluar melawat anak- anak di asrama. Jadi, Hawa masak untuk anak-anak, masing-masing selalunya telefon minta Hawa masa itu dan ini," cerita Karim.

Anak sulongnya, Haira Nadira kini di asrama UIA dalam Pengajian Bahasa Inggeris, dan tiga anaknya di Sekolah Asrama Sains Cheras Selangor iaitu Khaira Nabila (tingkatan 5), Khaira Nazura (tingkatan 4) dan Khair Najid (tingkatan 1).

Semoga Karim dan Hawa sentiasa diberikan kekuatan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Selamat hari jadi Karim, semoga Tuhan panjangkan umur dan kurniakan kesihatan.

Penulis pernah berkerja bersama dengan Saudara Karim Sulaiman di Berita Harian- Pengarang

BERITA BERKAITAN

Saturday, August 11, 2007

RM440 juta disedia untuk pelajar istimewa

Berita Harian, 11 ogos 2007

JABATAN Pendidikan Khas (JPK) Kementerian Pelajaran akan memastikan peruntukan kerajaan sebanyak RM440 juta dimanfaatkan sepenuhnya untuk 35,000 pelajar istimewa di sekolah pendidikan khas dan integrasi seluruh negara.

Peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan itu bertujuan memastikan pelajar istimewa turut menerima kemudahan pendidikan sempurna seperti pelajar normal.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Pendidikan Khas), Azizah Abd Gani, berkata peruntukan besar itu digunakan bagi menampung kos pembangunan pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama pembelian peralatan pendidikan.

Beliau berkata, kos pembelian barangan dan peralatan itu kini semakin meningkat kerana sebahagian besar perlu diimport dan pertukaran mata wang asing itu adalah faktor menyumbang kepada peningkatan kos.

“Selain itu, peruntukan juga digunakan untuk menghantar tenaga pengajar sekolah terbabit mengikuti kursus berkaitan di luar negara, antaranya Australia, New Zealand, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

“Walaupun jumlah pelajar istimewa ini kurang satu peratus daripada populasi lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah, peruntukan besar diperlukan kerana kerajaan mahukan kemudahan terbaik disediakan untuk mereka.

“Setakat ini Malaysia adalah negara paling berjaya di rantau ini dalam menyediakan program pendidikan menyeluruh kepada pelajar kurang upaya sama ada menerusi sekolah pendidikan khas mahupun integrasi,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Setakat ini, sejumlah 32 sekolah pendidikan khas beroperasi seluruh negara dan daripada jumlah itu, 28 sekolah rendah manakala empat lagi sekolah menengah. Selain itu, pelajar istimewa turut ditempatkan di 1,180 sekolah biasa berkonsepkan integrasi.

Mengulas lanjut pembelian peralatan P&P pelajar istimewa, Azizah berkata, ia membabitkan kos tinggi, contohnya untuk seunit embosser iaitu alat bantuan pembelajaran pelajar cacat penglihatan, harganya antara RM60,000 hingga RM70,000.

“Bagi menampung kos bantuan pendengaran pelajar cacat pendengaran pula, kami perlu membelanjakan RM25,000 untuk setiap telinga.

“Kini ada teknologi menanam koklea disediakan, tetapi kosnya tinggi hingga mencecah RM80,000. Bagaimanapun, ada beberapa kes, ibu bapa berkemampuan menyediakan sendiri alat itu untuk anak mereka,” katanya.