Monday, July 24, 2006

Permata Hati: Elis dugaan hebat Purwandari


MEREDAH lautan yang menjadi pemisah antara Indonesia dan Malaysia bukan penghalang yang boleh melunturkan semangat ibu muda ini untuk melihat puteri kesayangannya, Elis Rochmita Sari, sembuh daripada penyakit lebihan cecair otak.


Ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu, Purwandari, 23, menerima takdir Ilahi dengan penuh ketabahan. Walaupun sejak dilahirkan Elis sudah dikesan menghidap penyakit berkenaan, suratan takdir itu sedikitpun tidak melunturkan kasih sayangnya terhadap si kecil yang comel.

Kemiskinan dan desakan hidup memaksa anak kecil itu menjadi matang pada usia muda. Malah, Elis seakan tahu ibu dan ayahnya tidak mempunyai wang untuk menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, maka anak kecil ini jarang bersungut atau mengadu kesakitan.

“Sejak lahir lagi dia sudah menghidap penyakit ini. Memang sedih melihatkan dia yang masih kecil sudah menanggung penderitaan dan kesakitan. Tambah memilukan sebagai ibu dan ayah, kami tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyembuhkan penyakitnya.

“Malah, ketika Elis tidur saya akan menghampirinya, membelai rambut dan wajahnya, tatkala itu juga air mata saya jatuh berjurai kerana tidak sanggup melihat dia terus menderita,” katanya tenang memulakan bicara.

Purwandari sesekali termenung sambil melayangkan pandangan jauh mengingat semula saat kesusahannya membesarkan Elis di Indonesia. Manakan tidak, beliau sebagai ibu sudah tahu nasib anaknya kelak akan menjadi buta jika tidak dirawat.

“Saya sering berperang dengan perasaan sendiri apabila memikirkan nasibnya. Tambahan pula dia perempuan, mesti dia juga suatu hari nanti mempunyai impian dan keinginan untuk mendirikan rumah tangga dan berkeluarga.

“Apabila saya runsing memikirkan nasibnya, Elis akan mendakap erat dan mencium pipi saya serta menghiburkan saya dengan telatah nakalnya. Dia seolah-olah faham apa yang terbuku jauh pada dasar hati saya,” katanya sayu.

Elis yang dilahirkan pada 16 Januari 2001 di Bantul, Yogyakarta, mengalami penyakit lebihan cecair otak berikutan kanak-kanak itu tidak mempunyai saluran khas yang ada pada manusia normal bagi membolehkan lebihan cecair itu terus ke usus perut.

“Hasil pemeriksaan doktor juga mendapati tempurung tengkorak anak saya tidak tercantum. Ekoran itu, terdapat lubang dan seolah-olah wujud alur seperti longkang dalam otak yang mengalirkan lebihan cecair keluar dan berkumpul di bahagian depan, menyebabkan mukanya membengkak,” katanya

Tanggal 4 Jun lalu adalah hari bersejarah yang tidak akan dilupakan oleh keluarga mangsa gempa bumi dari Yogyakarta, Indonesia itu yang sekali gus merubah nasib mereka.

Kunjungan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan sekumpulan pegawai serta pakar perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melawat kanak-kanak itu di rumahnya di Kampung Gunting, Desa Karung Gede, Yogyakarta, memberi sinar baru dalam hidup Elis.

“Hanya Tuhan saja tahu betapa saya bersyukur ke hadrat Allah yang Maha Kuasa, sedang negara kami ditimpa musibah dan bencana, hadir sinar harapan untuk Elis, apabila kerajaan Malaysia berjanji akan merawat penyakitnya.

“Sebagai ibu, pastinya saya tidak menolak pelawaan kerajaan Malaysia ini, kerana ini sajalah peluang untuk dia sembuh dan mampu melihat semula. Sejak mukanya membengkak otot wajahnya juga menegang terik dan sejak itulah penglihatannya juga mula kabur,” katanya.

Tambah wanita cekal ini, jiwa kewanitaannya sering tersentuh bila melihat jarum suntikan doktor singgah di tubuh kecil Elis, lebih memilukan apabila melihat mukanya kemerah-merahan menahan kesakitan.

“Dia anak yang tabah, sanggup berjuang untuk dirinya, setiap kali sebelum menjalani pembedahan, hati saya gundah memikirkan nasibnya, tetapi dia tetap tenang walaupun sudah mengerti makna sebenar dan kesakitan pembedahan.

“Kejayaan pembedahan yang dijalankan oleh pakar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 17 Julai lalu, membuatkan saya seakan tidak percaya bengkak di mukanya sudah tiada dan Elis juga kini boleh bertindak balas terhadap cahaya,” katanya.

Purwandari berkata, sebagai ibu beliau sememangnya berharap Elis mampu melihat semula bagi membolehkan kanak-kanak itu bermain bebas sesuka hati tanpa memerlukan sebarang pertolongan dan mengharapkan bantuan sesiapa.

“Biarlah dia tidak secantik anak gadis lain apabila dewasa nanti, asalkan dia cukup sifat serta tidak mengalami masalah penglihatan itu sudah cukup melegakan hati saya kerana tidak perlu risau lagi memikirkan nasibnya terutama apabila saya sudah tiada kelak,” katanya mengakhiri perbualan.

Ketika artikel ini ditulis, Elis dijangka akan menjalani pembedahan kosmetik dalam waktu terdekat bagi memperbaiki wajahnya, selain membentuk semula hidung dan merapatkan semula kedua-dua belah matanya yang terpisah jauh.

BIODATA

Nama: Purwandari
Umur: 23 tahun
Asal: Bantul, Yogyakarta, Indonesia
Pekerjaan: Suri Rumah
Suami: Krisyanto
Pekerjaan: Sendiri
Anak: Rahma Frida (9 tahun), Elis Rochimta Sari (4 tahun)

1 comment:

Anonymous said...

Your site is on top of my favourites - Great work I like it.
»