Monday, July 24, 2006

Pelajar OKU lulus sarjana muzik

Utusan Malaysia, 24 julai 2006

KUALA LUMPUR 23 Julai – Ia merupakan hari istimewa untuk diraikan seorang ibu, Janet Ooi Tong Chin dan bapa Ng Chee Pheng, apabila anak lelaki mereka, Colin Ng Soon Beng (gambar) lulus dengan ijazah Sarjana Muzik (Kepujian) dalam Muzik Kontemporari daripada University College Sedaya International (UCSI) di sini semalam.

Graduan ini istimewa kerana Ng dilahirkan dengan cantuman pramatang tengkorak yang disebut kraniostenosis yang menyebabkan kecacatan di bahagian mukanya - mata, hidung, telinga dan mulut.

Beliau kemungkinan merupakan orang cacat penglihatan pertama lulus dengan ijazah muzik dari sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dan ibunya, Ooi begitu terharu apabila anaknya naik ke pentas menerima ijazah itu daripada Canselor UCSI, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad.

Dengan genangan air mata beliu menoleh ke belakang mengenangkan apa yang akan terjadi jika beliau tidak berusaha keras membantu membentuk masa depan anaknya yang lahir pada 1984 itu.

Selama beberapa tahun kes anaknya dirujuk ke hospital tempatan, dan setelah dirasakan tiada apa yang dapat dilakukan, beliau akur dengan nasihat rakan-rakan dan menulis surat kepada hopsital di Australia.

Semasa pakar bedah kraniofasial, Dr. J. David mengetahui mengenai keadaan Ng pada 1989, dia sudah berumur lima tahun dan untuk mengelakkan kerosakan otak, David mencadangkan tengkoraknya diperbetulkan – yang sepatutnya dilakukan sebelum Ng berusia sembilan bulan.

Hari ini, ahli muzik berusia 22 tahun itu berterima kasih dengan rakyat Malaysia dan para doktornya. Pembedahan yang dijalaninya melibatkan kos RM60,000, yang pertama di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Adelaide pada 1989 (Hospital Kanak-kanak Adelaide sebelum itu) dan diikuti dengan pembedahan kedua di Calvary Hospital Adelaide, yang sebahagiannya dibiayai rakyat Malaysia.

“Apabila kami kembali ke Malaysia setahun kemudian, rawatan susulan perubatan dilakukan oleh pakar bedah neuro Dr. Richard Veerapen,” kata Ooi, yang mengorbankan banyak masa berusaha untuk memberikan pendidikan secukupnya kepada anak istimewa ini memupuk bakatnya menjadi seorang ahli muzik.

“Tidak banyak institusi yang bersedia menerima Ng memandangkan dia hanya mampu ke tahap Gred 5 dan tidak sehingga Gred 8 seperti pelajar lain kerana di negara ini tidak ada teori muzik dalam Braille,” kata Ooi.

Ooi berkata, Ng mempunyai bakat luar biasa, mampu mengikut rentak irama dengan telinganya dan pada usia tiga tahun, ibunya terkejut apabial mendengar gubahan muzik Klaus Wunderlich dari bilik tidur Ng yang memainkannya menggunakan kalkulator muzik.

Semasa menjalani ujian bakat pada Disember 2000, dia berjaya menambat hati kesemua empat pensyarah UCSI yang menilai kesesuaiannya untuk mengikuti pengajian diploma muzik dan menamatkan pengajian pada 2003.

Kemasukannya dalam program diploma itu tidaklah mudah kerana tidak ada kemudahan untuk membantu pelajar cacat penglihatan menggunakan nota dan pengajaran muzik dalam Braille dan pada masa yang sama Ketua Kajian Muzik, Elizabeth Lou tidak membiarkan pelajar berbakat seperti Ng dipinggirkan mendapat didikan yang sewajarnya.

- Bernama

1 comment:

Anonymous said...

Nice idea with this site its better than most of the rubbish I come across.
»